Kayuhan bawa mesej keamanan



SUASANA permai di Kampung Baru Panggar, Chuping, Perlis pada hari itu tidak seperti hari-hari lainnya.

Desa itu yang selalunya sunyi sepi bertukar meriah dengan kehadiran 15 ahli Kelab Eksplorasi Media Malaysia (KEMM) dari Kuala Lumpur.

Kesemua mereka merupakan para peserta ekspedisi Kayuhan Basikal KEMM-Vertex Central Industries Sdn. Bhd. (VCI) ke Krabi 2017.

Kampung tersebut menjadi lokasi majlis pelepasan peserta ekspedisi yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Salah seorang peserta, Mohd. Zaki Amiruddin, 39, memberitahu, dia sangat teruja dapat menyertai ekspedisi berbasikal tersebut bersama rakan media lain.

“Ini kali pertama, saya menyertai ekspedisi berbasikal di luar negara. Selalunya, saya hanya mengayuh di dalam Malaysia.

“Saya sememangnya sangat teruja untuk mengayuh basikal dan mengharungi setiap cabaran dalam ekspedisi ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Ekspedisi selama tiga hari dua malam itu menuntut para peserta mengayuh basikal sejauh 330 kilometer (km) bermula dari Pos Imigresen Wang Kelian, Perlis ke Krabi, Thailand.

Setiap hari, para peserta perlu mengayuh sejauh sekurang-kurangnya 100km dengan kelajuan purata basikal sekitar 20km/jam.

Mohd. Zaki yang juga jurufoto Kosmo! berkata, mengayuh basikal dalam tempoh yang panjang sangat melelahkan para peserta.

Lelaki yang menetap di Kuala Lumpur itu memberitahu, rasa letih kian bertambah apabila terpaksa mengayuh basikal dalam keadaan bentuk muka bumi berbukit dan cuaca tidak menentu.

“Sepanjang perjalanan, kami terpaksa mengayuh dalam suasana panas terik dengan suhu mencecah 38 darjah Celsius pada waktu tengah hari.

“Pada sebelah petang, kami bermandi hujan kerana sepanjang tiga hari itu, hujan sangat lebat, namun kami tetap meneruskan kayuhan,” katanya yang menggunakan basikal jenis kembara berharga RM2,000.

Pengarah Projek Ekspedisi Kayuhan Basikal KEMM-VCI ke Krabi 2017, Noor Asrekuzairey Mat Salim berkata, aktiviti tersebut bertujuan membawa mesej keamanan dan mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Thailand.

Katanya, sepanjang ekspedisi, peserta berhenti di beberapa buah masjid dan madrasah di Thailand iaitu Satun, Trang dan Krabi untuk menghulurkan sumbangan berupa wang tunai.

Para peserta turut mengedar risalah yang diamanahkan oleh Tuanku Syed Faizuddin. Risalah tersebut menjemput warga selatan Thailand menghadiri program Perkampungan Sunah di Kangar.

“Kami singgah di lima buah masjid di Thailand iaitu Masjid Muhammadiah, Masjid Saedolislam, Masjid Pakistan Yantakoaw, Masjid Klongjilad dan Masjid al-Aman.

Layanan baik


Para peserta bergambar dengan berlatarbelakangkan Masjid Muhammadiah, Thailand.


“Kami menerima layanan sangat baik daripada pihak kariah masjid dan penduduk tempatan,” katanya yang juga seorang jurufoto.

Seramai 15 orang terlibat dalam ekspedisi tersebut yang terdiri 11 peserta dan empat orang pembantu. Kesemua peserta adalah wakil media tempatan daripada pelbagai agensi.

Dia memberitahu, ekspedisi Kayuhan Basikal KEMM-VCI ke Krabi 2017 merupakan satu bukti bahawa petugas-petugas media juga mampu melakukan aktiviti lasak dan mencabar.

Jelasnya, ia secara tidak langsung dapat menunjukkan kecekalan dan semangat tinggi yang dimiliki petugas media tempatan.

“Dalam kesibukan tugas harian menyediakan berita untuk tatapan masyarakat, kami masih mampu untuk menjayakan ekspedisi ini.

“Ekspedisi ini tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat sokongan dan bantuan daripada pihak berkuasa Thailand,” katanya sambil memaklumkan kos penganjuran ekspedisi itu mencecah RM36,000.

Perancangan rapi


Tayar basikal pancit antara cabaran yang ditempuhi peserta.


Ekspedisi itu mendapat kerjasama daripada Tenaga Nasional Berhad, Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah.

Tajaan turut disumbangkan oleh Petroleum Nasional Bhd., Universiti Malaysia Perlis, Jamu Mak Dara, DBI Technology Sdn. Bhd., Time Reveal (M) Sdn. Bhd. dan Impact Media Communication.

Dalam usaha memastikan perjalanan ekspedisi berada dalam keadaan terbaik, pihak penganjur telah membuat perancangan rapi dari aspek kayuhan dan latihan selama empat bulan.

Antara lokasi latihan termasuklah Muzium Orang Asli Gombak ke Genting Sempah, Purajaya-Dengkil, Putrajaya-Port Dickson, Kuala Lumpur-Kuala Selangor dan latihan santai di sekitar Putrajaya.

“Siri latihan ini membolehkan para peserta membina stamina selain menguatkan mental dan fizikal. Ternyata latihan ini sangat membantu para peserta.

“Alhamdulillah, semua peserta ekspedisi berjaya menamatkan kayuhan dengan baik dan selamat. Tiada sebarang kecederaan berlaku,” jelasnya.

Sepanjang perjalanan para peserta menggunakan basikal milik sendiri daripada jenis basikal kembara dan basikal bukit.

Tambah Noor Asrekuzairey, idea penganjuran ekspedisi tersebut tercetus selepas melihat ramai rakyat Malaysia bercuti ke pantai peranginan di Krabi.

Justeru, bagi memberi kelainan, pihaknya sepakat untuk mengayuh basikal ke Krabi sekali gus dapat melihat lebih dekat budaya masyarakat tempatan.

“Kayuhan ini memberi peluang kepada para peserta untuk menjelajah kawasan pedalaman dan kampung-kampung di selatan Thailand.

“Pengalaman yang para peserta peroleh berbeza dengan mereka yang pergi ke Krabi dengan menggunakan motosikal berkuasa tinggi atau kapal terbang,” katanya.

Kenyataan tersebut disokong oleh salah seorang peserta, Mohd. Ali Amin Ab. Latif, 33. Katanya, menerusi kayuhan basikal, dia berpeluang beramah mesra dengan penduduk tempatan.

Panorama indah

Ujarnya, dia juga dapat menikmati panorama indah sambil menghirup udara nyaman di sepanjang laluan.

“Sepanjang perjalanan menuju ke destinasi, kami melalui kawasan-kawasan yang sangat menarik terutamanya ketika menghampiri Krabi.

“Di situ, kami berpeluang berkayuh di laluan tepi pantai yang mempunyai pasir memutih dan air laut membiru. Panoramanya sangat mempersonakan,” jelasnya.

Mohd. Ali Amin yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan menambah, ekspedisi tersebut memberi peluang kepada para peserta mengeratkan silaturahim.

Selain itu, ia juga menjadi wadah terbaik kepada mereka untuk merehatkan diri seketika daripada kesibukan tugas seharian.