Tukang jahit profesional dari studio Rocka

Khodijah menunjukkan beberapa pakaian yang dihasilkan oleh golongan ibu tunggal dan wanita penyara tunggal keluarga di studio Rocka.


Matanya bersinar bening. Ibu tunggal, Khodijah Mat Edek, 46, bagai sudah melupakan kepahitan perceraian kala menatap rekaan kimogan iaitu gabungan kimono dan kardigan yang dihasilkannya.

Pernah mengerah keringat menjadi tukang bancuh air minuman untuk membayar sewa bilik sebuah rumah pangsa di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, ibu lima anak itu kini sudah boleh menarik sedikit nafas lega.

Bekerja di sebuah studio mengeluarkan pakaian berjenama Rocka Atelier (Rocka) di Shah Alam, Selangor, Khodijah bersyukur kerana hidupnya dipertemukan dengan Yayasan Pendidikan dan Vokasional Wanita Malaysia (YPVWM) yang memberikan latihan dan akhirnya menyerap khidmatnya ke studio Rocka.

Rocka ialah projek inovatif YPVWM dalam membentuk wanita-wanita ini ke arah menjadi pereka fesyen atau tukang jahit profesional.

Ia mencipta peluang buat para wanita kurang bernasib baik seperti ibu tunggal, wanita penyara tunggal keluarga setelah suami hilang upaya bekerja dan sebagainya untuk menikmati dunia fesyen dan keusahawanan.

“Rasa tidak percaya saya mampu menghasilkan pakaian ini. Saya juga sudah berpengalaman menyaksikan pertunjukan fesyen yang saya tidak pernah jangkakan dalam hidup saya selama ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Khodijah dari Keramat Jaya, Kuala Lumpur bercerai dengan suaminya pada Mei 2015. Selepas bercerai, dirinya terkontang-kanting. Sebelum ini, suri rumah itu hanya bergantung kepada pendapatan suami.

“Seorang rakan lama yang senasib dengan saya mencadangkan untuk kami menyertai latihan di YPVWM yang menyediakan pelbagai kursus termasuk jahitan.

“Saya mula mengikuti kursus jahitan Ogos tahun lalu. Saya bukan sahaja dapat latihan percuma bahkan terus ditawarkan kerja sepenuh masa.

“Saya juga tidak perlu lagi memikirkan tempat tinggal sebab YPVWM turut menyediakan asrama di Petaling Jaya. Kenderaan ke tempat kerja juga disediakan,” katanya yang kini tinggal di asrama bersama seorang anaknya manakala yang lain bersama bekas suami. Anak-anak mereka berusia antara 8 hingga 23 tahun.


Studio Rocka di Seksyen 16, Shah Alam, Selangor juga menjadi pusat latihan jahitan.


Rocka yang ditubuhkan sejak tahun lalu berkonsepkan perusahaan sosial (social enterprise). Perusahaan sosial ialah entiti yang mempraktikkan model perniagaan dalam usaha mencapai matlamat sosial iaitu membantu ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan sebagainya untuk menceburi bidang keusahawanan.

Kursus

Menurut pengasas bersama Rocka, Azrin Abu Bakar, studio jahitan dan pengeluaran pakaian itu ditubuhkan dengan modal sendiri selain bantuan kewangan daripada agensi kerajaan, Pusat Inovasi Global dan Kreativiti Malaysia (MaGIC) yang banyak membantu sektor perusahaan sosial tanah air.

“YPVWM merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu memberikan latihan kepada wanita-wanita kurang bernasib baik manakala Rocka merupakan salah satu entiti perusahaan sosial di negara ini. Rocka berada dalam kedudukan 25 teratas perusahaan sosial di Malaysia dan ia sebilangan kecil yang memfokuskan kepada jahitan moden.

Bagaikan satu kitaran, Azrin berkata, hasil daripada jualan Rocka kemudian digunakan untuk menyuntik kewangan YPVWM dalam meneruskan operasi yayasan itu.

