Gelaran baharu Juliana Evans

PILIHAN - Setelah dua tahun berkenalan, Jue kini memulakan kehidupan baharu sebagai isteri kepada Tengku Shariffuddin.


PELAYARAN cinta antara pasangan dua sejoli ini bagaikan sebuah kisah fantasi idaman setiap anak gadis yang pernah menyimpan hasrat untuk berkahwin dengan anak raja.

Biarpun ‘jauh panggang dari api’ jika hendak disamakan dengan kisah Cinderella, namun bergelar suri hati kepada kerabat diraja Johor dan Selangor membuatkan kehidupan Che Puan Juliana Evans kini benar-benar berubah.

Menoktahkan sayembara cinta bersama Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj pada 30 April lalu, jelas terpancar sinar kebahagiaan yang sedang dikecapi wanita berusia 27 tahun itu.

“Alhamdulillah, saya sedang melalui pengalaman yang cukup indah sekarang.

“Jika dahulu saya hanya memikirkan tentang keperluan diri sendiri, tetapi sekarang segalanya berubah apabila sebagai isteri saya perlu mengutamakan suami dalam segala hal,” ujar Juliana atau Jue mesra membuka bicara.

Diajak berbicara soal perubahan terbesar yang dilalui pemilik nama Juliana Sophie Johari Evans selepas dua minggu bergelar isteri, wanita itu menguntum senyuman bahagia.

Mengakui masih dalam proses membiasakan diri dengan rutin baharunya, Jue memberitahu beliau sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri.

“Sejujurnya, saya masih dalam proses menjadi isteri yang terbaik seperti menyediakan keperluan suami dan kadangkala memasak untuknya. Mujur beliau bukan seorang yang cerewet terhadap makanan.

“Selain itu, pastinya perubahan terbesar ialah ditemani suami untuk ke mana-mana sahaja yang saya mahu pergi. Bagaimanapun, untuk malam ini beliau tidak dapat hadir kerana perlu menghadiri majlis lain,” jelas pelakon itu yang ditemui pada majlis Anugerah Bintang Popular 3.0 (ABP 3.0) baru-baru ini.

Protokol

Menyedari hakikat dirinya merupakan pasangan kepada kerabat diraja, pelakon itu memberitahu beliau kini sudah mula menyesuaikan diri dengan cara dan kehidupan protokol istana.

Sebagai orang baharu, beliau bersyukur kerana kehadirannya diterima baik oleh keluarga mertua sehingga tidak timbul perasaan kekok menjalani kehidupan sebagai seorang ‘puteri’.

“Selepas berkahwin, saya tinggal dengan suami dan keluarganya di Shah Alam, Selangor. Kehadiran saya diterima baik oleh keluarga suami malah hubungan kami juga rapat sehingga membuatkan saya benar-benar selesa.

“Keluarga suami juga bersikap terbuka dan lebih santai, jadi mereka tidaklah terlalu berprotokol. Bagaimanapun, suami pernah berpesan agar bersedia untuk dibawa ke mana-mana majlis rasmi yang memerlukan saya menjaga protokol dan batas sebagai isteri,” ujarnya seraya tertawa.

Mengetahui karakter Jue sebagai seorang wanita yang periang, pelakon filem Hantu Bonceng itu kemudian ditebak soal pembawaan dirinya selepas ini.

Bukan itu sahaja, beliau juga perlu menjalani transisi baharu dengan kehadiran pembantu dan pengawal peribadi yang sedia berkhidmat menemaninya ke mana-mana sahaja.

“Saya masih menjadi diri sendiri dan periang seperti dahulu, cuma mungkin akan mengubah sedikit kelakuan diri agar lebih sopan. Ia bukan untuk saya tetapi keluarga juga.

“Pada awalnya saya rasa tidak perlu kehadiran pengawal dan pembantu peribadi kerana boleh melakukan semuanya sendiri, tetapi setelah diterangkan oleh suami ia disebabkan faktor keselamatan, jadi saya mula menerima keadaan itu,” terangnya.

Wanita kelahiran Selangor itu diusik tentang perancangan bulan madu seperti dilakukan kebanyakan pasangan yang baru berkahwin.

Mendedahkan belum mempunyai kesempatan untuk berbulan madu, beliau memberitahu, mungkin akan berbuat demikian setelah majlis resepsi mereka selesai.

“Tidak lama lagi sudah bulan Ramadan, kemudian kami sibuk membuat persiapan resepsi yang akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri, jadi perancangan bulan madu itu ditangguhkan buat sementara waktu.

“Jika diizinkan, saya dan suami teringin pergi ke Santorini, Greece dan Maldives kerana saya memang sangat menyukai ketenangan berada di pulau,” ujarnya yang tidak mahu terburu-buru memikirkan soal anak.

Lakonan

Bertukar status sebagai seorang isteri, pastinya keutamaan Jue kini lebih tertumpu kepada suami dan mahligai yang baru dibinanya itu.

Bagaimanapun, status sebagai isteri bukanlah penghalang buat pemilik Ijazah Sarjana Muda Perfileman, Video dan Media dari Universiti Western Michigan, Amerika Syarikat itu meneruskan minat dalam bidang lakonan.

Teruja tatkala diberi ‘lampu hijau’ oleh suami, ujarnya, beliau akan meneruskan kerjaya seni seperti biasa.

“Saya sudah berbincang dengan suami. Beliau faham tentang minat saya terhadap dunia lakonan dan membenarkan saya untuk terus berlakon.

“Saya memang tidak akan melupakan bidang lakonan. Jika ditawarkan watak yang bagus, saya akan terima. Begitu juga dengan dunia pengacaraan kerana kedua-duanya merupakan minat saya,” ujar Jue yang akan tampil dengan filem Bella dan Jamie sekitar bulan Oktober depan.

Dalam pada itu, Jue turut berkongsi tentang bidang perniagaan yang bakal diterajuinya tidak lama lagi.

Memilih untuk menjalankan perniagaan barang perhiasan wanita dengan nama Jevans Jewelry, beliau beruntung kerana mempunyai ibu mertua yang begitu menyokong minatnya.

“Tidak lama lagi saya akan menjalankan perniagaan barang kemas. Ia memang merupakan idaman saya sejak dahulu dan sekarang impian itu menjadi kenyataan.

“Semua rekaan untuk barang kemas itu akan direka oleh saya sendiri. Untuk keluaran awal, saya sudah mereka cipta loket seperti bentuk peta negeri Johor dan Selangor,” ujarnya menutup bicara.