Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.


Ramah Datin Sharifah Shawati Syed Mohd., 48, ketika ditemui penulis semasa sesi temu ramah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Setiap tuturnya diselang-selikan dengan senyuman yang terukir diukir pada wajahnya.

Ditambah pula dengan raut wajah yang sentiasa ceria ketika disapa, membuatkan orang sekeliling turut merasai aura positif yang dimilikinya.

Sambil mengenakan busana fusion kebaya dan kimono rekaannya, pesona Sharifah Shawati sebagai seorang personaliti tidak pernah luntur. Ia masih sama seperti yang kita tonton dalam kaca televisyen suatu masa dahulu.

Jika sebelum ini beliau begitu sibuk sebagai seorang pengacara televisyen, kini namanya semakin memuncak sebagai perunding transformasi imej peribadi di bawah nama Ada’maya Image Consultant.

Selain itu, beliau turut giat mengusahakan produk makanan kesihatan berasaskan cili iaitu Hottie In Spice awal tahun lalu.

Bekas pramugari dan model itu berkata, hari-hari yang dilaluinya sentiasa sibuk.

Pun begitu, setiap tahun beliau sentiasa menantikan ketibaan bulan penuh kerahmatan iaitu bulan Ramadan.

Dengan rendah diri, beliau mengakui Ramadan yang dilaluinya sama seperti umat Islam lain.

Pun begitu, definisi Ramadan bagi Sharifah Shawati ialah kesempatan untuk dirinya merehatkan diri serta keluar daripada kesibukan harian itu.

“Setiap kali tibanya bulan Ramadan, saya akan memperlahankan sedikit aktiviti perniagaan.

“Ia memberikan kesempatan bagi saya sekeluarga untuk lebih fokus dalam menunaikan ibadah wajib serta sunat termasuklah seperti solat tarawih dan sebagainya.

“Sememangnya ibadah itu wajib dilakukan setiap hari. Namun, kesempatan yang ada pada bulan Ramadan ini memberi peluang umat Islam untuk menggandakan amalan,” ujarnya dalam satu sesi temu bual di Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Setiap hari beliau akan memastikan segala urusan perlu disiapkan sebelum pukul 4 petang.

Ia merupakan rutin yang diamalkan setiap kali Ramadan.

Kata Sharifah Shawati, walaupun setiap urusannya perlu disiapkan sebelum pukul 4 petang berbanding pada hari biasa yang berlarutan ke waktu malam, dia tidak sedikit pun panik jika perjalanan perniagaannya terganggu.

Rancang

Menurutnya, urusan perniagaan tersebut telah dirancang tiga bulan lebih awal supaya tidak mengganggu gerak kerja pada bulan Ramadan.

“Ia bagi memberi ruang kepada saya untuk mempersiapkan urusan lain sekiranya terdapat sebarang perkara berbangkit,” katanya.

Sharifah Shawati mengakui pengalaman sebagai pramugari banyak melatih beliau untuk menjadi seorang yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.

Justeru, kunci kepada kelancaran perjalanan perniagaan tersebut ialah pengurusan masa.

Seperti juga umat Islam lain, beliau akan menggunakan kesempatan itu untuk menggandakan amal jariah seperti bersedekah. Kesempatan itu juga direbut oleh ibu kepada dua anak itu.

Menurutnya, hampir lima peratus daripada pendapatan pada bulan tersebut akan disedekahkan kepada institusi kebajikan seperti rumah anak yatim serta masjid di sekitar Kuala Lumpur.

“Ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kita untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Walaupun jumlah yang diberikan itu tidak begitu banyak, namun ia sebagai satu usaha meraikan golongan tersebut pada bulan mulia ini,” tambahnya.

Ralit mendengar celoteh Sharifah Shawati, penulis begitu tersentuh mendengar pandangannya mengenai Ramadan yang disifatkan sebagai bulan meluangkan masa bersama keluarga.

Kongsinya, setiap hari beliau akan membawa keluarga termasuk ibunya ke Masjid Taman Melawati, Kuala Lumpur untuk mengerjakan solat tarawih.

Pada hemat beliau, kesempatan tersebut ibarat serampang dua mata. Dia dapat menunjukkan rasa sayang terhadap ahli keluarganya dan pada masa sama beribadah memenuhi tuntutan sebagai seorang Islam.

“Kita perlu menghargai setiap kasih sayang orang di sekeliling kita.

“Justeru, dengan membawa seluruh ahli keluarga menunaikan solat di masjid setiap malam, hubungan kekeluargaan itu akan menjadi lebih erat.

“Sungguhpun demikian, amalan itu seharusnya diteruskan pada bulan berikutnya sehingga menjadi tabiat dan bukannya sekadar terhenti pada Ramadan sahaja,” pesannya.

Senyuman

Ketika ditanya mengenai tip untuk kekal jelita sepanjang Ramadan ini, dengan nada bersahaja dia memberitahu, rahsia kecantikannya ialah dengan mengamalkan senyuman.

Menurutnya, dengan mengukir senyuman, setiap permasalahan dapat diselesaikan dengan lebih mudah.

Bahkan, personaliti seseorang itu akan tampak lebih menawan jika mereka tersenyum, sekali gus menenangkan individu di sekeliling.

“Benar, tidak semua orang mudah melemparkan senyuman.

“Namun percayalah, apabila kita sentiasa senyum, rezeki itu pasti akan masuk mencurah-curah.

“Walaupun pada awalnya ia kekok, namun jika diamalkan sehingga menjadi tabiat, lama-kelamaan dengan semula jadinya anda akan tersenyum,” jelasnya.

Justeru, beliau menasihati masyarakat untuk tidak lokek melemparkan senyuman.