Kolaborasi Aidilfitri Elle Zada, Butik Simply Sisters


Butik Simply Sisters turut menjual tudung daripada jenama terkenal.


Bersempena dengan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, Butik Simply Sisters menjalinkan kolaborasi dengan jenama Elle Zada bagi mempromosikan koleksi busana lelaki dan wanita.

Pengasas butik tersebut, Shasha Shuib berkata, menerusi kerjasama yang dijalin berkenaan, mereka telah mula memasarkan Baju Melayu Champion sejak awal bulan ini yang disasarkan khas bagi pengguna lelaki.

Jelasnya, baju Melayu tersebut merupakan koleksi pertama daripada beberapa rekaan busana yang telah dihasilkan sempena musim perayaan tersebut.

“Baju Melayu Champion itu telah direka menggunakan potongan smart fit. Kami berasakan potongan berkenaan lebih ideal dengan bentuk tubuh pengguna di negara ini berbanding slim fit.

“Ini kerana potongan smart fit tidak menggeleber dan tidak kecil, jadi si pemakai akan berasa lebih selesa apabila menggayakan baju Melayu berkenaan,” katanya kepada Aura Juita baru-baru ini.

Shasha berkata, baju Melayu tersebut menggunakan material Roberto Cavalli Satin yang berkualiti tinggi dan antara ciri yang istimewa bagi kain tersebut adalah ia tidak mudah menyerap peluh.

Selain itu, menurut beliau, antara faktor yang menyebabkan mereka bersetuju untuk memasarkan Baju Melayu Champion adalah kerana jahitannya yang kemas, justeru menjadikan ia tahan lasak.

“Baju Melayu itu didatangkan dalam 10 pilihan warna, antaranya Pewter (kelabu gelap), Bronze (perang gangsa) dan Royal Blue (biru laut).


Adam Cory merupakan duta bagi Baju Melayu Champion.


“Terdapat lima saiz disediakan untuk pengguna iaitu bermula S sehinggalah XXL,” katanya yang turut memberitahu semua pemilik jenama yang berkolaborasi dgn Elle Zada digelar Jemaah Champion ataupun #jemaahchampion.

Dalam pada itu, katanya, bermula bulan hadapan, mereka akan mula memasarkan koleksi Baju Kurung Champion bagi wanita yang didatangkan dalam pilihan warna serupa seperti Baju Melayu Champion.

“Baju kurung tersebut menggunakan potongan baju kurung moden dan menggunakan material Roberto Cavalli Satin serta Georgette Chiffon sesuai digayakan oleh pengguna wanita yang ingin tampil bergaya pada hari lebaran bulan hadapan,” ujarnya.

Selain itu, menurut beliau, kolaborasi tersebut turut menyaksikan penghasilan baju Melayu dan baju kurung bagi kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun.

Jelasnya, kesemua koleksi sempena Aidilfitri tersebut menjadikan ia sesuai digayakan oleh keluarga yang berhasrat untuk menggayakan busana tradisional tersebut dalam warna yang serupa antara satu sama lain.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Butik Simply Sisters turut menjual tudung daripada jenama-jenama terkenal di negara ini seperti Bokitta dan Ameera Zaini.