Cyberjaya bandar orang muda, pelajar, usahawan

Daripada sebuah ladang kelapa sawit, kini Cyberjaya menjadi hab teknologi global yang berjaya menarik masyarakat tempatan dan antarabangsa untuk menghuninya.


Pemandangan landskap di taman utama Cyberview Resort dan Spa, Cyberjaya tidak banyak berubah biarpun penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang pertama diadakan di negara ini sudah 19 tahun berlalu.

Pokok palma yang melingkari taman APEC Garden di resort itu dan tugu bergambar yang diletakkan di tengah-tengah taman tersebut antara ikon yang masih kekal.

“Lihat! Keadaannya masih sama bukan? Kami memang tidak berhasrat untuk mengubah keadaan asal resort ini dan apa yang kamu lihat hari ini masih sama seperti dalam gambar.

“Gambar ini menunjukkan di sinilah mantan Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad berdiri bersama 20 orang Perdana Menteri dari negara lain ketika negara ini menjadi tuam rumah APEC yang ke-10 pada tahun 1998,” jelas Pemangku Pengurus Resort, Cyberview Resort dan Spa, S. Yesodharan kepada wartawan Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.

Cyberview Resort dan Spa yang dibina sempena sidang kemuncak itu merupakan antara bangunan terawal yang dibina di Cyberjaya. Resort tersebut dibuka selepas lebih setahun majlis pecah tanah Cyberjaya berlangsung iaitu pada 17 Mei 1997.

Biarpun dianggap sebagai mercu tanda yang popular di bandar pintar tersebut, Cyberview Resort dan Spa tidak dipengaruhi konsep bangunan yang futuristik, sebaliknya ia bercirikan landskap ala tropika yang harmoni dengan alam semula jadi.

Kedudukan Cyberview Resort dan Spa yang tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadikannya jendela buat tetamu dari dalam dan luar negara untuk menikmati percutian yang bercirikan Malaysia.

Sepanjang dua dekad pembukaan Cyberjaya, bandar pintar itu berkembang pesat sehingga mampu melahirkan lebih 40,000 pekerja berpengetahuan tinggi (knowledge workers) yang terdiri daripada rakyat tempatan dan antarabangsa serta 25,000 pelajar institusi pendidikan tinggi.

Jika anda ingin log masuk ke masa depan Malaysia, Cyberjaya adalah destinasi yang perlu dituju kerana ia menonjolkan transisi sebuah ladang kelapa sawit kepada bandar terpintar negara dalam tempoh dua dekad.

Pada 17 Mei lalu, genap 20 tahun usia Cyberjaya. Bandar yang dahulunya sunyi, hanya ditemani bunyi cengkerik berubah 360 darjah menjadi hab teknologi global yang terdiri daripada gugusan bangunan pintar dan makmal digital.

Tidak sesak


Solar panel salah satu ciri teknologi hijau yang diperkenalkan di Cyberjaya.


Selain Cyberview Resort dan Spa, bandar tersebut semakin berkembang menjadi rumah kepada beberapa syarikat gergasi dunia seperti IBM Global Delivery Centre (Malaysia) Sdn. Bhd., Dell Global Business Centre Sdn. Bhd., Hewlett-Packard Multimedia Sdn.Bhd. dan Pusat Latihan Global Huawei Malaysia.

Seorang arkitek landskap daripada syarikat pemaju, Setia Eco Glades, Nurul Atiqah Ismail, 27, berkata, Cyberjaya sesuai menjadi bandar orang muda kerana dihuni ramai pelajar dan usahawan muda yang berkaliber.

“Saya suka Cyberjaya kerana bandar ini tidak begitu sesak dengan kenderaan walaupun terdapat banyak bangunan komersial, universiti swasta dan kawasan kediaman.

“Cyberjaya cukup berbeza dari aspek penggunaan tanah kerana pembahagiannya yang seimbang, panorama cantik, kedudukan strategik dengan pusat tumpuan lain di Lembah Klang dan berciri moden,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Wanita tersebut sudah dua tahun bekerja di Cyberjaya. Dia menjangkakan kawasan itu akan menjadi bandar pintar antarabangsa kerana populasi rakyat asing yang semakin bertambah.

