Berlian bentuk hati dijual lebih RM64 juta


REUTERS - BERLIAN bentuk hati yang mencatat harga jualan tertinggi lelongan Christie’s di Geneva.


GENEVA – Berlian sempurna berbentuk hati terbesar dijual pada harga hampir AS$15 juta (RM64.91 juta) di Geneva kelmarin sekali gus memecahkan rekod dunia kategori berkenaan, kata rumah lelongan Christie’s.

Berlian seberat 92 karat itu merupakan permata­ utama pada seutas kalung mutiara.

“Harga jualan sekitar AS$14.99 juta (RM64.87 juta) ini merupakan rekod dunia untuk berlian bentuk hati,” kata jurucakap Christie’s, Alexandra Kindermann kepada agensi berita AFP.

Berlian itu direka bentuk oleh Boehmer et Ba­ssenge yang merupakan antara jauhari Perancis paling tersohor pada abad ke-18.

Syarikat itu kini dikendalikan oleh seorang saudagar berlian yang beribu pejabat di Antwerp.

Rekod jualan berlian bentuk hati sebelum ini dicatat pada tahun 2011 apabila sebutir berlian seberat 56.15 karat dijual pada harga AS$10.9 juta (RM47.17 juta). – AFP