Presiden KFA lepaskan konvoi bas penyokong Helang Merah

19/05/2017 11:49pm

ALOR SETAR - Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah melepaskan konvoi 16 bas dinaiki lebih 700 penyokong skuad Helang Merah di hadapan Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah melepaskan konvoi itu kira-kira pukul 11 malam tadi.

Konvoi tersebut merupakan sebahagian daripada 250 buah bas yang membawa penyokong Kedah bagi menyaksikan aksi final Piala FA antara Kedah dan Pahang di Stadium Shah Alam malam esok.

Ahmad Bashah ketika ditemui meminta penyokong memberikan sokongan padu kepada pasukan selain menjaga disiplin diri.

"Kita sama-sama berdoa agar Kedah dapat menunjukkan persembahan terbaik pada malam esok dan membawa pulang Piala FA ke Kedah," katanya pada majlis pelepasan konvoi bas penyokong Helang Merah di hadapan Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada Kedah akan mengumumkan cuti umum pada Ahad ini sekiranya memenangi perlawanan itu, Ahmad Bashah berkata, beliau tidak memikirkan tentang perkara itu.

"Apa yang pasti, kita akan berarak dengan piala jika Kedah menang," tambahnya. - K! ONLINE