Siti utamakan kualiti



ADA beberapa sebab mengapa Datuk Siti Nurhaliza memilih frasa SimetriSiti sebagai judul album studio terbaharunya.

Menurut penghibur nombor satu negara itu, simetri menggambarkan sebuah keseragaman dari pelbagai elemen penghasilan muzik.

Ia termasuk pemilihan komposer dan lagu, lontaran bait lirik serta produksi rakaman muzik untuk album secara keseluruhan.

“Saya sengaja memilih SimetriSiti sebagai judul untuk album kali ini. Ia membawa maksud istimewa kerana lagu-lagu dimuatkan terhasil berpandukan piawaian kualiti yang sama.

“Sehinggakan, saya tidak dapat menamakan satu lagu yang paling digemari kerana 10 karya yang dimuatkan dalam SimetriSiti adalah terbaik bagi saya,” ujar Siti pada majlis pelancaran albumnya di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanda sebagai album ke-16 milik wanita berusia 38 tahun itu selepas Fragmen (2014), SimetriSiti turut memuatkan beberapa kejutan buat pemuja setia beliau. Antaranya adalah lagu ciptaan Siti sendiri yang berjudul Penghiburku.

Kongsi Siti, ada kisah menarik di sebalik penciptaan lagu yang turut menampilkan penyanyi hip-hop Joe Flizzow itu.

Penghiburku

“Sudah agak lama tidak menulis lagu untuk dimuatkan dalam album. Jadi, saya berpendapat ini adalah masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

“Tetapi, idea untuk mendapatkan melodi agak sukar dan saya mengambil masa yang agak lama untuk mencipta sebuah lagu yang lengkap,” katanya.

Sambung pemenang kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu Menatap Dalam Mimpi pada Anugerah Industri Muzik (AIM) tahun lalu itu, beliau akhirnya dapat mencipta melodi untuk lagu berentak rancak tersebut ketika sedang menantikan kelahiran cucu tirinya, Arif Jiwa Muhammad Asyraf akhir bulan lalu.


PASARAN Versi edisi terhad dan standard SimetriSiti bakal dilancarkan secara rasmi pada 10 Mei depan. Turut dipasarkan menerusi platform digital, album tersebut dilancarkan serentak di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.


“Kakak ipar selaku pengurus, Rozi Abd. Razak memberi tarikh akhir kepada saya untuk menghantar melodi kepada komposer Aubrey Suwito agar proses mastering dapat dilakukan untuk kesemua trek.

“Tidak sangka pula pada melodi lagu Penghiburku muncul dalam kotak minda ketika menemani menantu tiri, Tya Arifin melahirkan bayi sulungnya.

“Saya segera rakamkan melodi tersebut menggunakan telefon bimbit lalu dihantar kepada Aubrey untuk diterbitkan,” katanya yang turut menulis lirik lagu tersebut pada hari rakaman.

Lebih istimewa, lagu Penghiburku turut ditujukan kepada peminat yang selama ini tidak pernah lelah menyokong kerjayanya sebagai penyanyi.

“Peminat saya mempunyai pelbagai ragam dan kadangkala, telatah mereka sungguh melucukan.

“Jadi, lagu ini saya dedikasikan khas untuk mereka yang sering menghiburkan saya tanpa mengira masa dan ketika,” katanya.

Sambutan

Sekitar seminggu lalu, single utama yang dipetik daripada album SimetriSiti, Segala Perasaan telah dilancarkan menerusi beberapa platform digital tempatan.

Lagu ciptaan komposer dari Indonesia, Ivan Lahardika itu bukan sahaja menerima maklum balas positif peminat, tetapi berjaya menduduki carta teratas iTunes Malaysia untuk tiga hari berturut-turut sejak dilancarkan.

Keterujaan peminat terhadap buah tangan baharu Siti Nurhaliza tidak terhenti setakat itu. Sewaktu edisi terhad album SimetriSiti dilancarkan secara pratempahan menerusi portal beli-belah Lazada pada 4 Mei lalu, sebanyak 300 salinan habis ditempah dalam tempoh 20 minit terawal.

Menariknya, 300 edisi terhad SimetriSiti menampilkan sampul muka hadapan eksklusif yang berbeza daripada versi standard.

Mengakui gembira mendengar perkhabaran tersebut, Siti berkata, situasi berkenaan membuktikan masih ada peminat yang mahu berbelanja dan membeli lagu daripada artis kegemaran mereka.

“Melihat situasi muzik sekarang, saya agak terkejut dengan sambutan yang diberikan oleh peminat.

“Ia membuktikan bahawa karya yang bagus yang diadunkan dengan sokongan syarikat rakaman, ia mampu dijilidkan sebagai sebuah album berkualiti untuk dibeli oleh peminat,” ujarnya sambil tersenyum.

Bercerita lanjut, kata Siti, beliau dan syarikat rakamannya, Universal Music Malaysia mengambil masa selama empat bulan untuk menyiapkan album tersebut.


ANTARABANGSA Beberapa lagu dalam SimetriSiti seperti Bersandar Cinta, Segala Perasaan, Manis Terindah dan Tak Perlu Ragu dirakam dengan iringan Bulgarian National Radio Symphony Orchestra di Bulgaria.


Menariknya, sebanyak 300 karya dinilai terlebih dahulu sebelum 10 lagu terbaik dipilih untuk berdiri sebagai penguat SimetriSiti.

“Proses pemilihan dilakukan secara berperingkat. Proses tersebut melibatkan saya, pihak pengurusan dan syarikat rakaman.

“Kami mengundi lagu yang sesuai sehingga memutuskan 10 karya terbaik untuk dirakam. Alhamdulillah, proses tersebut tidak memakan masa panjang dan ia berlangsung dengan lancar,” katanya.

Beralih cerita mengenai rekaan kulit album, Siti memilih tema retro Hollywood yang menggambarkan perjalanan kariernya sepanjang 21 tahun berada dalam industri hiburan.

“Karier saya didukung oleh kelompok penting seperti peminat, jurugambar, jurusolek, pereka fesyen dan wartawan.

“Jadi, molek rasanya jika saya abadikan mereka secara visual menerusi rekaan kulit album SimetriSiti. Pastinya, ia berbeza daripada apa yang pernah dilakukan sebelum ini,” katanya lagi.

AIM

Ditanya mengenai hala tuju album terbaharunya, Siti menginginkan SimetriSiti mengulang kembali kejayaan beberapa albumnya terdahulu menerusi AIM.

“Selain kepuasan peminat, saya juga ingin melihat album yang dibikin mendapat tempat pada acara-acara anugerah.

“Hal ini kerana, saya seperti telah memikul tanggungjawab yang besar untuk menghasilkan karya terbaik selepas beberapa kejayaan yang diraih oleh album sebelum ini.

“Namun, ia bukanlah satu keutamaan. Asalkan album yang dipasarkan menepati piawaian khalayak, ia sudah cukup menggembirakan,” katanya yang mengharapkan album SimetriSiti dapat memenangi kategori Anugerah Kulit Album Terbaik pada penganjuran AIM akan datang.