Variasi unik tudung bawal Scarff.Co


Gaya yang minimalis menjadi kekuatan tudung bawal Scarff.Co.


Tudung bawal yang mudah untuk digayakan ternyata mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Ini kerana fesyen tersebut sentiasa mengalami evolusi dari semasa ke semasa.

Bagi syarikat pengeluar tudung bawal, Scarff.Co, potensi yang terdapat pada tudung jenis tersebut membuatkan mereka komited menghasilkannya bagi pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Scarff.Co, Hairil Aiman Azmy berkata, mereka menawarkan dua variasi tudung bawal kepada para pengguna yang menggemari tudung jenis berkenaan.

“Yang pertama ialah Bawal Nombor 1 yang juga dikenali sebagai Bawal Asli. Ia diperbuat daripada kain kapas berkualiti tinggi dengan ukuran bidang bersaiz 45 inci.

“Penggunaan material tersebut membolehkan pengguna membentuk tudung berkenaan dengan mudah. Aspek tersebut amat penting kerana kami mahu tudung yang dikeluarkan bersifat mesra pengguna,” katanya kepada Aura Juita baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau berkata, tudung tersebut dijual antara RM40 hingga RM90, yang mana harga berkenaan dipengaruhi oleh satu faktor iaitu jenis perincian yang digunakan.

Hairil Aiman memberitahu, dua jenis perincian digunakan bagi Bawal Asli Scarff.Co iaitu batu berlian biasa dan batu Swarovski.


Hairil AIMAN (kanan) dan Pengarah Urusan Scarff.Co, Airin Suhaniz Akhbar menunjukkan koleksi tudung bawal keluaran syarikat mereka.


“Bawal Asli yang dihiasi dengan batu Swarovski, harganya lebih tinggi berbanding yang menggunakan batu biasa, namun harganya tetap mampu milik dan berkualiti tinggi,” katanya.

Sementara itu, menurut Hairil Aiman, pengguna yang ingin mendapatkan Bawal Asli pada harga lebih rendah boleh membeli tudung berkenaan yang dihiasi dengan batu berlian biasa.

“Kira-kira 103 variasi warna kami sediakan kepada pengguna, dengan antara warna popular dalam kalangan pelanggan Scarf.Co ialah warna pastel. Semua tudung berkenaan sudah sedia untuk dijual.

“Variasi kedua bagi tudung bawal keluaran kami adalah yang dihasilkan lebih murah berbanding Bawal Asli iaitu dijual antara harga RM15 hingga RM30 sahaja,” katanya.

Beliau berkata, ia yang turut dijahit menggunakan ukuran bidang 45 inci sesuai dibeli oleh pengguna yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Katanya, harganya yang kompetitif ditawarkan kepada pengguna menjadi antara kekuatan jenama tersebut dan beliau percaya Scarff.Co boleh melangkah lebih jauh dalam industri fesyen tempatan.

Dalam pada itu, Hairil Aiman memberitahu, Scarff.Co akan melancarkan koleksi bawal terbaharu pada hujung bulan ini dan 1,000 unit sahaja akan dijual kepada orang ramai.

“Tudung koleksi terbaharu itu akan didatangkan dalam 12 pilihan warna sahaja. Maklumat lanjut berkenaannya akan kami hebahkan kepada umum sebaik ia sedia untuk dipasarkan,” katanya.