Kisah suami suka ponteng puasa


Salah satu babak kelakar yang ditonjolkan Mamat Khalid dalam karya terbaharunya.


Beberapa lelaki di sebuah kampung yang sudah berkahwin mengambil keputusan untuk ponteng puasa dan menyembunyikan perbuatan menyalahi hukum agama itu daripada pengetahuan isteri masing-masing.

Malah, lelaki-lelaki itu menetapkan jadual untuk membeli makanan dan memakannya di tempat yang tersorok. Namun, peribahasa Melayu ada mengatakan ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga’.

Lelaki-lelaki itu akhirnya ditangkap pihak jabatan agama ketika sedang seronok menikmati makanan di tepi sungai. Malu bukan kepalang apabila kesemua lelaki itu diangkut menaiki van jenazah.

Itu intipati super telemovie yang akan bersiaran pada 8 Jun, eksklusif hanya di Astro First (saluran 480) dan juga boleh ditonton menerusi Astro Go serta On Demand.

Membariskan pelakon hebat seperti Jue Aziz, Sabri Yunus, Aziz M. Osman dan Bell Ngasri, super telemovie arahan Mamat Khalid itu menampilkan kisah komedi yang sarat dengan pengajaran.

Jue yang kali pertama berpeluang berlakon di bawah arahan Mamat, mengakui teruja membintangi karya pengarah prolifik itu biarpun sekadar menjayakan watak sampingan.

“Sebenarnya, sudah banyak kali abang Mamat mengajak saya berlakon dalam karyanya, namun tidak berpeluang kerana bertembung dengan hal-hal lain,” ujarnya ketika dihubungi Sensasi Bintang.

Ternyata, peluang berlakon di bawah arahan pengarah filem Lebuhraya Ke Neraka itu agak mengejutkan pelakon putih gebu itu.


Aziz M. Osman turut berlakon dalam super telemovie 16 Puasa.


“Agak mengejutkan juga abang Mamat ini kerana dia seorang pengarah yang tenang dan tidak terburu-buru. Dia lebih suka berkarya ketika di set penggambaran. Pada bila-bila masa sahaja kita sebagai pelakon kena bersedia dengan olahan cerita atau dialog di set penggambaran,” jelas Jue yang menyukai cara kerja pengarah itu.

Menyentuh mengenai cerita 16 Puasa, Jue memberitahu, dia membawa watak isteri kepada salah seorang suami yang suka ponteng puasa.

“Walaupun watak saya sedikit sahaja, namun sangat seronok menjayakan super telemovie ini. Tambahan pula, ia sebuah karya komedi yang membuatkan saya sendiri tidak kering gusi di set penggambaran,” ulasnya.

Berkongsi mengenai cabaran berlakon dalam super telemovie tersebut, pemilik nama sebenar Zuliana Abdul Aziz itu mengakui, dia tidak berdepan dengan apa-apa cabaran kecuali tidak mendapat skrip untuk berlakon dalam 16 Puasa.

“Watak saya comel-comel sahaja. Tidak ada sebarang cabaran, cuma abang Mamat tidak bagi sebarang skrip pada pelakon-pelakonnya. Skrip hanya diberi ketika di set penggambaran tetapi saya okey sahaja dengan cara kerja beliau kerana sudah lama berada dalam industri lakonan,” jelasnya menutup bicara.