Survival badak sumbu putih utara terakhir


NAJIN (kiri) dan Fatu merupakan badak sumbu putih utara betina terakhir yang masih hidup di dunia.


SEKALI pandang, Sudan kelihatan tidak ubah seperti badak sumbu putih utara lain. Di bawah terik matahari, ia merehatkan tubuh­nya yang besar di bawah rimbunan pokok di kawasan Konservasi Ol Pejeta, Laikipia, Kenya.

Ada ketikanya, Sudan keluar daripada kurungan dan bersiar-siar di sekitar savana di mana ia ditempatkan. Sudan bukanlah badak sumbu biasa. Ia merupakan satu-satunya badak sumbu putih utara jantan yang masih hidup di dunia.

Dengan kematian seekor badak sumbu putih utara jantan bernama Suni hampir setahun lalu, hanya tiga ekor subspesies seumpamanya yang masih ada di dunia pada hari ini.

Sudan yang mendapat namanya daripada negara Sudan, ditangkap di negara tersebut semasa umurnya tiga tahun. Selain Sudan, Fatu dan Najin adalah dua ekor badak sumbu putih utara betina terakhir yang masih hidup di dunia.

Berada di ambang kepupusan, nasib subspesies itu terletak pada kemampuan Sudan untuk mendapatkan anak dengan dua lagi badak sumbu putih utara betina berkenaan.

Pun begitu, cubaan untuk mengawankan Sudan dengan kedua-dua ekor badak sumbu betina itu menemui jalan buntu. Berusia 42 tahun, Sudan dianggap sudah agak tua untuk mengawan.

Timbalan Doktor Haiwan Konservasi Ol Pejeta, Dr. George Paul berkata, umur mungkin menjadi antara faktor kegagalan proses mengawan meskipun secara fizikal serta psikologinya ketiga-tiga haiwan itu berada dalam keadaan sihat.

“Sudan sudah tua dan mungkin tidak berupaya mengawan dengan badak sumbu betina secara semula jadi. Tambahan itu, jumlah spermanya juga agak rendah menjadikan usaha mengawankan mereka baik secara saintifik mahupun semula jadi lebih rumit,” katanya seperti dipetik portal CNN.

Bertutur lanjut, Paul berkata, Najin yang berusia 25 tahun pula berupaya untuk bunting, namun kedua-dua kaki belakangnya pula agak lemah.

“Ia tidak mungkin dapat menampung berat badak sumbu jantan yang akan memanjat belakang badannya untuk mengawan.

“Berdasarkan rekod kami sejak beberapa tahun lalu, Najin dan Sudan pernah mengawan, begitu juga dengan Fatu dan Sudan. Bagaimanapun, tiada kehamilan dicatatkan.


SUDAN diletakkan di bawah pengawasan dan kawalan pasukan tentera selama 24 jam sehari.


“Mengikut pemeriksaan kesihatan yang dijalankan ke atas mereka baru-baru ini juga mendapati, Najin dan Futa mempunyai kitaran estrus normal tetapi tiada kehamilan direkodkan,” jelasnya.

Paul memberitahu, pihaknya bimbang jika tiada kehamilan dalam tempoh terdekat, haiwan berkenan mungkin akan pupus dari muka bumi.

Memandangkan subspesies itu semakin pupus, ketiga-tiga ekor haiwan tersebut diletakkan di bawah pengawasan dan kawalan pasukan tentera selama 24 jam sehari.

Buang sumbu

Ini bagi melindungi serta mengelakkan binatang tersebut diburu pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengaut keuntungan di atas hasil jualan tanduk­nya yang dikatakan memiliki nilai komersial tinggi di pasaran.

Biasanya badak sumbu diburu kerana sumbunya yang biasa digunakan dalam perubatan tradi­sional Cina. Harga sumbu atau tanduknya boleh mencecah AS$75,000 (RM325,612) sekilogram.

Pemburuan besar-besaran telah mengurangkan populasi badak sum­bu selain menjadikan ia haiwan paling terancam di dunia.

“Tanduk Sudan sudah dibuang lebih awal bagi mengelakkan ia daripada diburu pemburu haram,” katanya.

Selain kawalan sepanjang masa, pihak konservasi juga memasang alat pemancar radio pada badak sumbu putih tersebut untuk memantau keselamatan mereka selain berusaha mengumpul dana bagi melatih renjer bertugas yang mengawasi haiwan berkenaan.

Pasukan renjer hutan turut membuat penyamaran dalam komuniti kejiranan bagi mengumpul maklumat risikan mengenai akti­viti pemburuan haram.

Berbalik kepada usaha mengawankan haiwan tersebut, pakar veterinar antarabangsa berpendapat, kaedah alternatif perlu diambil bagi mengekalkan kemandirian spesiesnya.

Jelas Paul, memandangkan badak sumbu putih utara tidak boleh mengawan dengan badak sumbu hitam, ia mungkin berpeluang ‘dikahwinkan’ dengan badak sumbu putih selatan yang tidak dikategorikan sebagai haiwan terancam.


BADAK sumbu putih utara diancam kepupusan kerana diburu bagi mendapatkan sumbunya yang bernilai lebih RM300,000.


“Secara genetik, kedua-dua subspesies ini berbeza dan anak hasil daripada kacukan ini bukan 100 peratus badak sumbu putih utara. Meskipun demikian, kami berpendapat adalah lebih baik untuk mempunyai zuriat daripada tidak demi kelangsungan subspesiesnya,” kata Paul.

Selain kaedah kacukan, teknik persenyawaan in vitro (IVF) juga boleh dijalankan, namun ia akan menelan belanja yang besar.

“Kaedah tersebut tidak pernah dilakukan terhadap badak sumbu sebelum ini. Ini adalah program yang bakal dijalankan selama 10 tahun untuk menyelamatkan subspesies tersebut.

“Kami berharap dapat memastikan Sudan terus hidup selama yang boleh meskipun sedar ia ke­suntukan masa,” kata Ketua Konservasi Ol Pejeta, Richard Vigne kepada Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Sertai Tinder

Untuk mengumpul dana mencukupi, Sudan menyertai aplikasi mencari pasangan popular, Tinder di mana orang ramai boleh membantu menghulurkan derma bagi membiayai persenyawaan tersebut.

“Kami perlu mengumpul dana sebanyak AS$10 juta (RM43.4 juta) bagi membangunkan kaedah persenyawaan IVF untuk Sudan. Apabila pengguna Tinder ‘swipe’ laman itu ke kanan, mereka akan menerima pautan mesej untuk membolehkan mereka menderma,” katanya.

Menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), terdapat lebih 2,000 badak sumbu putih utara pada tahun 1960. Aktiviti pemburu haram bagaimanapun mengurangkan jumlahnya kepada 15 ekor pada tahun 1984.