Ekletik British gaya Hotel Cosmo

RUANG lounge ditata rias ringkas dengan penataan sofa antik baldu berona kuning cair.


TERLETAK di bandar raya Kuala Lumpur yang kaya dengan nilai sejarah dan warisan, Hotel Cosmo ada keunikan tersendiri yang ingin ditampilkan kepada pengunjungnya.

Premisnya yang berdiri megah di antara persimpangan Leboh Ampang dan Jalan Tun Tan Siew Sin tidak sukar dicari sementelah ia merupakan bangunan Malaysian Building Society Bhd. (MBSB) sebelum ini.

Berbeza dengan ciri-ciri seni bina kolonial di bahagian luar, Hotel Cosmo menampilkan transisi moden kontemporari dengan sentuhan ekletik British klasik di bahagian dalam premis tersebut.

Perkara pertama yang mencuri perhatian kru Jurnal sudah tentu candelier dengan limpahan cahaya kuning bergemerlapan di ruang legar hotel.

Siling tinggi dengan penataan cermin sepenuhnya di bahagian dinding bukan sahaja menggalakkan pencahayaan, malah menyerlahkan sisi elegan serta kemewahan kepada keseluruhan dekorasi.

Bilik panda

Dari situ, kru Jurnal dibawa menaiki eskalator ke aras satu yang menempatkan lounge, lobi dan sudut membaca. Menariknya, ketiga-tiga ruang tersebut dibezakan dengan penataan dekorasi berlainan yang secara tidak langsung menyuntik segmen berbeza kepada pengunjung.

Di satu sudut, sofa antik dua tempat duduk daripada fabrik baldu berona kuning cair bersama kerusi dan meja bulat menyeri lounge, manakala di bahagian lain, sofa panjang melekap ke dinding serta kerusi satu tempat duduk melengkapi ruang itu.

Di sudut membaca, penataan sofa bermotifkan corak houndstooth hitam putih menyuntik kelainan. Kesenadaan skema warna dan penggunaan perabot terus dapat dilihat di ruang lobi melalui penataan sofa serta meja bulat yang sama.


SOFA cetakan houndstooth di sudut membaca mencipta kelainan sekali gus membezakan ruang tersebut dengan bahagian lain.


Suntikan ekletik British terus dapat dilihat pada bahagian dinding ruang meja penyambut tetamu yang menampilkan kemasan corak flora timbul, selain tiang serta panel dinding arkitraf.

Beroperasi sejak 1 Disember tahun lalu, Hotel Cosmo yang dimiliki Kumpulan Mayland dan diuruskan oleh Super Upline Sdn. Bhd. mendapat sentuhan hiasan dalaman eksklusif daripada pasukan perunding hiasan dalamannya.

Naib Pengerusi (Malaysia) Dorsett Hospitality International (M) Sdn. Bhd. (Dorsett), Datin Jasmine Heng Abdullah berkata, arkitek yang terlibat dalam projek tersebut adalah Simplex Design Sdn. Bhd.

Khidmat pasukan hiasan dalaman milik Tan Sri David Chiu di Hong Kong yang diketuai Naib Presiden Kanannya, Wendy Chiu pula bertindak sebagai perunding dekorasi dalaman hotel.

Mempunyai keluasan antara 16.7 hingga 23 meter persegi, setiap bilik dilengkapi perabot seperti katil, meja tulis, meja sisi, sofa dan almari untuk memastikan keselesaan pelanggan.

Nostalgia

Salah sebuah bilik yang menarik perhatian penulis ialah bilik bertemakan panda yang sesuai untuk penginapan seisi keluarga. Di bilik itu, selimut dan sarung bantal bercorak panda digunakan bagi merealisasikan tema berkenaan.

Cadar daripada motif jalur hitam dan putih pula melengkapi tona warna monokrom yang digunakan. Sedikit percikan rona biru firus yang boleh dilihat pada almari peti ais mini, kertas dinding kepala katil manakala kotak tisu pula menyerlahkan sisi ceria bilik tersebut.

“Bilik keluarga bertemakan panda ini dipisahkan menerusi pintu bagi memberi privasi dan keselesaan kepada pelanggan. Bagi pengunjung yang berminat untuk bermalam di bilik ini, mereka berpeluang membawa pulang satu patung panda sebagai kenang-kenangan,” kata Jasmine.


SKEMA warna coklat cair dan hijau menyuntik elemen ketenangan kepada dekorasi bilik.


Jasmine memberitahu, walaupun baru enam bulan beroperasi, Hotel Cosmo sudah mendapat kunjungan pelancong luar negara termasuk dari Hong Kong, China, Australia dan Eropah selain negara Asia Tenggara seperti Singapura, Vietnam, Indonesia dan Kemboja.

“Kami menyasarkan golongan korporat yang mengembara atas urusan bisnes selain pelancong solo dan berkeluarga,” ujarnya.

Bagi memenuhi keperluan pelanggannya, Hotel Cosmo turut menyediakan lima buah bilik mesyuarat berkeluasan antara 45 hingga 114 meter persegi yang dilengkapi peralatan audiovisual berteknologi tinggi, sesuai untuk pelbagai acara termasuk mesyuarat korporat, seminar dan persidangan.

“Pelanggan boleh memilih susun atur meja dalam beberapa jenis tetapan yang disediakan antaranya bentuk U, teater, bilik darjah dan bankuet. Bilik-bilik ini boleh menampung antara 15 hingga 110 orang pada satu-satu masa bergantung kepada saiznya,” kata Jasmine.

Tambahnya, lokasi hotel yang berdekatan bangunan bersejarah seperti Pasar Seni, Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Masjid Jamek dan Jalan Petaling menjadikan ia popular dalam kalangan pengunjung yang mahu bercuti di Kuala Lumpur tetapi masih mahu merasai nostalgia sisi tua ibu negara.

“Penginapan di hotel ini pasti memberi kepuasan kerana dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk internet berkelajuan tinggi, televisyen, peti keselamatan dan pancuran dengan mandian air panas,” jelasnya sambil memberitahu, premis berkenaan turut dilengkapi fasiliti lain seperti gimnasium dan restoran Kafe Mint.

Memiliki keseluruhan 16 tingkat termasuk aras bumbung, premis itu menyediakan 347 buah bilik meliputi kategori Cosmo Room, Deluxe, Executive, Studio Suite dan Junior Suite pada harga promosi RM280 semalam hingga 31 Oktober depan.