Harry Kane masih dahagakan gol


KANE meledak empat gol ketika membantu Spurs menewaskan Leicester 6-1 pada aksi EPL di Stadium King Power semalam.


LEICESTER – Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane nampaknya masih belum puas biarpun meledak empat gol ketika membelasah Leicester City 6-1 pada aksi Liga Perdana England (EPL) awal pagi semalam.

Empat jaringan itu membolehkan Kane yang telah menjaringkan 26 gol memintas peledak Everton, Romelu Lukaku (24 gol) sebagai penjaring terbanyak EPL musim ini.

Bagaimanapun, penyerang antarabangsa England itu mengakui masih belum puas dan mahu menjadikan Hull City sebagai mangsa seterusnya apabila bertandang ke Stadium KCOM esok bagi aksi terakhir EPL.

“Apa yang menjadi sasaran utama saya apabila datang ke sini (Stadium King Power) adalah untuk menampilkan aksi terbaik serta cuba memenangi perlawanan. Ini adalah kali pertama saya jaringkan empat gol dalam satu perlawanan.

“Saya juga sudah menjadi pendahulu (penjaring terbanyak) dan masih ada satu perlawanan untuk musim ini. Jadi, saya harap mampu untuk menjaringkan empat gol lagi ketika bertemu Hull,” ujar Kane.

Meskipun berjaya membelasah skuad kendalian Craig Shakespeare itu di Stadium King Power, namun Kane mengakui Leicester memberikan saingan sengit kepada mereka sebelum Spurs menjaringkan gol ketiga.

“Sebenarnya, Leicester berikan saingan yang cukup sengit kepada kami. Mereka memberi tekanan pada separuh masa kedua, namun perlawanan menjadi terbuka apabila kami menjaringkan gol ketiga,” ujarnya. – Agensi