Dekorasi Inggeris klasik pilihan Kafe Neka

PEMILIK menggunakan kombinasi warna hitam dan putih sebagai warna utama pada Kafe Neka.


BIARPUN waktu makan tengah hari sudah lebih setengah jam berlalu, kawasan SS15 yang terletak di Subang Jaya, Selangor itu masih penuh dengan orang ramai yang mungkin masih belum selesai menjamu selera.

Rona biru lembut dan putih yang digunakan pada papan tanda kafe tampak menarik dan menyerlah di antara premis-premis lain di kawasan tersebut.

Rona hitam dan putih pula digunakan pada pintu utama kafe, membuatkan kru Jurnal tidak sabar untuk melihat konsep dekorasi yang diterjemah pemilik.

Sebaik sahaja pintu dikuak, dekorasi ala Inggeris klasik memenuhi segenap ruang kafe dan susun aturnya cukup memukau.

Biarpun berdepan kekangan dari segi keluasan kafe, pemilik dilihat berjaya menyusun perabot kafe tanpa sedikit pun menampakkan kelihatan serabut.

Inggeris klasik

Menurut pemilik, Afis Mohd. Azlan, 33, kafe yang dibuka bersama isterinya, Nor Shahida Mohamed Shariff, 33, merupakan cetusan idea mereka berdua sepenuhnya.

“Isteri sememangnya amat meminati dekorasi ruang dan hiasan dalaman, seterusnya menterjemahkan minatnya itu kepada konsep hiasan kafe ini.

“Kafe Neka berkonsep Inggeris klasik dan dekorasi yang dihasilkan adalah idea kami sepenuhnya tanpa mengupah pereka hiasan dalaman,” ujarnya tentang kafe yang baru memasuki tahun kedua operasi itu.

Bercerita lanjut, Afis berkata, konsep itu lebih sesuai apabila dipadankan dengan limpahan cat dari rona gelap seperti hitam bagi menampakkan keseluruhan ruang kelihatan santai dan mendamaikan.

Bagi kemasan dinding pula, Afis memilih kemasan jenis batu-bata bagi menampilkan ciri-ciri binaan Inggeris klasik pada ruangan berkenaan.

Hasilnya, ruang makan utama itu tampak mewah dan eksklusif, sesuai buat pengunjung yang sukakan suasana segar saat menjamu selera.


RUANG ini disimbahi cahaya kekuningan yang malap, bagi mewujudkan suasana damai saat menjamu selera.


Jika diperhatikan, ruang makan utama dipisahkan kepada dua bahagian, iaitu ruang makan buat pengunjung yang datang secara walk-in, manakala bahagian kiri kafe pula menempatkan ruang makan yang lebih privasi, sesuai buat mereka yang mahu menyambut majlis sambutan hari lahir.

Pemisah kedua-dua ruang merupakan sebuah pintu kayu yang bertemakan Inggeris klasik dan dicat dengan rona kelabu cair.

Dulang

Bagi ruangan privasi Kafe Neka, dindingnya dilatari rona hitam dan pemilik dilihat sengaja meletakkan lampu-lampu kecil dengan cahaya malap bagi menyuntik suasana intim serta tenang.

Tidak mahu ruang makan kelihatan terlalu polos dan kosong, pemilik menyuntik elemen segar dan semula jadi pada dekorasi meja makan dengan meletakkan jambangan bunga segar dalam gelas kaca di atas meja makan kafe.

Bagi kemasan lantai kafe, kedua-dua ruang makan utama menggunakan kemasan kayu yang kelihatan senada dengan konsep Inggeris klasik yang ditonjolkan.

Kesemua meja makan pada ruang itu merupakan dari jenis kayu sementara kerusinya terdiri daripada jenis besi dan sofa panjang dari rona hitam pekat.

Ujar Afis, dia dan isteri cukup sukakan hasilnya kerana ia betul-betul menepati cita rasa mereka selain sesuai dengan konsep kafe.

Koleksi peribadi

Tidak lokek berkongsi tentang kos dekorasi, Afis berkata, perbelanjaan menghias dan menterjemahkan idea hiasan dalaman Kafe Neka menelan belanja sekitar RM300,000.


Dekorasi jam meja daripada rona emas memiliki nilai estetika tersendiri.


Bagi pemilihan nama kafe pula, menurut Afis, perkataan Neka sebenarnya membawa maksud dulang dalam dialek Kelantan.

“Semasa mula-mula mahu mengusahakan sebuah kafe, saya dan isteri berbincang tentang nama yang menarik dan mudah disebut untuk kafe kami.

“Memandangkan isteri turut mengusahakan sebuah butik yang diberi nama Button My Buttons, kami pada mulanya mahu menggunakan nama sama buat kafe kami.

“Begaimanapun, kami kemudian menukarnya kepada perkataan neka yang membawa maksud dulang dalam dialek Kelantan. Nama yang ringkas mudah diingati pengunjung yang datang ke sini,” ujar Afis panjang lebar.

Menyajikan menu fusion, Kafe Neka mudah menarik perhatian dengan menu-menu unik berasaskan nasi seperti Nasi Ewak Kali iaitu hidangan nasi putih bersama ikan sungai dan Nasi Butter Kambing iaitu nasi mentega yang dihidangkan bersama daging kambing panggang yang memikat selera.

Sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan minggu hadapan, Kafe Neka menawarkan menu istimewa iaitu nasi daging urat keting yang disajikan bersama air asam kerisik buat penggemar menu itu dan ia boleh dinikmati sepanjang bulan berkat tersebut.