Peragut guna motosikal 650cc


Keadaan motosikal berkuasa tinggi yang dinaiki dua suspek selepas terlibat kemalangan di Jalan Tun Razak berhampiran Susur 6, Johor Bahru kelmarin.


JOHOR BAHRU – Tindakan jahat dua lelaki cuba melarikan diri menggunakan motosikal berkuasa tinggi selepas disyaki melakukan jenayah ragut membawa padah apabila mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Tun Razak berhampiran Susur 6 di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 25 dan 32 tahun ditahan selepas terjatuh daripada sebuah motosikal jenis Kawasaki ER-6N 650cc yang ditunggang mereka.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, sebelum kejadian, Unit Kereta Peronda (MPV) menerima maklumat berhubung kejadian ragut yang dipercayai dilakukan suspek di Jalan Lingkaran Dalam dan Jalan Yahya Al-Datar di sini.

Jarak di antara lokasi kemalangan dengan ragut kira-kira empat kilometer.

“Ketika sedang mengesan suspek, anggota MPV ternampak satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah kereta Toyota Vios.

“Orang awam memaklumkan penunggang dan pembonceng motosikal terbabit sebenarnya telah melarikan diri selepas meragut seorang mangsa. Polis kemudian menahan kedua-dua suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.