Suami isteri warga emas patah kaki terlibat kemalangan

19/05/2017 4:14pm


Orang ramai membantu kedua-dua warga emas tersebut yang mengalami kecederaan dalam kemalangan pagi semalam.


SABAK BERNAM - Hasrat sepasang suami isteri warga emas untuk mendapatkan ubat alahan kulit di Klinik 1 Malaysia Sungai Besar tidak kesampaian selepas terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Lama Kuala Selangor-Sabak Bernam di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu, mangsa Mohammed Taib Abbas, 77, dan isterinya, Jamaliah Raban, 71, masing-masing patah kaki kiri akibat daripada kemalangan tersebut.

Anak mangsa, Agus Salim, 36, berkata, ketika kejadian, ibu dan ayahnya dalam perjalanan ke klinik tersebut dari rumah mereka di Parit 5 Barat bagi mendapatkan bekalan ubat dengan menaiki motosikal jenis Yamaha Lagenda.

"Setibanya di simpang tiga Taman Padu Permai, motosikal dinaiki kedua orang tua saya telah bertembung sebuah motosikal lain yang datang dari arah bertentangan mengakibatkan mereka berdua jatuh.

"Akibat perlanggaran itu bapa mengalami patah di pergelangan kaki kiri manakala ibu patah di bahagian tulang keting kaki kirinya. Bagaimanapun keadaan mereka stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Teluk Intan, Perak pagi tadi,"katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Agus memberitahu, ibu dan bapanya pada mulanya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam sebelum dipindahkan ke Hospital Teluk Intan bagi menjalani pembedahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Berdasarkan siasatan awal, motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri itu dirempuh sebuah motosikal lain yang dalam perjalanan menuju ke Sungai Besar di simpang tiga Taman Padu Permai.

"Bagaimanapun penunggang motosikal yang merempuh pasangan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihak polis telah mengambil keterangannya,"ujarnya. - K! ONLINE