Menyamar jejak anak gelandangan

Zulkernai sanggup memasuki lorong-lorong dan bawah jambatan bagi menerangkan kewujudan SBJK kepada gelandangan.


SEBAIK seorang lelaki melangkah keluar dari kereta, beberapa kanak-kanak berusia dalam lingkungan tujuh tahun menuju ke arahnya dan menghulurkan tangan untuk bersalam.

Lelaki itu kemudiannya menyambut salam tersebut dan memeluk kanak-kanak itu sambil mengajukan beberapa soalan.

“Bagaimana dengan kamu hari ini. Apa yang anak-anak belajar hari ini,” tanya Zulkernai Fauzi, 51, kepada kanak-kanak tersebut.

Beliau melayan mesra kanak-kanak tersebut umpama anak sendiri.

Bagi kanak-kanak itu yang merupakan pelajar di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) yang terletak di Lorong Haji Hussein 2, Kuala Lumpur, insan bernama Zulkernai itu umpama ayah kepada mereka.

Beliau ditugaskan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan ke sekolah itu untuk menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai pengetua.

“Sebaik mendapat tahu saya ditugaskan sebagai pengetua, saya berasa gembira kerana SBJK ini bukanlah seperti sekolah harian lain.

“Saya menyahut cabaran yang diberikan oleh kementerian untuk memberi sinar baharu kepada anak-anak jalanan di sekitar sini,” jelasnya yang dilahirkan pada 31 Oktober 1966.

SBJK adalah merupakan satu inisiatif Kementerian Pendidikan terhadap keperluan meneruskan usaha memberikan akses pendidikan kepada kanak-kanak jalanan di sekitar ibu negara.

Mula beroperasi pada 19 Ogos 2013, SBJK menyediakan perkhidmatan pendidikan formal dengan modifikasi dari segi kurikulum dan pengoperasian yang bersesuaian dengan keadaan setempat dan situasi kanan-kanak jalanan yang terpinggir.

Suasana pembelajaran di sekolah itu bersifat multigrade learning yang menempatkan semua murid dalam satu kelas tanpa perbezaan umur.

Murid akan ditempatkan mengikut kelas umur yang terbahagi kepada empat sistem iaitu pendidikan prasekolah bagi yang berumur empat hingga enam tahun, pendidikan rendah (7 hingga 12 tahun), menengah (13 hingga 19 tahun) dan asas vokasional seperti kelas memasak, jahitan serta muzik.

Menurut Zulkernai, sebaik menerima surat pelantikan sebagai pengetua di SBJK, beliau telah menanam niat untuk melakukan amal jariah dengan membantu masyarakat setempat.

Beliau mula bertugas secara rasmi sebagai pengetua pertama di sekolah itu pada 16 Oktober 2013. Ketika itu, hanya terdapat 43 orang pelajar.

Langkah pertama


SBJK menjadi platform untuk anak-anak gelandangan mendapatkan pendidikan.


“Langkah pertama yang saya ambil ialah memahami persekitaran sekolah dan mendekati ahli masyarakat terutamanya mereka yang berpengaruh di situ.

“Kemudian saya memulakan langkah untuk menambah bilangan pelajar dengan membuat tinjauan di sekitar kawasan berkenaan seorang diri,” jelasnya.

Tambahnya, beliau merasakan anak-anak gelandangan di sekitar kawasan itu berhak mendapat pendidikan dan mereka tidak boleh dibiarkan tanpa hala tuju.

Bagi menambah bilangan pelajar di sekolah itu, beliau mengambil keputusan untuk menyamar sebagai gelandangan dan masuk ke lorong-lorong gelap, bawah jambatan dan lokasi yang menjadi tempat tinggal gelandangan.

Zulkernai berkata, dengan cara itu beliau boleh mendekati golongan gelandangan dan memperkenalkan tentang SBJK, sekali gus menggalakkan mereka menghantar anak ke sekolah.

