Tidak menang tangan rentap gelama



tidak sampai seminit melontar joran ke laut, umpan udang yang dipasang dimakan ikan. Haslindaroha Hawari, 35, segera merentap joran tersebut. Hasilnya, seekor ikan gelama tergantung di joran.

Dia tersenyum puas dan selepas ikan ditanggalkan daripada mata kail, aktiviti itu diteruskan sehingga hari lewat petang.

"Apabila pancing disambar ikan, ia memberikan satu kepuasan. Itu sebabnya, saya dan keluarga seronok datang ke pantai ini untuk memancing gelama.

"Ikan gelama yang saya dapat sebesar dua jari hingga mencecah 1 kilogram (kg)," katanya yang menjalankan aktiviti itu bersama ahli keluarganya.

Haslindaroha merupakan antara kaki pancing yang ditemui di pantai Kampung Tanjung Agas di Pekan, Pahang baru-baru ini.

Kehadiran kaki-kaki pancing itu kerana bermula pertengahan Mac hingga hujung Mei setiap tahun, ikan gelama lebih banyak di perairan pantai tersebut berbanding bulan-bulan lain.

Pantai Kampung Tanjung Agas terletak 8.9 kilometer dari Bandar Diraja Pekan. Ia sudah menjadi sebahagian daripada agenda memancing tahunan dalam kalangan kaki-kaki pancing di Pahang.

Setiap hari ketika matahari mula menganjak terik, perairan pantai Kampung Tanjung Agas agak cetek sehingga menampakkan bayang beting pasir pada jarak kira-kira 100 meter dari gigi air di pantai.

Pada waktu itu, kawanan udang putih banyak ‘bermain’ di kawasan berhampiran pantai. Justeru, ada yang mengambil peluang menebarkan jala untuk mendaratkan berkilogram udang putih yang menjadi buruan pelbagai jenis ikan termasuk kerapu.

Menjelang lewat tengah hari iaitu ketika air mula pasang, kehadiran udang putih bersaiz sehingga 10 sentimeter panjang semakin banyak di kawasan perairan tersebut menarik perhatian ikan gelama papan dan gelama bongkok yang menjadikan udang-udang itu sebagai makanan.

Sepanjang tempoh itu, bilangan ikan gelama papan (Nibea soldado) dan gelama pisang atau disebut gelama bongkok (Chrysochir aureus) yang boleh mencecah sehingga 1.5kg seekor lebih mudah dipancing di pantai berkenaan terutamanya apabila air laut mula pasang sekitar pukul 1 petang hingga 7 malam.

Ketika itu, setiap umpan terutamanya udang, sotong atau cacing umpun yang dilontar bersama mata kail tidak pernah mengecewakan kerana ia akan dimakan ikan gelama dalam tempoh amat singkat, malah ada yang kurang seminit.

Justeru, kawasan pantai sepanjang empat kilometer itu menjadi tumpuan ramai seakan-akan pesta. Ada yang memasang khemah dan memasak.

Siti Norlisa Hussin, 34, dan keluarganya antara mereka yang tidak pernah ketinggalan menyertai pesta tersebut.

Ujar Siti Norlisa, pemancing-pemancing lain turut membawa keluarga masing-masing sambil berkelah di pantai itu.

"Biasanya, pantai ini agak sunyi kerana ia bukan lokasi memancing yang popular. Ia hanya meriah antara Mac hingga hujung Mei iaitu musim memancing ikan gelama bermula," ujar Siti Norlisa yang sanggup menempuh perjalanan kira-kira 150 kilometer dari tempat tinggalnya di Bandar Tun Razak, Jengka, Maran.

Enak


GELAMA papan menjadi buruan pemancing di pantai Kampung Tanjung Agas, Pekan, Pahang.


