80 PATI Indonesia tidak sempat pulang untuk sambut Ramadan

19/05/2017 12:39pm


Antara PATi yang ditahan di sebuah rumah malam tadi.


TELUK INTAN - Seramai 80 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk 11 wanita ditahan sewaktu sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal mereka di sebuah rumah di Sungai Belukang, Rungkup dekat sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 7.30 malam itu, kesemua PATI dipercayai bermalam dan berehat dia rumah tersebut sebagai transit sebelum meneruskan perjalanan mereka dengan menaiki bot ke Dumai, Indonesia.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pemeriksaan mendapati, 39 daripada mereka memiliki visa tamat tempoh manakala 41 PATI tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

"Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 71 tahun dan mereka dipercayai ingin pulang ke Indonesia untuk menyambut Ramadan.

"Kebanyakan suspek dipercayai bekerja di Lembah Klang dan membayar kira-kira RM 600 hingga RM 800 kepada seorang ejen untuk pulang ke negara asal mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir di sini sebentar tadi.

Jelasnya, kesemua PATI direman selama 14 hari bermula hari ini hingga 1 Jun depan untuk membantu siasatan. - K! ONLINE