Projek berus gigi Jordan simbol perpaduan pelajar



SENYUMAN manis yang terzahir pada bibir seseorang boleh menghadirkan perasaan mesra lewat setiap pasang mata yang memandang.

Senyuman memikat dan meyakinkan pasti akan lebih terserlah andai diserikan dengan barisan gigi yang teratur dan putih bersih.

Berkongsi matlamat untuk menyebarkan kebaikan seumpama itu kepada kumpulan masyarakat yang lebih memerlukan, sekumpulan 50 orang pelajar dari Kolej Antarabangsa INTI Subang, Subang Jaya, Selangor dengan dibantu tiga orang pensyarah Pusat Pengajian Seni dan Reka Bentuk Inti (ICAD) telah bekerjasama dengan pengeluar berus gigi tersohor Norway, Jordan untuk menghasilkan replika berus gigi gergasi.

Kerjasama

Ia juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Jordan Asia Pacific Sdn. Bhd. sempena ulang tahun ke-180 jenama itu sejak ditubuhkan pada 5 Ogos 1837 oleh Wilhelm Jordan di Oslo, Norway.

Penganjuran projek melibatkan penyertaan pelajar secara sukarela ini juga menjadi penanda aras baharu kepada kolej itu yang kini sudah menginjak usia tiga dekad sejak ditubuhkan pada tahun 1986.

Selaku ketua kumpulan, Ong Yu Xin, 21, melihat lamaran koordinator ICAD, Phua Chu Xian agar dia melibatkan diri dalam projek mega ini sebagai ruang untuknya berkenalan dengan rakan-rakan daripada program pengajian lain.

“Jika sebelum ini kami sering berjumpa di fakulti, namun tidak pernah bertegur sapa.

“Program ini merapatkan hubungan kami dan saya seronok dapat bertukar-tukar buah fikiran dengan mereka yang mempunyai kreativiti berbeza,” ujar pelajar semester ketujuh Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Grafik Kolej Antarabangsa INTI Subang itu.

Menyentuh tentang peranannya dalam menjayakan projek mega itu, Yu Xin memberitahu, dia mengepalai pasukan warna bersama seorang rakan lain.

“Kumpulan warna penting untuk menyusun atur berus-berus gigi mengikut warna sesuai agar kelihatan menarik. Kami perlu menunggu kumpulan penstrukturan menyiapkan lakaran lukisan awal sebelum mula merancang susunan berus gigi.


Kejayaan mencipta berus gigi gergasi sepanjang 5.8 meter mencatat penanda aras baharu sempena ulang tahun ke-180 tahun Jordan dan ke-30 tahun Kolej Antarabangsa INTI Subang.


“Ia tidak mudah kerana kami perlu menitikberatkan faktor kesesuaian mengikut kedudukan ia akan disusun melibatkan teknik bayang, sudut dan konfigurasi warna agar ia tidak kelihatan canggung,” jelas anak kelahiran Subang Jaya, Selangor itu.

Penghasilan berus gigi model Clean Smile bersaiz gergasi sepanjang 5.8 meter itu telah melibatkan penggunaan lebih 2,000 batang berus gigi dalam tujuh varian warna.

Yu Xin menjelaskan, bahagian atas batang disusun dengan berus gigi berwarna hitam putih yang kurang menyerlah. Bahagian tepi pula menggunakan warna-warna cerah seperti kuning, merah jambu dan putih, manakala hitam pula dijadikan tona dasar.

Seorang lagi pelajar, Cheok Shu Chin, 20, yang merupakan ketua kumpulan penstrukturan memberitahu, cabaran besar yang dihadapi kumpulannya ialah apabila mereka diminta mencipta bulu berus gigi gergasi menggunakan susunan berus gigi.

Pengorbanan

“Selepas berbincang dengan ahli kumpulan dan merujuk kepada pensyarah yang menyelia projek, akhirnya kami menemui jalan penyelesaian iaitu menyusun berus gigi tanpa plastik pembungkus dalam susunan membulat dengan bahagian berus menyentuh satu sama lain.

“Bahagian berus dan hujung batang dilekatkan menggunakan gam agar ia kukuh dan tidak tercabut,” kata pelajar semester keempat Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Dalaman itu.

Tambah Shu Chin, dia menghabiskan masa antara empat hingga enam jam sehari terutama pada dua minggu pertama sejak projek tersebut dimulakan.

“Projek membina replika berus gigi gergasi ini mengambil masa selama hampir dua bulan.

“Bulan pertama merupakan cuti semester selama sebulan dan kami mengorbankan waktu rehat daripada kuliah tersebut demi memberi komitmen penuh terhadap projek ini,” kongsi Shu Chin menceritakan pengorbanan yang dilakukan sepanjang projek berlangsung.

Selepas kumpulan penstrukturan menyiapkan lakaran, kumpulan modular perlu membuat anggaran saiz terutama melibatkan ukuran bongkah kayu. Mereka menggunakan khidmat tukang kayu untuk memotong bongkah kayu agar terbentuk seperti berus gigi model Clean Smile.

Kemudian, berus gigi akan dilekatkan pada bongkah kayu yang telah siap dibentuk dan disusun mengikut koordinasi warna bersesuaian.

Menurut Pengarah Projek yang juga merupakan pensyarah reka bentuk dalaman, Ryan Cheah Sze Yen, kesemua 50 orang pelajar dibahagikan kepada empat kumpulan bertindak iaitu penstrukturan, modular, warna dan instalasi.


Perbincangan awal tentang gerak kerja dilakukan dengan terperinci sebelum memulakan aktiviti.


Derma

“Walaupun diletakkan dalam kumpulan berbeza, namun mereka berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk memastikan projek ini berjalan lancar.

“Selain melatih mereka menajamkan skil komunikasi dan kreativiti, secara tidak langsung pelajar juga didedahkan supaya memanfaatkan setiap peluang yang ada dalam hidup,” jelas pensyarah muda itu.

Sementara itu, koordinator ICAD yang juga pensyarah reka bentuk dalaman, Phua Chu Xian menegaskan, setiap rekaan dan hasil karya pelajar perlu bersifat praktikal, fungsional dan tidak hanya bersandar pada rupa yang cantik sahaja.

Usaha yang ditunjukkan semua pihak bagi menjayakan projek membina replika berus gigi gergasi telah melayakkan syarikat Jordan Asia Pacific Sdn. Bhd. dianugerahkan pengiktirafan Replika Berus Gigi Terbesar oleh Malaysia Book of Records pada 27 April lalu.

Dalam pada itu, Pengurus Pasaran Malaysia, Thailand dan Taiwan, Eric Yong Chee Loong sewaktu diminta mengulas memberitahu, penghasilan replika berus gigi gergasi tersebut juga antara lain bertujuan menggalakkan kempen kesihatan mulut dalam masyarakat.

“Hasil tinjauan kami mendapati, kebanyakan masyarakat Asia tidak tahu atau tidak mempraktikkan cara memberus gigi dengan betul.

“Justeru, selepas projek ini berakhir, kami akan mendermakan kesemua berus gigi yang dilekatkan pada bongkah kayu kepada badan kebajikan, namun lokasinya masih belum diputuskan,” jelasnya.