Trek Gunung Kilimanjaro mencabar ketahanan mental


Keadaan cuaca berkabus dan berangin mengiringi perjalanan para peserta ekspedisi.


SYUKUR kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya, saya dan 13 orang rakan berjaya menawan puncak Gunung Kilimanjaro di Tanzania.

Tanggal 27 Februari lalu, kumpulan kami bergerak ke Tanzania yang terletak di benua Afrika.

Ia adalah susulan kejayaan kami menawan puncak Gunung Kinabalu, Sabah dan Gunung Fujiyama di Jepun.

Memiliki ketinggian 5,895 meter (m) dari aras laut, sudah tentu ia menjadi puncak idaman bagi pendaki tegar untuk ditawan.

Terkenal dengan jolokan Roof of Africa, Kilimonjaro pasti menggamit pendaki dari seluruh dunia untuk menawan puncaknya.

Projek ini telah dirancang selama hampir satu tahun oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melalui Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Koperasi Niaga.

Seramai 15 orang pegawai yang terdiri daripada kakitangan LPP dan Nafas terlibat dalam ekspedisi ini.

Kami menjalani latihan dan persiapan dengan mendaki beberapa gunung di sekitar Selangor, Perak serta Kedah.

Gunung Kilimanjaro merupakan gunung yang tertinggi di benua Afrika. Ia adalah salah satu dari tujuh puncak gunung tertinggi dunia.

Kilimanjaro juga terkenal sebagai gunung api strato raksasa dengan lebar kawahnya seluas 2.4 kilometer (km), namun tidak aktif.

Ia turut memiliki fumarol yang mengeluarkan gas di kawah yang terletak di puncak utama Kibo. Di Tanzania, puncak Kibo dikenal sebagai Puncak Uhuru.

Sebelum berlepas, kami sempat mendengar taklimat dan perkongsian ilmu oleh salah seorang pendaki berpengalaman dari Kelab Eksplorasi Negara.

Kami menaiki pesawat Qatar Airways untuk ke Doha, Qatar sebelum meneruskan perjalanan ke Kilimanajro yang mengambil masa selama 14 jam.

Setibanya di sana, kami disambut oleh wakil syarikat Zara Tours Travel yang mengendalikan keseluruhan program.

Malim gunung

Selepas makan malam di lokasi penginapan iaitu Zara Tour Villa, kami diberikan taklimat terakhir oleh jurupandu.

Keesokan harinya, setelah selesai sarapan, kami terus membuat persiapan dan persediaan pendakian.

Kami bertolak ke Taman Negara Kilimanjaro pada pukul 8.30 pagi sebelum tiba di sana dua jam kemudian.

Setelah mendaftar masuk di Pejabat Pendaftaran Taman Negara, kami memulakan pendakian dari Marangu Gate ke Mandara Hud sejauh 6km sambil ditemani 13 orang malim gunung.

Pendakian ini mengambil masa enam jam perjalanan bergantung kepada stamina pendaki.

Sepanjang perjalanan ke Mandara Hud yang terletak pada ketinggian 2,720m dari aras laut, kami menempuh laluan berbukit dengan pohon kayu yang menghijau.

Setelah perjalanan hampir tiga jam, kami singgah di hentian pertama untuk berehat dan makan tengah hari.

Kami tiba di Mandara Hud sekitar pukul 5 petang dan bermalam di pondok yang disediakan.

Pada hari kedua, selepas sarapan, kami meneruskan pendakian ke Horombo Hud dengan jarak pendakian sejauh 11km.

Perjalanan ini mengambil masa hampir enam hingga lapan jam mengikut stamina pendaki.

Laluan kali ini agak mencabar dan memenatkan kerana ia berbatu-batu serta berbukit.

Sepanjang perjalanan, kami ditemani pokok-pokok renek dan rumput yang tumbuh seperti hamparan karpet, sekali gus mewujudkan pemandangan indah.

Perjalanan hampir empat jam cukup memenatkan, sebelum kami singgah di tempat rehat untuk makan tengah hari.

Air panas menjadi minuman wajib kerana suhu persekitaran agak sejuk antara 15 hingga 20 darjah Celsius.


