Jangan beri minum jus buah-buahan kepada bayi


MEMBERI jus buah-buahan kepada bayi berumur bawah satu tahun boleh memberi risiko kepada masalah jantung dan gusi. – Gambar hiasan


DALAM satu kajian, pakar kanak-kanak memberitahu bahawa memberi jus buah-buahan kepada bayi berusia bawah satu tahun boleh menjejaskan kesihatan pada jantung dan gusi bayi tersebut.

Pakar kanak-kanak dari Akademi Pakar Kanak-Kanak Amerika dalam laporan mereka telah melarang memberi minuman manis seperti jus buah-buahan kepada bayi berusia bawah satu tahun kerana dianggap sebagai amalan berbahaya.

Dalam kajian mereka, buah-buahan segar didapati mempunyai kandungan serat dan vitamin cukup berbanding jus buah-buahan yang mengandungi tahap gula tinggi, sekali gus berupaya menyebabkan masalah obesiti terhadap kanak-kanak.

Salah seorang penyelidik, Dr. Steven Abrams memberitahu, ibu bapa boleh memberikan jus buah-buahan kepada anak masing-masing atas arahan pakar untuk tujuan merawat masalah sembelit, namun jus yang diberikan itu mestilah 100 peratus jus buah-buahan asli.

“Minuman jus buah-buahan hanya sesuai untuk kanak-kanak berumur satu tahun ke atas kerana mengandungi vitamin C dan D yang baik untuk sistem pencernaan mereka,” ujar Abrams.