Meraih keuntungan besar dalam bulan Ramadan


UMAT Islam dituntut untuk memperbanyak ibadah dan amalan sunat pada bulan Ramadan. – Gambar hiasan


KITA semakin menghampiri Ramadan. Bulan yang penuh dengan barakah. Kelebihan yang tiada taranya berbanding bulan-bulan lain. Setiap amalan sunat, seumpama pahala satu amalan fardu.

Setiap amalan fardu, seumpama seseorang yang menunaikan 70 amalan fardu pada bulan-bulan lain. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Bulan di mana awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan penghujungnya kelepasan daripada api neraka.

Kita perlu berazam ‘melapangkan masa’ untuk Ramadan. Ini tidak pula bermakna amalan kita hanya terikat dengan musim. Tilawah al-Quran hanya pada bulan Ramadan, tetapi tidak pada bulan lain.

Begitu juga halnya dengan amal kebaikan yang lain. Maut tiada kepastian. Apakah kaitan maut dengan musim. Semoga Allah maafkan kelalaian kita dalam hal ini.

Melapangkan masa untuk Ramadan bermaksud meningkatkan dan memperbaiki mutu amal-amal kebaikan, tidak kira dalam konteks hubungan manusia dengan pencipta-Nya ataupun hubungan sesama manusia.

Begitu banyak galakan tentang kelebihan Ramadan daripada hadis Rasulullah SAW yang mulia. Kita perlu lapangkan masa untuk mentelaahnya. Banyak kitab yang boleh dijadikan rujukan tentang kelebihan Ramadan. Pada masa sama, kita perlu bertanya kepada ulama tentang cara untuk menghidupkan Ramadan berdasarkan sunah Rasulullah.

Sememangnya fitrah manusia suka kepada kelebihan. Dalam strategi pemasaran produk misalnya, penjual akan mengiklankan kelebihan produknya terlebih dahulu kepada orang ramai.

Jahil

Bagi peminat kereta, semua maklum akan hal ini. Perkara awal yang akan diberitahu oleh penjual kepada pelanggan yang datang adalah kelebihan tentang kenderaan yang dipamerkan.

Adapun bab-bab teknikal seperti hal-hal penyelenggaraan ataupun teknik untuk mengendalikan jentera pada kebiasaannya dikemudiankan.

Ini bagi memastikan supaya pelanggan tertarik hati lantas meningkatkan semangat mereka untuk membeli kenderaan yang dipromosikan.

Kita boleh lihat situasi yang sama berlaku dalam konteks pemasaran produk yang lain. Begitu juga halnya dalam konteks amalan agama seseorang.

Hari ini kita mungkin jahil atau terlepas pandang tentang kelebihan atau nilai sesuatu amal. Maka, tiada keghairahan atau dorongan yang kuat untuk melakukan sesuatu amal.

Memang betul kita tidak beramal untuk mendapatkan ganjaran. Matlamat kita hanya untuk mendapatkan reda Allah tetapi kita perlu ingat, ganjaran adalah merupakan janji daripada Allah.

Di manakah tahap iman atau keyakinan kita terhadap janji-janji Allah? Sebab itu, dalam setiap amal dan perbuatan kita, iman dan ihtisab (mengharapkan ganjaran) adalah syarat yang penting.

Nabi pernah bersabda (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) yang bermaksud: “Sesiapa yang berdiri untuk beribadat pada malam lailatulqadar dengan iman dan ihtisab akan diampunkan dosanya yang terdahulu.”

Dalam konteks yang lain, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Nasa’i, Ibnu Khuzaimah dan Hakim, Rasulullah pernah memberitahu: “Betapa ramai dalam kalangan orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang beribadat malam yang tidak mendapat apa-apa daripada ibadatnya kecuali (keletihan) berjaga malam.”

Oleh itu, persediaan Ramadan yang begitu hampir kedatangannya perlu dilakukan sekarang bahkan lebih awal daripada saat ini. Bukan hanya apabila tiba waktunya. Supaya amalan kita menjadi lebih mantap, sekali gus meraih kelebihan yang banyak sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya.