Dollah: Kami bukan pasukan pilihan berbanding Kedah


DOLLAH (kiri) bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar menjelang final Piala FA 2017 di Stadium Shah Alam semalam yang turut dihadiri kapten Pahang, Matther Davies.


STATUS jurulatih pengalaman tidak memberikan sebarang kelebihan buat mana-mana pasukan terutama apabila melibatkan perlawanan akhir.

Demikian jelas pengendali Pahang, Dollah Salleh yang enggan dilabel sebagai skuad pilihan menjelang aksi final Piala FA 2017 menentang Kedah di Stadium Shah Alam, Selangor malam ini.

Sebagai rekod, Dollah merupakan antara nama besar dalam arena bola sepak negara selain mempunyai profil cemerlang setelah berjaya meraih beberapa kejayaan bersama pasukan terdahulu termasuk Selangor dan skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain pernah bergelar ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Bagaimanapun Dollah tidak mahu perkara tersebut dijadikan perbandingan meskipun Kedah kini dibimbing oleh pemangku jurulatih, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff setelah pengendali asal, Tan Cheng Hoe mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan bulan lalu.

“Saya akui pengalaman yang ada pada setiap jurulatih adalah berbeza. Meskipun Mohd. Nidzam baru dilantik sebagai pemangku jurulatih, saya lihat ia tidak akan menjadi isu memandangkan pemain-pemain mereka memiliki pengalaman keserasian tersendiri.

“Mereka (termasuk Mohd. Nidzam) telah berada lama dalam skuad Kedah hampir tiga tahun. Justeru, saya tidak mahu menjadikan perkara tersebut sebagai kelebihan dan saya yakin apa sahaja boleh berlaku di pentas final,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Stadium Shah Alam semalam.

Sementara itu, pengendali berusia 54 tahun itu percaya pasukannya memiliki keupayaan untuk ‘melunaskan dendam’ malam ini selepas dihampakan oleh Kedah 1-4 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Februari lepas.

“Kenapa kami tidak boleh bergelar juara? Mungkin pasukan kami dibarisi oleh pemain-pemain muda tetapi dari segi individu, saya lihat mereka memiliki kualiti untuk beraksi di peringkat tertinggi.

“Saya akui sebilangan besar daripada pemain agak cetek pengalaman beraksi di final jika hendak dibandingkan dengan Kedah. Namun, saya optimis persediaan mental dan fizikal yang kami lakukan sepanjang musim ini akan membuahkan hasil.

“Mengenai kekalahan (1-4) dalam saingan Liga Super. Saya tidak mahu ia dijadikan sebagai kayu ukur keupayaan anak-anak buah saya kerana saingan baru sahaja bermula ketika itu dan pasukan masih belum serasi sepenuhnya,” tambah Dollah.

Skuad Tok Gajah bakal meraih gelaran ketiga Piala FA sekiranya berjaya menumpaskan sang Helang Merah dalam aksi yang bakal menarik tumpuan hampir 80,000 penyokong nanti.