Dalam pada itu, peneroka Felda, Robuna Abdullah, 67, berkata, meskipun menebar jala di perairan Pantai Kampung Tanjung Agas menjanjikan hasil yang lebih banyak, namun kebanyakan pengunjung lebih gemar memancing kerana ingin menikmati saat ‘tidak menang tangan’ mendaratkan ikan gelama.

"Kalau memancing ikan lain seperti patin muncung, tengas, kerai atau kelah di sungai, seseorang pemancing memerlukan banyak masa dan kesabaran sebelum umpan dimakan. Begitupun, apabila memancing gelama pada musim ini, umpan asyik kena tarik.

"Saya kerap memancing ikan yang mahal, sekali-sekala seronok juga melayan gelama walaupun ia bukan ikan kategori mencabar," katanya.

Isterinya, Ruhizan Bachik, 56, pula berkata, gelama bongkok yang baru didaratkan isinya rasa enak apabila disiang dan digoreng ketika masih segar iaitu dalam tempoh kira-kira sejam selepas dipancing.

Ujar Ruhaizan, keenakan meratah isi gelama bongkok segar itu membuatkan dia sanggup menemani suami memancing di perairan Pantai Kampung Tanjung Agas.

"Dalam tempoh sejam, kalau dua atau tiga orang daripada satu keluarga memancing gelama di sini, boleh dapat hampir 2kg ikan. Cukuplah dijadikan lauk buat makan tengah hari sementara menunggu air pasang pada sebelah petang.

"Lebihan gelama yang dipancing sehingga lewat petang biasanya dibawa pulang untuk dibuat ikan kering atau dijadikan jeruk. Ikan gelama boleh dibuat jeruk dengan merendamkan ia dalam air cuka selama satu hari sebelum dikeringkan dan dilumur garam semasa menjemur," katanya.

Umpan


SUASANA pantai Kampung Tanjung Agas, Pekan ini berubah meriah pada bulan Mac hingga Mei setiap tahun.


Sementara itu, juruteknik yang juga peminat hobi memancing, Mohamad Ridzuan Mohamad, 35, berkata, ikan gelama gemar memakan umpan udang dan sotong dipotong sebesar seruas jari kelengkeng sebelum dicucuk ke mata kail bersaiz kecil yang lazimnya digunakan untuk memancing udang galah.

"Ada orang kata memancing gelama ini tidak susah seperti memancing ikan-ikan lain sebab ia daripada jenis ikan kecil. Bagaimanapun, setiap jenis ikan termasuk gelama perlu dipancing dengan cara yang betul. Kalau tidak, pasti kecewa dan balik dengan tangan kosong.

"Apabila terasa umpan dimakan, joran mesti segera direntap sederhana kuat, kemudian dikarau tali joran untuk mendaratkan gelama. Jika tidak segera direntap dengan kekuatan yang sesuai atau dibiar ia makan terlebih dulu, umpan itu akan habis dimakan dan ikan pun tak dapat dinaikkan," ujarnya.


MEMANCING ikan gelama di pantai ini menjadi satu aktiviti keluarga.


Terletak di laluan Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, Kampung Tanjung Agas yang memiliki populasi sekitar 1,500 penduduk yang bekerja sebagai nelayan merupakan kawasan berpaya serta mempunyai beberapa aliran anak sungai menghubungkan air Sungai Pahang dengan Laut China Selatan.

Aliran anak sungai di sekitar Kampung Tanjung Agas yang menjadi habitat hidupan akuatik tertentu turut menjadi sasaran para pemancing untuk memburu udang galah serta ketam nipah pada setiap kali ‘musim air dedar’ iaitu ketika air sederhana suam yang bermula selepas tamat musim tengkujuh iaitu sekitar pertengahan April.

Selain Kampung Tanjung Agas, kawasan sepanjang Sungai Pahang di Bandar Diraja Pekan juga merupakan salah satu daripada zon penternakan ikan patin sangkar turut menjadi kawasan tumpuan pemancing untuk memburu spesies-spesies tertentu seperti pari dan siakap.