Drift kart cabar adrenalin pemandu

BLASTACARS merupakan salah satu sukan lasak yang popular di New Zealand.


SEJAK usia belasan tahun, Omar Stirling, 35, sudah jatuh cinta terhadap sukan permotoran drift.

Drift merujuk kepada teknik memandu secara oversteer sehingga menyebabkan kehilangan cengkaman pada roda belakang semasa membelok.

Minat itu timbul hasil daripada pengaruh filem Hollywood, The Fast and the Furious: Tokyo Drift yang menampilkan aksi-aksi perlumbaan kereta drift.

Terdorong daripada filem itu, dia terus mengasah bakat dalam sukan tersebut di litar-litar sekitar Lembah Klang.

Dalam proses memahirkan diri itu, kereta yang dipandu Omar sering terbabas sehingga menyebabkan kerosakan teruk.

Rentetan itu, dia terpaksa menghabiskan wang mencecah ribuan ringgit, selain terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk membaik pulih kereta.

Pernah suatu ketika, Omar terfikir untuk berhenti bermain drift kerana tidak mampu untuk menampung kos baik pulih kenderaannya.

Dilema yang menghantui pemuda kacukan British-Malaysia itu akhirnya terungkai selepas pembukaan Blastacars Malaysia (Blastacars) di pusat beli-belah Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur.

Blastacars ialah sebuah pusat permainan drift kart yang memberi peluang kepada orang ramai melakukan aksi drift di atas litar simen.

“Saya sangat teruja apabila mengetahui Blastacars telah dibuka di sini.

“Sejak dibuka pada Januari lalu, sudah empat kali saya datang ke sini.

“Blastacars membuatkan minat saya terhadap sukan drift kembali berputik,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Omar yang merupakan seorang ahli perniagaan memberitahu, Blastacars memang sesuai untuk individu yang ingin menguasai teknik drift.

Lebih murah

Jelasnya, ini kerana kos bermain drift kart adalah jauh lebih murah berbanding drift menggunakan kereta biasa di atas jalan raya.

“Di sini, saya tidak perlu rasa takut-takut kerana drift kart ini memang dicipta khusus untuk sukan drift. Jika terbabas sekalipun, keselamatan pemandu dan kart sentiasa terjamin,” katanya.

Menurut Omar, drift kart mempunyai 80 peratus persamaan dengan drift menggunakan kereta di atas jalan raya.’

Justeru, Omar tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyesuaikan diri mengendalikan kart dalam masa singkat.

“Pada mulanya, agak sukar untuk saya menyesuaikan diri dengan kart kerana saiznya lebih kecil dan ringan berbanding kereta biasa.

“Selepas dua kali ke sini, saya sudah mampu mengendalikan kart dengan baik. Malah, teknik drift saya juga bertambah baik,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Blastacars, John Wong berkata, pihaknya sangat berbesar hati kerana dapat memperkenalkan sukan baharu itu kepada masyarakat di negara ini.

Katanya, Blastacars menawarkan satu pengalaman mengendalikan kart yang berbeza berbanding go-kart atau kenderaan biasa.

“Aktiviti ini berasal dari New Zealand. Ia sangat popular di sana, terutamanya dalam kalangan penggemar sukan lasak.


Setiap kart mempunyai tiga tetapan kelajuan iaitu Novice, Advance dan Pro.


“Blastacars adalah pusat drift kart pertama yang di buka Malaysia dan Asia. Jadi, para penggemar adrenalin dan kelajuan tidak perlu lagi pergi jauh untuk mencuba aktiviti ini,” katanya.

Menurut John, Blastacars dilengkapi trek simen sepanjang 200 meter dengan 10 selekoh yang dibina di dalam bangunan.

Tambahnya, litar yang dibuka sehingga 12 tengah malam itu mampu memuatkan sehingga enam buah kart pada satu-satu masa.

“Litar ini memang dibina khusus untuk sukan drift. Di sekeliling litar ini, kami letakkan tayar-tayar lori besar bagi menghadang kereta apabila terbabas,” katanya.

Ketika ini, Blastacars mempunyai 10 buah kart yang diterbangkan khas dari New Zealand.

Setiap kart dibina dengan ciri-ciri keselamatan yang lengkap untuk drift seperti penampan roda dan tali pinggang keledar.

Menariknya, aktiviti itu juga sesuai dilakukan oleh kanak-kanak berusia tujuh tahun yang memiliki ketinggian 1.2 meter ke atas.

Tiga tetapan

John memberitahu, enjin kart mempunyai tiga tetapan iaitu Novice dengan kelajuan 20 kilometer per jam (km/j), Advance (30km/j) dan Pro (45km/j).

Jelasnya, kelajuan Novice dihadkan kepada kanak-kanak, Advance untuk orang dewasa dan Pro khas buat pengunjung mahir.

“Setiap pengunjung yang ingin menggunakan kelajuan Pro perlu mendapat kebenaran daripada pihak kami terlebih dahulu.

“Ia bagi memastikan mereka betul-betul mahir dengan teknik drift kart. Biasanya, ia hanya diberikan kepada individu yang kerap berkunjung ke sini,” jelasnya.

Selain kart, pengunjung juga boleh mencuba permainan lain seperti Virtual Reality Captain, Triple Screen Race Simulator dan Nerf+Arrow Battlefield pada harga berpatutan.

“Sekiranya Blastacars penuh, pengunjung boleh bermain aktiviti sampingan ini terlebih dahulu sementara menunggu giliran mereka,” jelasnya.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Aarynn Kit, 33, menganggap aktiviti drift kart sangat mencabar dan menguji adrenalinnya.

Katanya, ini kerana pemandu perlu bijak mengawal kenderaan daripada terbabas sewaktu melakukan drift pada kelajuan tinggi.

“Kedua-dua kaki dan tangan perlu tangkas ketika memandu drift kart ini. Selalunya, lepas 10 minit main, tangan dan kaki saya akan berasa sakit,” katanya.

Menurut anak kelahiran ibu kota itu, dia lebih selesa berkunjung ke Blastacars bersama rakan-rakan sekerjanya.

Ujarnya, aktiviti itu bukan sahaja menyeronokkan tetapi dapat mengisi masa lapang mereka ketika cuti hujung minggu.