Pada sebelah malam, beliau berpakaian seperti seorang gelandangan dengan menyarung seluar lusuh, baju Pagoda dan sebuah beg. Menerusi penyamaran itu, beliau dapat berbual dengan gelandangan di situ.

“Sebenarnya golongan yang kurang bernasib baik ini mahu anak-anak mereka ke sekolah dan mendapat pendidikan sempurna. Begitupun, beberapa masalah seperti ketiadaan dokumen pengenalan diri menjadi penghalang untuk mereka berbuat demikian.

“Ketika berbual bersama mereka inilah saya mengambil kesempatan menerangkan kewujudan dan fungsi SBJK untuk anak-anak mereka. Saya cuba mempengaruhi pemikiran mereka dan menyatakan bahawa kerajaan ada menyediakan platform untuk anak-anak mereka mendapatkan pendidikan,” jelas bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Usaha berterusan yang dilakukan Zulkernai berhasil. Pada tahun 2014, jumlah pelajar meningkat kepada 96 orang.

Risau


Setiap hari sebelum pulang pelajar SBJK pasti akan bersalam dengan Zulkernai terlebih dulu.


Jumlah itu terus meningkat dari semasa ke semasa dan sehingga kini jumlah pelajar di SBJK berjumlah 152 orang.

Zulkernai menambah, isterinya, Aida Ahmad Saipiuddin, 48, agak risau dengan tindakannya itu kerana mengetahui kawasan-kawasan yang dikunjunginya berisiko dalam pelbagai aspek.

Lama-kelamaan isterinya memahami tugas dan tanggungjawab yang dipikul terhadap pendidikan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Mengimbau perjalanannya dalam bidang pendidikan, Zulkernai mengakui tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik.

“Sebenarnya cita-cita saya adalah menjadi seorang jurutera dan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya menyambungkan pelajaran untuk peringkat diploma dalam bidang pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Selepas tamat pengajian saya menganggur hampir dua tahun dan dari situ saya melihat pendidikan boleh dijadikan satu pilihan untuk laluan kerjaya,” jelasnya yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Hamzah di Machang, Kelantan.

Pada tahun 1989, Zulkernai meneruskan pengajiannya di UPM pada peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian.

Kerjayanya dalam bidang pendidikan bermula pada 1 Disember 1992 setelah dihantar berkhidmat di Sekolah Menengah Bandar Baru Sentul.

Selepas itu, anak kepada pasangan Fauzi Mamat, 80, dan Che Aminah Che Mohamed, 75, itu meneruskan pengajian secara separuh masa bagi peringkat Sarjana Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pada tahun 2000, Zulkernai telah ditawarkan untuk berkhidmat sebagai Penolong Pengarah di Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan.

Kecemerlangan yang ditunjukkan dalam memikul tugas dan tanggungjawab membolehkannya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dua tahun kemudian.

Zulkernai berkata, aturan Allah cukup indah apabila dia diberi peluang menjadi salah seorang pendidik.

Beliau kini mampu berbangga kerana sejak mula beroperasi pada tahun 2013, pelajar lepasan SBJK telah mendapat peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang. Sebahagiannya pula menyambung pengajian ke peringkat yang lebih baik walaupun dahulunya pernah mengalami keciciran dalam pelajaran.

Sebagai contoh, ada antara bekas pelajar SBJK telah berjaya menjadi guru tadika, cef, peniaga dan pembantu jualan manakala empat orang bekas pelajar kini sedang mengikuti pengajian dalam bidang automotif di Akademi Saga, DRB-Hicom.

“Saya gembira kerana menjadi sebahagian golongan pendidik yang dapat mencurah khidmat dalam mendidik anak bangsa.

“Pendidikan adalah satu-satunya cara yang mampu mengubah kehidupan seseorang. Saya berjanji dengan diri untuk memberikan sepenuh tenaga saya untuk SBJK ini dalam membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini mendapat didikan yang sempurna.

“Siapa tahu dengan pendidikan yang diperoleh di sini mereka mungkin boleh mengubah kehidupan untuk membantu keluarga keluar daripada kehidupan gelandangan,” jelasnya.