Biro Kebajikan UMNO dekati rakyat

20/05/2017 10:47am


Shamsul Anuar (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan pembukaan akaun SSPN kepada sebahagian daripada 100 kanak-kanak di Laman Tun Razak, UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.


KUALA LUMPUR - Biro Kebajikan UMNO sentiasa prihatin terhadap nasib yang menimpa rakyat negara ini.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, program UMNO Bantu Rakyat merupakan salah satu platform dalam mendekati akar umbi dengan lebih dekat.

"Melalui program ini, kita dapat membantu rakyat malah mereka dapat mendekati pemimpin dengan lebih dekat kerana tidak mempunyai sebarang protokol.

"Kita lakukan bukan ikut musim tetapi sepanjang tahun, malah selama usia UMNO, kita telah terus-menerus membantu rakyat, katanya hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 500 golongan ibu tunggal, anak-anak yatim dan pelajar dari keluarga miskin.

Hadir sama ialah Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Datuk Mokhtar.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Wilayah Persekutuan merupakan negeri kedua yang dikunjungi dalam jelajah ini selepas Selangor malam semalam.

"Selain dua negeri ini, jelajah akan mengunjungi Perak pada hari ini dalam menyampaikan sumbangan kepada golongan sasar," ujarnya.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Program UMNO Bantu Rakyat di Sekolah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang, Selangor.

Sebanyak 35 kenderaan melibatkan 150 sukarelawan Biro Kebajikan UMNO akan menjelajah 21 lokasi bermula malam semalam sehingga 1 Jun depan.

Jelajah tersebut melibatkan Briged Bantuan Bencana UMNO, Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri, Ahli Jawatankuasa UMNO Malaysia dan ahli jawatan Biro Kebajikan. - K! ONLINE