Kadar zakat fitrah kekal RM7 di Pahang

19/05/2017 7:43pm


Wan Abdul Wahid (kanan) menunjukkan contoh resit bayaran yang sah dari amil bertauliah.


KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengekalkan kadar zakat fitrah sebanyak RM7 berdasarkan harga beras di Pahang.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, zakat fitrah kekal pada RM7 untuk sembilan tahun berturut-turut sejak 2009.

"Kadar zakat fitrah pada 2007 ialah RM4.80 sebelum dinaikkan kepada RM7.30 pada 2008 dan jumlah itu dikurangkan kepada RM7 pada 2009 dan terus kekal sehingga sekarang," katanya pada sidang media di Pusat Kutipan Zakat Pahang di sini, hari ini.

Beliau berkata, tahun ini, seramai 896 orang amil ditauliahkan untuk melaksanakan kutipan zakat fitrah di seluruh Pahang.

"Orang ramai dinasihatkan untuk menunaikan rukun Islam keempat itu dengan amil yang ditauliahkan supaya bantuan dapat disalurkan dengan sebetul-betulnya kepada mereka yang layak dan memerlukan," katanya. Bernama