Mampu tampung 14 juta sampel biospesimen



kabus dingin menerpa keluar tatkala seorang saintis, Mohamad Ridzuan Kamarudin membuka peti sejuk beku yang terdapat di Biobank Genomik, Institut Genom Malaysia (MGI), Kajang, Selangor baru-baru ini.

Kelihatan perkataan Critical berlabel merah ditampal pada pintu peti sejuk beku tersebut menandakan barang yang berada di dalamnya begitu dilindungi dan dijaga rapi pada suhu serendah -80 darjah Celsius.

Lengkap mengenakan sarung tangan tebal berwarna biru, beliau kemudiannya menarik laci keluli berisi ribuan tiub sebesar jari kelingking dan mengeluarkan beberapa daripadanya untuk diperiksa.

“Tiub-tiub ini mengandungi dua jenis sampel iaitu mikroorganisma dan deoksiribonukleik (DNA). Sampel mikroorganisma disimpan pada suhu -80 darjah Celsius manakala sampel DNA disimpan dalam peti sejuk bersuhu -30 darjah Celsius.

“Dalam hal ini, DNA diekstrak daripada sel seperti bakteria, fungus, alga dan cendawan yang dikumpul penyelidik di lapangan kajian mereka dari merata-rata tempat.

“Sel turut mengandungi komponen lain seperti protein, metabolik dan asid ribonukleik (RNA). Bahan-bahan ini diasingkan mengikut keperluan. Biasanya hanya DNA dan protein akan diambil kerana ia menyimpan maklumat sifat sesuatu sel,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di institut itu baru-baru ini.

Biobank Genomik ditubuhkan MGI pada tahun 2008 dan dahulunya beroperasi di Makmal Interim Genomik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

MGI distruktur semula menjadi komponen konsortium dalam Institut Nasional Bioteknologi Malaysia (NIBM) sejak 2012. Ia merupakan syarikat jaminan terhad di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Dalam hal ini, Biobank Genomik menyediakan perkhidmatan mengumpul, memproses, menyimpan dan kemudahan mengekstrak biospesimen dengan pantas bagi tujuan penyelidikan akademik dan kegunaan industri. Ia turut menawarkan perkhidmatan membangunkan pangkalan data untuk rujukan atas talian.

Bidang Genomik melibatkan kajian struktur, kandungan dan evolusi genom atau keseluruhan maklumat genetik sesuatu organisma.

“Ia bagi memastikan kualiti dan keselamatan biospesimen untuk digunakan untuk masa hadapan sementelah ada daripada sampel tersebut sukar ditemui dan diambil dari tempat jauh seperti Antartika.

“Saya dan seorang lagi saintis bertanggungjawab menyelia Genomik Biobank ini. Kami dibantu tiga lagi petugas teknikal,” jelas Mohamad Ridzuan.

Tambahnya, biospesimen itu disimpan pada suhu serendah -30 hingga -80 darjah Celsius bergantung kepada keperluan, daya tahan dan sifat sesuatu sampel.

Sistem pemantauan pintar


Proses replikasi sampel dijalankan secara semiautomatik menggunakan mesin robotik.


Buat masa ini MGI mempunyai 50 unit peti sejuk beku dengan 17 daripadanya ditempatkan di Biobank Genomik untuk disewakan kepada penyelidik luar selain untuk kegunaan dalaman.

“Kami turut menawarkan latihan industri bukan sahaja kepada penuntut jurusan biologi malah menjemput pelajar dari bidang teknologi maklumat kerana rutin harian kami turut melibatkan aspek pengaturcaraan komputer.

Bercerita lanjut, Mohamad Ridzuan berkata, peti simpanan biospesimen turut dikawal sistem pemantauan suhu pintar demi menjaga integriti biospesimen jagaan mereka.

Katanya, sistem pemantauan itu dilengkapi WiFi dan Sistem Perantauan Antarabangsa (GSM) itu akan menghantar notifikasi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada telefon bimbit saintis jika suhu ruangan simpanan tidak menepati julat yang ditetapkan.

Sementara itu, rakan sejawatnya, Mohd. Ridzwan Zainul Abidin berkata, sebelum bersetuju menerima sesuatu sampel, mereka perlu memastikan sampel itu tidak mempunyai ciri-ciri berbahaya atau memudaratkan persekitaran sekeliling seperti virus atau seumpamanya.

Selain itu, kedua-dua belah pihak akan berbincang mengenai kaedah yang sesuai untuk menyimpan biospesimen supaya ia dapat bertahan lama kerana sifat-sifat setiap sampel tidak semestinya sama dengan yang lain.

“Buat masa ini kami tidak menyimpan sel haiwan dan sel manusia. Namun, kami dalam usaha membangunkan infrastruktur bersesuaian sejajar dengan bidang penyelidikan negara yang kian berkembang,” tuturnya.

Tambahnya, bagi memastikan kelangsungan sampel, pihaknya akan turut melakukan replikasi terhadap sampel induk dengan kadar yang banyak untuk dijadikan sebagai sandaran sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

Kerja-kerja replikasi dilakukan secara automatik dan semiautomatik dengan bantuan robot bagi meminimumkan kesilapan dan memudahkan tugas penyelidik berbanding dibuat secara manual.

Buat masa ini Biobank Genomik telah menyimpan lebih 200,000 sampel biospesimen daripada kira-kira 20 institusi dengan kapasiti ruang keseluruhan ialah 14 juta sampel.

“Kontrak sewaan minimum adalah selama lima tahun. Dalam tempoh tersebut, kami akan memantau pemeriksaan kualiti secara berkala. Namun, terdapat juga pelanggan yang menghantar sampel hanya untuk tujuan penyimpanan.

“Ada di antara sampel yang dihantar ke sini mampu bertahan lebih 10 tahun,” katanya menambah sistem mereka dilengkapi generator yang akan berfungsi secara automatik sekiranya berlaku kegagalan bekalan elektrik.

Menurutnya, perkhidmatan yang disediakan oleh MGI boleh dikatakan mengalakkan penyelidikan tempatan dalam meneroka bidang kajian genomik untuk keperluan pada masa depan.

“Adalah penting menyimpan sampel dalam bentuk DNA kerana ia boleh dijadikan benih induk yang masih boleh direplikasi jika sesuatu sel itu mengalami kepupusan pada masa depan.

Prasarana


SAMPEL biospesimen seperti kulat bakteria dan kulat disimpan pada suhu serendah -80 darjah Celsius untuk memanjangkan tempoh hayatnya.


Sementara itu, Penyelidik Pasca Doktoral dari Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Dr. Noor Haza Fazlin Hashim berkata, prasarana yang disediakan Biobank Genomik membantu penyelidik merujuk semula sampel dengan mudah dalam jangka masa panjang.

Beliau dan rakan penyelidiknya kini menjalankan kajian mengenai yis psikrofil yang mampu bertahan dalam cuaca sejuk ekstrem menerusi sampel yang diperoleh dalam satu ekspedisi penyelidik Universiti Sains Malaysia di Antartika yang disimpan di Biobank Genomik sejak beberapa tahun lalu.

“Peti simpanan di sini mempunyai tahap kesejukan seperti habitat asal yis tersebut diambil. Kami ingin mengkaji mekanisme apa yang membolehkan ia bertahan tanpa menjejaskan fungsi dan peranan sel organisma itu.

“Daripada kajian ini, kami ingin menghasilkan protein antibeku yang boleh menghalang kehilangan nutrien daripada daging yang disejukbekukan terutama dalam tempoh yang lama,” ujarnya mengakhiri perbualan.