Duterte anggap pengkritik musuh



MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte (gambar) kelmarin menyatakan beliau bersedia ‘memenggal kepala’ golongan yang cuba menentang kempennya untuk memerangi jenayah dadah.

Duterte juga memberi amaran bahawa beliau tidak akan sesekali mengalah meskipun terpaksa membunuh 50,000 orang dalam misi menghapuskan masalah dadah di Filipina.

Beliau menegaskan bahawa dirinya tidak berasa bimbang dengan kritikan mana-mana pihak termasuk Kesatuan Eropah (EU) berhubung kempen perang terhadap dadah dengan kumpulan hak asasi mendakwa perbuatan itu adalah jenayah terhadap kemanusiaan.

“Jangan percaya pengkritik kumpulan hak asasi, jika kamu berbuat demikian, saya akan pancung kepala kamu,” kata Duterte dalam ucapan perasmian sebuah jamba­tan di selatan Filipina.

“Saya tidak akan terpe­ngaruh dengan apa-apa ancaman. Jika mereka mahu penjarakan saya, penjara­lah. Saya sedia terima hukuman,” katanya.

Duterte berkata, aktivis hak asasi kemanusiaan mendakwa seramai 10,000 orang telah dibunuh dalam kempen perang terhadap dadah sejak beliau memegang tampuk pentadbiran negara pada pertengahan tahun lalu.

Beliau memberi amaran bahawa lebih ramai akan mati dalam usaha beliau membersihkan dadah dalam masyarakat.

“Jika jumlahnya sebanyak 50,000 sekalipun, saya tetap akan menghapuskan mereka. Jika semua itu menyebabkan saya ke hantar neraka atau mereput dalam penjara, saya tidak peduli. Saya sudah tua,” katanya lagi.

Kenyataan Duterte dibuat selepas jurucakap beliau menyatakan, Filipina akan menolak bantuan geran EU yang dilihat sebagai ‘mengganggu’ urusan dalaman negara.

EU menjadi salah sebuah badan antarabangsa yang lantang mengkritik kempen Duterte iaitu perang terhadap dadah.

EU merupakan sumber bantuan kelapan terbesar bagi Filipina dengan jumlah bantuan tahun lalu seba­nyak AS$217 juta (RM937 juta). – AFP