Raja Afiq mahu perbaiki mutu lakonan


KISAH kontroversi berhubung tindakan Raja Afiq meninggalkan lokasi penggambaran sebuah drama baru-baru ini tidak menjejaskan kerjaya seninya. Perkara tersebut dianggap sebagai asam garam dalam kehidupan sebagai artis.


MEMEGANG status sebagai selebriti popular pastinya menjadikan seseorang anak seni tidak dapat lari daripada dihimpit pelbagai kisah kontroversi.

Situasi sama turut melanda pelakon baharu, Raja Afiq yang baru-baru ini menjadi bualan dengan kontroversi meninggalkan set penggambaran sebuah drama kerana salah faham tentang jadual lakonan.

Insiden yang berlaku sekitar Mac lalu bagaimanapun tidak menjejaskan kerjaya jejaka berusia 22 tahun itu. Dia sebaliknya menganggap insiden berkenaan sebagai asam garam bergelar artis.

Pada masa sama, jejaka yang mesra dengan panggilan Afiq itu berpendapat, dia memerlukan strategi terutama berkaitan kualiti lakonan agar tidak menimbulkan rasa jemu dalam kalangan penonton.

Mengulas lanjut, pelakon kelahiran Drama Festival Kuala Lumpur itu berpendapat, bergandingan bersama pelakon lama dalam sesebuah naskhah memainkan peranan penting bagi membantu meningkatkan kualiti lakonannya.

Perkara tersebut bagaimanapun tidak mencerminkan dirinya mula bersikap ‘diva’ atau memilih regu lakonan tetapi ia sekadar strategi percaturan dalam bidang seni.

KOSMO!: Adakah Raja Afiq mengakui impak daripada drama rantaian Sayangku Kapten Mukhriz telah membuatkan anda semakin dikenali?

RAJA AFIQ: Secara peribadi saya tidak beranggapan diri ini sudah terlalu popular. Biarpun demikian, tidak dinafikan naskhah tersebut telah menjadikan saya dikenali sehingga berjaya tersenarai dalam kategori Gandingan Serasi Drama bersama Niena Baharun pada Anugerah Bintang Popular 3.0 baru-baru ini. Pencalonan itu secara tidak langsung memberikan kesan positif kepada saya sebagai pelakon baharu.

Dicalonkan bagi kategori pasangan serasi, adakah anda berpendapat gandingan dalam sesebuah karya membantu untuk menjadi lebih dikenali?

Bagi saya, keserasian dilihat berdasarkan mutu lakonan. Biar dengan siapa pun kita bekerja tetapi jika hasil kerja yang diberikan tidak baik, ia pasti memperlihatkan mutu yang kurang memuaskan.

Biarpun demikian, saya sentiasa berharap diberi peluang bergandingan dengan pelakon senior kerana ia dilihat dapat membantu meningkatkan kualiti lakonan. Bekerjasama dengan pelakon yang lebih berpengalaman secara tidak langsung memberi peluang buat saya menimba ilmu lebih banyak.

Bergandingan dengan pelakon yang lebih pengalaman dan dikenali, tidakkah ia kelihatan seperti jalan mudah untuk anda menumpang populariti?

Ia tidak melibatkan populariti semata-mata tetapi pengalaman. Hasrat itu sekadar keinginan dan sekiranya diberi peluang bergandingan dengan pelakon baharu, ia tidak menjadi masalah kerana kami akan saling berkongsi ilmu dan memperbaiki kesilapan diri.

Sebelum ini, anda terlibat dengan kontroversi apabila didakwa meninggalkan set penggambaran sebuah drama. Adakah anda berpendapat insiden tersebut secara tidak langsung menjadikan anda semakin dikenali peminat?

Tidak dinafikan ada kontroversi yang membantu kerjaya dan ada juga menjatuhkan. Bagi saya, perkara yang berlaku itu tidak memberikan kesan buruk atau menjejaskan kerjaya kerana ia merupakan asam garam sebagai artis.

Sorotan daripada kejadian tersebut, adakah anda banyak menerima tawaran berlakon?

Alhamdulillah, kontroversi terbabit tidak memberi kesan negatif. Biarpun terpalit dengan cerita kurang enak tetapi saya tetap banyak menerima tawaran berlakon drama dan terbabit dengan iklan komersial.

Saya akan muncul menerusi drama rantaian berjudul Cinta Koko Coklat. Saya juga sedang bersedia untuk menjalani penggambaran drama rantaian bertajuk Lelaki Itu Pemilik Hatiku.

Bercerita soal lakonan, adakah anda selesa membawakan karakter hampir serupa iaitu lelaki romantik berikutan sambutan positif yang diterima menerusi drama rantaian Sayangku Kapten Mukhriz?

Sebagai pelakon baharu, saya pastinya tidak cerewet dalam soal pemilihan watak tetapi jika diberi peluang untuk melakukan transisi, ia pastinya suatu perkara yang dinantikan.

Saya tidak mahu dipandang stereotaip kerana kerap muncul membawakan karakter sama. Saya bersyukur kerana menerusi naskhah Cinta Koko Coklat, impian untuk membawakan watak antagonis terlaksana dan secara tidak langsung ia mencabar kemampuan diri serta berpeluang mempelajari perkara baharu.