Kerjaya

Jelasnya, matlamat penubuhan Rocka adalah untuk menyedarkan wanita-wanita ini bahawa kerjaya tukang jahit tidak sepatutnya dilihat pada skop yang sempit.

“Lazimnya, wanita-wanita ini hanya mengikuti latihan menjahit sekadar untuk menjadi tukang jahit kecil-kecilan di rumah.

“Kita bukan sekadar mahu melahirkan tukang jahit yang biasa-biasa, tetapi lebih daripada itu. Kita mahu mereka berupaya hasilkan baju moden dan pelbagai pakaian rekaan sendiri,” katanya.

Azrin berkata, kursus jahitan berjalan selama 10 hari sahaja. Mereka yang berpotensi kemudian ditawarkan untuk menjadi perantis selama enam bulan dengan menerima elaun bulanan.

“Semasa menjadi perantis, mereka telah pun ditugaskan di Rocka. Selepas enam bulan menjadi perantis, mereka akan ditawarkan kerja sepenuh masa.

“Kami boleh dikatakan masih baharu. Pada masa ini kami memiliki seorang pekerja sepenuh masa, dua perantis dan 50 peserta kursus jahitan,” katanya.

Jurulatih jahitan di Rocka, Azlyn Abu Bakar berkata, dalam kursus jahitan, mereka bukan sahaja diberikan latihan pelbagai kemahiran menjahit bahkan dilengkapi ilmu perniagaan online dan sebagainya.

Azlyn yang merupakan graduan rekaan fesyen dan pemasaran dari UCSI University, Cheras berkata, fesyen di Rocka bersifat moden dengan rekaan terkehadapan. Antara produknya blaus, dres, seluar lebar dan kot.

Azlyn berkata, tenaga kerja oleh wanita-wanita ini boleh dianggap sebagai ‘faktor wow’ produk Rocka melalui penggunaan hashtag #whomadeyourclothes (siapa yang hasilkan pakaian ini) dalam risalah promosi mereka.


DI sebalik rekaan busana moden ini, ia terhasil daripada keringat wanita-wanita yang kurang bernasib baik.


“Kita mahu mencetuskan kekaguman bahawa di sebalik pakaian moden itu, rupa-rupanya dibuat oleh wanita-wanita biasa dalam kalangan ibu tunggal atau wanita daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Namun, ia juga cabaran kerana kami perlu memastikan pakaian yang dihasilkan benar-benar hebat supaya ia mengejutkan orang setelah mengetahui ia buatan ibu tunggal, bukan hanya kerana simpati lalu mereka membelinya,” katanya.

Jika Khodijah ibu tunggal, lain pula keadaannya dengan seorang perantis Rocka, Saadiah Yahya, 48. Saadiah menjadi penyara keluarga setelah suaminya tidak boleh bekerja kerana penyakit sendi, artritis reumatoid sejak empat tahun lalu.

Kemahiran

Ibu kepada tiga anak dari Puchong, Selangor itu telah melakukan pelbagai kerja antaranya mengambil anak-anak jiran dari sekolah, menjaga anak jiran dan menjahit pakaian yang ringkas.

“Apabila dapat tahu mengenai kursus jahitan yang ditawarkan di YPVWM, saya mengikutinya kerana ia dapat meningkatkan kemahiran menjahit potongan dan rekaan yang lebih profesional,” katanya.

Peserta kursus YPVWM, Suriyana Dawam, 45, dari Tanjung Karang, Selangor tidak dapat membendung kesedihan berjauhan dengan keluarga untuk melengkapkan 10 hari tempoh kursus.

Namun, ibu enam anak itu nekad belajar menjahit untuk membantu suaminya yang berpendapatan rendah.

“Suami saya bekerja kilang dan dia tidak boleh melakukan kerja berat kerana faktor kesihatan. Saya lakukan ini semua untuk suami dan anak-anak,” katanya dengan linangan air mata.