SERAMAI 14 orang peserta terlibat dalam ekspedisi mendaki Gunung Kilimanjaro, Tanzania.


Sepanjang laluan itu juga, kami tidak ketinggalan untuk merakam gambar keindahan alam semula jadi kurniaan Ilahi.

Kami tiba di Horombo Hud pada pukul 4.30 petang dan terus mendaftar masuk ke rumah penginapan yang terdapat di situ.

Suasana kabus tebal yang menyeliputi kawasan itu membuatkan kami berasakan seolah-olah berada di awangan.

Suhu juga mencecah bacaan bawah 12 darjah Celsius. Pada suatu ketika, kami dapat melihat dengan jelas puncak gunung Mawenzi yang tersergam indah.

Mempunyai ketinggian 4,700m dari aras laut, Gunung Mawenzi adalah gunung yang kedua tertinggi di benua Afrika.

Pada waktu makan malam, kami berkumpul di kafe untuk menikmati juadah yang telah disediakan oleh kumpulan jurupandu sambil mendengar taklimat untuk pendakian pada keesokan hari.

Kami dimaklumkan bahawa pendakian itu menuju ke Zebra Rock sejauh 5.4km sebagai ujian untuk keserasian suhu sebelum ke Kibo Hud.

Pada hari ketiga, kami bergerak ke Zebra Rock secara perlahan-lahan. Laluan kami pada awal pagi itu berbatu dan berbukit.

Kami sampai di check point Zebra Rock sekitar pukul 10.30 pagi. Selepas berehat dan merakamkan foto berlatar belakang Gunung Mawenzi, kami bergerak ke kem penginapan di Horombo Hud.

Perjalanan pada hari keempat lebih mencabar kerana mendaki sejauh 11km untuk ke Kibo Hud iaitu base camp terakhir sebelum pendakian ke puncak.

Kami menyusuri lembah dan laluan berbukit yang dihamparkan dengan padang rumput savana yang luas.

Dari jauh jelas kelihatan puncak Gunung Kilimanjaro yang diselaputi salji.

Semangat kami semakin membara apabila cuaca yang cerah dan sedikit berkabus saling berganti sepanjang laluan.

Tiupan angin sejuk bersama hujan batu memaksa kami untuk memendekkan masa rehat.

Kami meneruskan perjalanan ke Kibo Base Camp dalam laluan yang mulai diselaputi oleh lapisan salji sekali gus memperlahankan pergerakan kami.

Kami tiba sekitar pukul 6 petang waktu tempatan.

Hujan salji

Pada sebelah malam, kami berehat secukupnya bagi memberikan kekuatan untuk melakukan pendakian ke puncak pada keesokan harinya.

Memandangkan suhu di luar amat sejuk dengan angin dan salji, kami memakai pakaian yang agak tebal bagi mengekalkan suhu badan.

Hanya barangan penting termasuk bekalan air secukupnya dibawa bersama.

Tempat pukul 12.30 pagi, kami membaca doa sebelum memulakan pendakian ke puncak dalam barisan panjang.

Pergerakan kami agak perlahan kerana dibatasi dengan tiupan angin dan hujan salji.

Hanya lampu suluh yang kelihatan sayup-sayup menerangi kegelapan malam.

Pergerakan kami adalah secara Z bagi memudahkan pendakian. Kami juga dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Pada 400m terakhir, tiga orang lagi ahli terpaksa berpatah balik kerana masalah stamina dan mental.

Dengan kekuatan mental dan kudrat yang ada, kami meneruskan perjalanan ke puncak sebelum tiba sekitar pukul 8.30 pagi waktu tempatan.

Setelah berehat dan menikmati panorama pemandangan, kami mula bergerak turun secara perlahan-lahan kerana laluan telah dilitupi salji tebal.

Keselamatan ketika menuruni lereng yang berbatu dan bersalji amat mencabar ketahanan mental kerana risiko kemalangan boleh berlaku tanpa disedari.

Sebelum pulang ke tanah air, kami sempat menjelajah bumi Tanzania dengan berkunjung ke beberapa tempat menarik seperti Taman Negara Safari dan melawat Bandar Arusha sambil membeli cenderamata.

Projek ini adalah cetusan idea Timbalan Ketua Pengarah LPP, Datuk Salim Taha.