India benarkan kanak-kanak mangsa rogol gugurkan bayi

NEW DELHI – Seorang budak perempuan berumur 10 tahun yang dirogol akan dibenarkan menggugurkan bayinya walaupun kandungan mangsa melepasi usia 20 minggu, had masa pengguguran yang dibenarkan di India, kata polis semalam.

Kanak-kanak itu berkata, dia berulang kali diperkosa oleh bapa tirinya. Suspek kini ditahan polis.

“Mahkamah telah meminta lembaga perubatan menerima permohonan mangsa, manakala panel doktor memutuskan untuk meneruskan pengguguran ini.

“Lembaga berkenaan tidak menyatakan tarikh pengguguran tersebut tetapi ia akan dilakukan dalam masa terdekat,” kata pegawai polis yang menyiasat kes itu, Garima Devi.

Mahkamah tertinggi India, Mahkamah Agung menerima sebilangan petisyen daripada wanita termasuk mangsa rogol dan pemerdagangan manusia yang meminta untuk menggugurkan kandungan mereka walaupun melepasi usia 20 minggu.

Aktivis-aktivis berkata, had usia kandungan itu perlu dilanjutkan kepada 24 minggu berikutan mangsa rogol kerap kali lewat melaporkan kehamilan mereka.

Akhbar India Express melaporkan bahawa ibu mangsa mahu tertuduh dibebaskan kerana dia telah memohon maaf dan wanita itu juga perlu menyara anak-anaknya yang lain.

India mempunyai rekod kes rogol yang menakutkan dengan bandar raya New Delhi sahaja mencatatkan 2,199 kes pada tahun 2015 atau purata enam kes sehari. – AFP