Video harimau bintang Amur tarik minat dunia


VIDEO yang dirakam oleh WWF Rusia pertengahan bulan lalu menunjukkan dua ekor anak harimau bintang Amur sedang berkeliaran di pusat perlindungan khas haiwan itu di wilayah Primorsky, Rusia.


SEBUT sahaja harimau bintang, pasti ramai membayangkan haiwan pemangsa yang mempunyai kulit bertompok hitam. Ia lazim ditemui di kawasan hutan savana di negara-negara Afrika.

Begitupun, tidak ramai yang mengetahui, subspesies harimau bintang juga terdapat di kawasan hutan sederhana dan pergunungan salji di antara sempadan Rusia, China dan Korea Utara.

Dikenali sebagai harimau bintang Amur (Panthera pardus orientalis), haiwan ini turut digelar harimau bintang Manchuria dan harimau bintang Korea.

Dari segi fizikal, ia mempunyai ciri-ciri hampir dengan ‘saudaranya’ di Afrika, cuma bulunya lebih tebal dan panjang bagi menyesuaikan diri pada musim sejuk.

Ia mempunyai kaki dan gigi tajam selain kepantasan larian sehingga 60 kilometer sejam serta mampu melompat sehingga tiga meter ketika memburu mangsanya.

Seperti haiwan-haiwan pemangsa lain, harimau bintang Amur turut diburu kerana kulit serta khasiatnya dalam perubatan tradisional.

Malah Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) turut meletakkannya di bawah kategori haiwan paling terancam dengan jumlah sekitar 70 ekor di seluruh dunia.

Mempunyai kitar hayat antara 15 hingga 20 tahun, imej atau video harimau bintang Amur cukup sukar dilihat pada masa ini.


Membesar dalam persekitaran liar membuatkan si ibu sentiasa mengawasi anaknya.


Justeru, tidak hairanlah apabila beberapa keping imej dan video haiwan itu berjaya dirakam pada pertengahan bulan lalu di pusat perlindungan khas harimau bintang Amur yang terletak di wilayah Primorsky, Rusia ia menjadi tarikan umum.

Gambar itu menunjukkan seekor harimau betina dikenali sebagai Bery bersama dua ekor anaknya sedang berlegar di sekitar taman itu untuk mencari makanan.

Turut dipaparkan si ibu mengajar anaknya-anaknya itu memburu haiwan.

“Apabila melihat rakaman ini, kami sangat gembira kerana inilah kali pertama rakaman penuh kehidupan keluarga Bery dipaparkan kepada umum,” kata seorang penyelidik, Viktor Storozhuk.

Sebagai rekod, Bery merupakan anak kepada Kedrova, harimau bintang Amur yang pernah muncul dalam siri filem terkenal di internet, Spotty Family pada tahun 2014.

Berkembang

“Sekarang kami tahu waris Kedrova masih wujud dan selamat di taman ini. Keluarga haiwan ini sedang berkembang dan bakal melahirkan generasi seterusnya. Saya yakin video ini merupakan satu permulaan terhadap kisah yang lebih menggembirakan pada masa hadapan,” ujarnya.


AKTIVITI pemburuan merupakan antara punca utama kepupusan harimau bintang Amur.


Apa yang pasti, berita itu turut menggembirakan kalangan penyelidik tempatan dan pencinta haiwan di seluruh dunia. Ini kerana ia pernah dianggap hampir pupus selepas penyelidik mendapati jumlahnya tidak sampai 30 ekor pada tahun 2007.

Tidak hairanlah, ia telah membuka mata banyak pihak terutama pihak berkuasa Rusia yang membuka pusat perlindungan khas bagi haiwan itu pada 2012.

Terletak di sempadan Rusia-China, taman itu dihuni lebih 60 peratus daripada keseluruhan populasi harimau bintang Amur di dunia.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh WWF Rusia, harimau bintang Amur yang kelihatan dipercayai berusia empat bulan dan pada usia berkenaan ia mampu membesar sekali gus menambah bilangan haiwan sedia ada.

“Ia merupakan satu berita gembira dan menjadi bukti taman ini mampu menjadi tempat perlindungan dan pembiakan harimau bintang Amur dari seluruh dunia.

“Menerusi rakaman ini orang ramai berpeluang untuk melihat kehidupan haiwan tersebut dengan lebih dekat dalam habitat semula jadinya,” katanya.

Bagaimanapun, membesar dalam persekitaran liar sememangnya mencabar dan tidak hairanlah si ibu sentiasa bersama bagi mengawasi anak-anaknya agar tidak menjadi mangsa haiwan pemangsa lain.

Biarpun taman tersebut menyediakan tempat perlindungan khusus kepada harimau bintang Amur, namun dengan keluasan taman terhad sekitar 262 hektar jelas tidak mencukupi bagi tujuan itu.

Selain diburu, haiwan itu juga terdedah dengan konflik bersama manusia di samping kehilangan habitat asalnya akibat aktiviti pembalakan, kebakaran hutan, dan penerokaan tanah bagi pertanian.

Sebagai haiwan pemangsa yang berada pada kedudukan teratas adalah penting untuk memastikan kehadiran harimau bintang Amur dalam habitatnya.

Kepupusannya bukan sahaja menyebabkan gangguan terhadap ekosistem sedia ada malah alam sekitar secara keseluruhan kerana impaknya bakal dirasai manusia tanpa disedari.