Destinasi pilihan


Yesodharan menunjukkan tugu bergambar yang masih kekal di Cyberview Resort dan Spa, Cyberjaya.


Cyberjaya yang terletak 31 kilometer (km) dari Kuala Lumpur itu dihubungkan oleh lima buah lebuh raya iaitu Projek Lebuh Raya Usaha Sama Berhad (PLUS), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Maju (MEX), Lebuh Raya Lingkaran Tengah (ELITE) dan Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE). Ia turut dihubungkan oleh perkhidmatan kereta api laju yang dikendalikan oleh Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) yang bermula di Stesen KL Sentral ke KLIA.

Menurut statistik pemaju utama Cyberjaya, Setia Haruman Sdn. Bhd., bandar itu merupakan destinasi pilihan ketiga dunia untuk Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) dan menawarkan liputan jalur lebar perniagaan Protokol Internet Versi 6 (IPv6) yang dikuasakan dengan satu gigabit per saat (Gbps) serta 99.99 peratus lebihan bekalan rangkaian.

Sementara itu, Pengarah Urusan Cyberview Sdn. Bhd., Datuk Faris Yahaya pula berkata, antara pencapaian Cyberjaya yang membanggakan ialah kejayaan menarik minat 48 syarikat multinasional dan 800 syarikat teknologi untuk bertapak di bandar tersebut dalam tempoh dua dekad.

“Jumlah syarikat multinasional yang beroperasi di sini bukanlah ukuran kejayaan yang sebenar, namun kesan berganda yang dibawa mereka ke Cyberjaya yang kita harapkan.

“Kehadiran syarikat multinasional adalah bagus kerana ia memberi kepelbagaian kepada komuniti di sini, selain mencipta suasana kondusif untuk inovasi dan perkongsian buah fikiran agar lebih maju ke depan,” katanya.

Jelas Faris, Cyberview Sdn. Bhd. merupakan syarikat yang menyediakan infrastruktur dan insentif yang diperlukan oleh perintis teknologi bagi mengukuhkan bakat mereka seterusnya mewujudkan ekosistem inovasi yang mampan.

Pencapaian demi pencapaian yang digapai Cyberjaya membuatkan Cyberview Sdn. Bhd. merangka pelbagai strategi demi mengangkat prestasi bandar pintar itu di persada dunia.

“Terbaru, lima daripada 33 startups telah disenarai pendek oleh panelis berpengalaman dalam industri melalui program Cyberview Living Lab Accelerator yang keempat untuk dikomersialkan dalam penyelesaian Internet of Things (IoT) dan teknologi kewangan (fintech).

“Kita menggalakkan lebih ramai bakat baharu menyertai program seperti ini untuk merancakkan lagi ekosistem inovasi di Cyberjaya,” jelasnya.

Berdaya saing


PENDUDUK Cyberjaya boleh menghantar terus barang-barang terpakai ke Pusat Kitar Semula tanpa perlu menunggu pihak lain untuk mengutip barangan tersebut.


Pada masa sama, Cyberview Sdn. Bhd. turut mengamalkan dasar pintu terbuka bagi mengalu-alukan lebih ramai bakat baharu yang mempunyai idea bernas untuk dikembangkan dan dipasarkan ke peringkat lebih tinggi.

Tambahnya, usahawan-usahawan yang mempunyai idea yang sepadan akan disatukan untuk membentuk satu startup bagi membolehkan mereka bekerjasama mencipta produk yang berdaya saing.

Cyberview Sdn. Bhd. juga menjemput usahawan yang mempunyai idea kepada penyelesaian bandar pintar untuk menyuarakan cadangan mereka kepada City Innovation Council (CIC).

CIC merupakan badan perunding yang dipengerusikan oleh Cyberview Sdn. Bhd. yang terdiri daripada empat pemegang taruh iaitu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) , Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Setia Haruman Sdn. Bhd. dan Majlis Perbandaran Sepang.