Didik usahawan hasilkan klip video guna gajet

SYAKIFF (kiri) tidak lokek melontarkan idea dan pandangan kepada peserta yang menghadiri bengkel asas video pemasaran kendalian Thissign Production baru-baru ini.


SEORANG lelaki kelihatan berjalan mundar-mandir di pekarangan sebuah bangunan.

Berpakaian lengkap baju Melayu berwarna merah koleksi butik busana Muslim terkenal, Ijtihad, lelaki itu tampak segak dan bergaya umpama seorang selebriti.

Tanpa disedari, kelibat Mohd. Asyraf Zahanuddin, 25, turut mengundang perhatian orang ramai yang terpesona dengan aura baju yang dipakainya.

“Dapatkan koleksi-koleksi terkini busana Muslim keluaran Ijtihad sempena Aidilfitri tahun ini.

“Kunjungi butik kami dan dapatkan pelbagai promosi menarik yang ditawarkan,” tuturnya sambil mengakhiri klip video berdurasi hampir 30 saat itu.

Mohd. Asyraf tersenyum melihat slaid klip video yang dipaparkan.

Biarpun tidak begitu sempurna, naskhah pertama yang dihasilkan selepas menghadiri bengkel asas video pemasaran anjuran Thissign Production di i-Space, PJ Trade Centre, Selangor baru-baru ini tidak menghampakan.

Menariknya, keseluruhan rakaman itu dilakukan menerusi telefon pintar manakala proses suntingan pula menggunakan aplikasi suntingan video Splice atau Quik bagi platform Android serta iOS.

“Perasaan saya bercampur-baur antara malu dan gementar. Maklumlah, ini kali pertama saya menjadi pelakon untuk sebuah klip video.

“Bagaimanapun, ia merupakan satu pengalaman menarik dan ilmu yang dikutip sepanjang bengkel ini membantu saya untuk menghasilkan klip video yang lebih berkualiti pada masa hadapan,” kata kakitangan pemasaran butik yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor itu.

Menurutnya, selama ini dia membayangkan proses penghasilan klip video memerlukan peralatan canggih dan kru yang ramai.

“Siapa sangka dengan hanya menggunakan telefon pintar, tripod dan pencahayaan yang sesuai, seseorang itu boleh menghasilkan sebuah klip video berkualiti untuk memasarkan sesuatu produk atau jenama.

“Tidak hairanlah, klip video begini popular di laman-laman sosial seperti Facebook, Instagram dan YouTube kerana ia ringkas, padat serta memberi impak secara langsung kepada pengguna,” ujarnya.

Tambah Mohd. Asyraf, dia berharap pengalaman yang dikutip itu dapat membantunya menghasilkan lebih banyak klip video untuk mempopularkan jenama Ijtihad kepada umum.

“Sebelum ini, kami lebih tertumpu kepada promosi secara offline sama ada di butik atau menerusi ekspo dan karnival.

“Menerusi klip video pemasaran seperti ini, kami yakin dapat menarik lebih ramai pelanggan di laman sosial dan internet,” katanya.

Pengaruh


MENERUSI Thissign Production, Syakiff (tengah) banyak terlibat dalam menghasilkan klip video pemasaran bagi syarikat-syarikat perniagaan di seluruh negara.


Peningkatan penggunaan telefon pintar sejak akhir-akhir ini telah mengubah cara pengguna melihat, membeli- belah dan berinteraksi secara online.

Selepas perkhidmatan mudah alih berjaya menguasai kira-kira 65 peratus pasaran media digital di dunia, tidak hairanlah ia mempunyai pengaruh yang cukup besar untuk menjana sektor ekonomi sesebuah negara termasuk di Malaysia.

Pengarah Thissign Production, Syakiff Zulkifflee berkata, kos penghasilan sesebuah klip video pemasaran digital adalah tinggi kerana ia melibatkan agensi pengiklanan, kru produksi dan para pelakon.

“Itu belum lagi kira bayaran waktu siaran di stesen televisyen yang menyebabkan ia hanya dimonopoli syarikat-syarikat besar.

“Bagaimanapun, menerusi platform media digital, usahawan kecil atau sederhana berpeluang meneroka pemasaran digital menerusi klip video untuk mempromosikan produk-produk mereka.

“Apa yang penting ialah kandungan dan pengisian supaya ia dapat memberi impak dan menarik perhatian pelanggan,” katanya.

Sentuhan emosi

Beliau yang berpengalaman membuat klip video pemasaran sejak lima tahun lalu memberitahu, penghasilan klip video itu perlu mempunyai konsep, jalan cerita, kreativiti, visual menarik serta kesan bunyi yang mampu memberi mood kepada pelanggan.

“Penyampaian maklumat juga perlu jelas selain diberi sentuhan emosi untuk membina keyakinan pelanggan terhadap sesuatu produk.

“Konsep dan jalan cerita adalah bebas, mungkin komedi, aksi, parodi dan berita. Asalkan ia sesuai dengan pelanggan yang disasarkan,” katanya.

Bercerita mengenai bengkel itu, Syakiff berkata, biarpun hanya menggunakan telefon pintar, peserta berpeluang menghasilkan klip video menarik dengan menerusi teknik yang betul.

“Misalnya, video perlu dirakam secara melintang dan pastikan subjek yang dirakam berada di tengah-tengah.

“Selain itu, bantuan tripod dan sumber pencahayaan yang tepat dapat membantu memastikan kestabilan rakaman serta kualiti video yang lebih jelas.

“Bagi proses suntingan pula, kami galakkan mereka menggunakan aplikasi Splice dan Quik yang bukan sahaja ringkas tetapi mudah digunakan,” katanya.

Jelasnya, antara tip penting semasa penghasilan sesebuah klip video pemasaran ialah memberi keutamaan terhadap produk dalam tempoh lima hingga 10 saat awal ia ditayangkan dan penggunaan banyak sudut rakaman.

Selain itu, klip video yang dihasilkan juga perlu pendek iaitu kurang daripada tiga minit bagi mengelak pelanggan menjadi bosan dan terbeban dengan caj data ketika proses muat turun.

Promosi


PESERTA merakamkan gambar kenangan selepas menghadiri bengkel asas video pemasaran anjuran Thissign Production di i-Space, PJ Trade Centre, Selangor baru-baru ini.


“Sebaiknya sekitar satu hingga dua minit sahaja dan apa yang penting, proses penyuntingan perlu kreatif, segar serta menarik.

“Pada masa sama, lokasi juga perlu bersesuaian dan menarik bagi mendapatkan mood sepanjang proses penggambaran,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Norhayati Abdul Kadir, 47, berkata, dia bercadang menghasilkan klip video bagi mempromosikan perniagaan emas yang dijalankan.

Katanya, sebelum ini dia sering menggunakan Facebook bagi tujuan promosi dan mencari pelanggan.

“Saya memang berniat untuk hasilkan klip video tentang produk yang dijual kerana ia merupakan cara pantas untuk mempromosikan produk dan mencari pelanggan.

“Namun, harga yang ditawarkan pihak-pihak terlibat agak tinggi mencecah ribuan ringgit.

“Oleh sebab itu, saya agak teruja untuk menghadiri bengkel ini kerana saya berpeluang mempelajari teknik-teknik penghasilan klip video daripada tenaga pengajar profesional,” katanya yang menetap di Klang, Selangor.

Jelasnya, penggunaan klip video merupakan antara strategi terbaik kerana membolehkan pelanggan mengenali sesuatu produk secara lebih dekat.

“Ini kerana sebahagian besar pengguna media sosial suka melihat klip-klip video seperti ini kerana ia lebih interaktif,” katanya.