Nikmat peluang kedua Nabila Razali

NOSTALGIA - Bulan puasa mengingatkan Nabila terhadap zaman nakal sewaktu remaja. Semasa tingkatan satu, dia kerap berbuka awal kerana mengikut perkiraannya, jika langit sudah gelap itu tandanya masuk waktu berbuka.


Bakatnya mewangi selepas drama lakonan bersama aktor popular, Alif Satar berjudul Hikayat Cinta Si Pematah Hati menawan hati peminat.

Dahulunya, Nabila Razali cuma salah seorang bakat kelahiran program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF2013) yang sekejap timbul sekejap tenggelam seperti kebanyakan pendatang baharu yang lain.

Lebih menghampakan, penerimaan khalayak terhadap bakat nyanyiannya tidak seperti yang diharapkan. Paling teruk, dia pernah disamakan dengan karakter kartun, Chipmunk disebabkan kualiti suaranya yang tidak meyakinkan.

Tamatnya AF2013, Nabila tidak mengalah. Dia teruja menghadirkan single perdana berjudul Katakan Saja, namun barangkali disebabkan kurang pengalaman dan tiada persediaan rapi, kehadiran Nabila atau nama lengkapnya, Nur Nabila Mohd. Razali ke persada muzik tidak ubah seperti bunga lalang, ditiup angin terbang entah ke mana.

“Tujuan asal saya memang ingin menjadi penyanyi namun rezeki berlakon lebih meluas. Jadi kata orang, kalau sudah rezeki terbentang depan mata, mengapa perlu saya tolak.

“Minat menyanyi tetap nombor satu walaupun saya pernah diejek Chipmunk dan sebagainya, semangat saya tidak pernah luntur. Saya belajar dan terus belajar untuk membuktikan kehadiran ke industri seni bukan dengan tangan kosong. Saya serius dalam bidang ini,” ujar Nabila yang turut mengaku kerap mengikuti kelas vokal untuk memperbaiki teknik nyanyiannya.

Kini popular dengan single bertajuk Cemburu, bahkan semakin bijak mengorak langkah sebagai pelakon, Nabila, 25, bersyukur kerana kerja kerasnya selama ini semakin membuahkan hasil.

Mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan melalui dua telefilem iaitu Bibikku Nak Kahwin pada tahun 2013 dan Ustaz Baru Nak Start (2016), tahun 2017 menyaksikan Nabila mengembangkan sayapnya melalui drama rantaian Hikayat Cinta Si Pematah Hati. Menggalas watak utama Wafen Wardiah, lakonannya mendapat reaksi pelbagai.

“Ada yang mempersoalkan mengapa saya yang dipilih berlakon di samping Alif sedangkan saya masih baharu. Ada juga yang membeza-bezakan lakonan saya dengan pelakon yang sinonim dengan Alif iaitu Siti Nordiana.

“Begitu pun, ada juga yang menghargai lakonan saya dan mereka seronok dengan hasil kerja saya menerusi kaca televisyen. Ia suatu nikmat yang amat besar apabila orang mula menghargai bakat yang sudah lama cuba ditonjolkan,” getus Nabila yang dilahirkan pada 13 November 1992.

Pelajaran

Berbicara dengan anak jati Selangor itu seperti ada magnet yang memaku untuk saling mendengar dan meluahkan. Satu-persatu perihal dirinya dikupas dengan cermat. Daripada sekadar mengenalinya sebagai penyanyi dan pelakon, nilai Nabila sebenarnya lebih daripada apa dilihat secara luaran.

Dia percaya untuk berjaya dalam apa bidang sekali pun, pelajaran usah diperkecilkan.

Buktinya, dia tidak pernah membelakangkan pelajaran hanya kerana mahu diterangi cahaya glamor. Memiliki ijazah dalam bidang jurusan Seni Bina dari Universiti Sains Malaysia, Nabila kini menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang sama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Disebabkan ingin berlakon, saya menangguhkan dulu pengajian sarjana selama satu semester (enam bulan). Bukan berniat untuk tangguh selamanya, tetapi ia bersifat sementara. Saya tetap akan habiskan pengajian demi masa depan.

“Buat masa sekarang, saya tidak mahu mencampur-adukkan soal lakonan, nyanyian dan pelajaran pada satu masa. Keputusan untuk menangguhkan pengajian diharapkan memberi ruang kepada saya untuk fokus terhadap lakonan dan nyanyian,” tutur Nabila.

Bekas pelajar Sekolah Menengah St. Mary Kuala Lumpur itu menambah, dia juga mahu memberi noktah terbaik untuk setiap perkara yang dilakukan dalam bidang akademik mahupun kariernya.

“Apabila melakukan sesuatu perkara, saya akan buat betul-betul. Saya sangat percaya pada istilah beauty with brain. Golongan wanita perlu bijak mengurus bermacam perkara.

“Zaman sekarang, dapur bukan lagi tempat keramat bagi wanita selepas berkahwin. Macam-macam perkara mampu dicapai. Setiap perkara yang menakjubkan bermula dengan tangan yang melakukan kesilapan cuma jangan sesekali mengalah,” terangnya penuh wawasan.

Tipu puasa

Diajak berbicara tentang pengalaman berpuasa, bibirnya pantas mengukir senyuman seraya bersuara: “Kalau bercerita pasal puasa, banyak yang kelakar dilakukan terutama sewaktu kecil dahulu.”

Sambungnya: “Saya pernah puasa tipu. Saya pergi ke bazar Ramadan tetapi belum sampai rumah, makanan yang dibeli sudah tinggal suku atau separuh (tertawa). Seronok sangat jadi kanak-kanak.”

Melanjutkan perbualan, Nabila juga mempunyai masalah untuk bangun sahur. Hanya untuk awal-awal Ramadan sahaja dia bersahur, selebihnya Nabila akan bersahur pada malam hari.

“Sehingga pada usia sekarang, saya masih mempunyai masalah untuk bangun bersahur. Saya berharap sangat tahun ini saya akan lebih rajin untuk bersahur. Kalau masakan kegemaran saya, kari Baba Nyonya (masakan ibu) terhidang, barulah saya akan bersemangat,” kata anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik itu.

Nabila juga tidak meletakkan dirinya sebagai popular, namun kehadiran Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang membawa aroma berbeza buatnya. Rutin kariernya juga semakin meriah memandangkan bakat seninya sudah mula dihargai peminat.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki saya ingin berbuka puasa dengan peminat kerana sejak lima tahun berkecimpung dalam dunia seni, saya tidak pernah rasa ada orang pandang bakat lakonan atau nyanyian saya.

“Tahun ini agak berlainan buat saya,” tutup Nabila yang sedang dalam perancangan untuk merakamkan single terbaharu tidak lama lagi.