Suka duka tawan Annapurna Base Camp

Jalur Gemilang gergasi yang melakar sejarah dalam Malaysia Book of Records berkibar di ABC.


PERJALANAN dari Siwai ke Annapurna Base Camp (ABC) di Nepal tidak semudah yang digambarkan.

Ini kerana kami perlu menempuh pelbagai cabaran yang menguji daya tahan fizikal, mental dan emosi di sepanjang laluan sejauh kira-kira 43 kilometer itu.

Selain mendaki dan menuruni anak tangga di lereng-lereng bukit yang curam, kami juga perlu berjalan dalam keadaan panas terik, hujan, hujan batu, hujan salji dan cuaca sejuk mencecah -5 darjah Celsius.

Namun, segala jerih perih itu dianggap berbaloi kerana kami dihidangkan dengan landskap dan keindahan alam semula jadi yang sangat mempesonakan.

Pada suatu detik, kami seakan-akan terleka seketika semasa menyaksikan panorama indah gunung-ganang, terutamanya pada hari keempat pendakian dari Deurali ke ABC.

Kemuncak kegembiraan ialah ketika bermain salji di puncak ABC kerana ia merupakan pengalaman pertama kami.

Tambahan pula, kami tidak menjangkakan salji akan menutupi permukaan base camp kerana ketika itu adalah musim bunga.

Itu antara kenangan yang dikutip 62 pendaki ketika mengikuti Cabaran ABC Media dan Bomba Malaysia 2017 dari 24 April hingga 5 Mei lalu.

Mengimbau ekspedisi selama 12 hari itu, catatan penulis bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.

Seawal pukul 5 pagi, kami sudah berkumpul di KLIA meskipun pesawat MH170 milik Malaysia Airlines dijadualkan terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu pada pukul 9.30 pagi.

Penerbangan selama empat jam 20 minit itu seakan-akan tidak dirasai apabila penulis yang duduk di sebelah kanan pesawat dihidangkan dengan pemandangan indah Banjaran Himalaya sebaik menghampiri bandar Kathmandu.

Syurga pendaki

Selepas menyelesaikan urusan bagasi di lapangan terbang, kami menaiki bas yang disediakan penganjur untuk bermalam di Hotel Kathmandu Inn dan bersiar-siar di Thamel Street.

Sepanjang berada di Kathmandu, kami memakai penutup hidung dan mulut kerana kualiti udara tidak baik.

Keesokan harinya, kami menghabiskan masa untuk membeli-belah peralatan mendaki di sekitar Thamel Street yang dianggap sebagai syurga pendaki.

Semua barangan mendaki dijual pada harga yang berbeza kerana ia bergantung pada kualiti sesuatu produk itu sama ada tiruan atau original.

Selain itu, kebijaksanaan melakukan tawar-menawar bersama peniaga turut mempengaruhi harga.

Pada sebelah malamnya, kami bergerak ke Pokhara menaiki bas yang disewa khas selama kira-kira sembilan jam.

Oleh kerana bas bergerak pada waktu malam, kami menggunakan peluang itu untuk tidur dan merehatkan diri.

Namun, keadaan bas yang tidak selesa dan permukaan jalan raya tidak rata menghalang kami daripada tidur dengan lena.

Di Pokhara, kami diberi masa selama sehari untuk bersiar-siar dan membeli-belah peralatan mendaki, sekali gus membuat persiapan terakhir sebelum bertolak ke Siwai menaiki bas tempatan pada keesokan paginya.

Selepas hampir tiga jam menempuh jalan yang bengkang-bengkok di lereng-lereng bukit, kami sampai ke Siwai untuk memulakan ekspedisi.

Pendakian pada hari pertama dari Siwai ke New Bridge dan Jhinudanda tidak begitu sukar.

Cabaran utama kami adalah mendaki dan menuruni anak tangga dalam keadaan cuaca panas selain hujan lebat di pertengahan jalan.

Oleh kerana kami sampai awal di Jhinudanda, penulis dan seorang rakan pendaki tidak melepaskan peluang mandi di kolam air panas untuk menyegarkan badan selepas seharian berjalan.

Kami tidak perlu risau tentang makanan halal kerana penduduk di kawasan itu mengamalkan pemakanan tanpa daging.

Malah, memakan daging menjadi satu kesalahan dan menurut kepercayaan penduduk tempatan, pendaki yang melanggar pantang larang itu akan ditimpa musibah.

Bagaimanapun, pendaki perlu membawa wang tunai yang secukupnya kerana setiap benda perlu dibayar.

Misalnya, harga air panas secawan boleh dibeli dengan harga 50 rupee (RM2) di Siwai tetapi mencecah harga 200 rupee (RM8) di ABC.

Begitu juga dengan air panas untuk mandi dan mengecaj bateri alatan elektronik.

Pelajar sekolah


sebahagian daripada peserta bergambar sambil memakai baju kurung dan baju Melayu sebagai kenang-kenangan di puncak ABC.


Semakin tinggi kedudukan kami, semakin mahal harga yang perlu dibayar.

Cuaca sejuk, pendakian menegak ke pekan Chomrong dan menuruni anak tangga curam ke Sinuwa antara ujian yang perlu dilalui pada hari kedua untuk sampai ke Bamboo.

Namun, pemandangan di Chomrong tidak mengecewakan. Selain menyaksikan keindahan puncak Gunung Machapuchare, kami turut berpeluang menyelami kehidupan harian penduduk tempatan di pekan itu.

Banyak rumah penginapan, gerai menjual makanan dan cenderamata. Namun, beramah mesra bersama pelajar-pelajar sekolah antara aktiviti yang menarik untuk dilakukan.

Keasyikan bergambar dan berswafoto telah menyebabkan ramai pendaki yang sampai ke Bamboo melebihi masa yang ditetapkan, sekali gus memaksa penganjur menggunakan pelan B iaitu sistem pasangan (buddy).

Pendakian pada hari ketiga agak mencabar kerana kami akan melepasi ketinggian 3,000 meter dari aras laut iaitu dari Bamboo ke Deurali.

Tekanan udara yang semakin berkurangan menyebabkan langkah kami menjadi perlahan dan kebimbangan terkena serangan acute mountain sickness (AMS) atau penyakit akut ketinggian sangat tinggi.

Namun, sistem buddy yang digunakan itu membantu kami sampai ke Deurali dalam tempoh yang ditetapkan tanpa menghadapi sebarang masalah meskipun ditimpa hujan batu.

Keghairahan kami untuk menawan ABC dapat dilihat dengan jelas pada hari keempat.

Seawal pukul 8 pagi, kami berkumpul seperti biasa untuk melakukan senaman ringan, menyanyikan lagu Negaraku dan mengaminkan doa yang dibaca oleh salah seorang pendaki.

Laluan di lereng-lereng bukit dari Deurali ke Machapuchare Base Camp (MBC) sedikit berbahaya tetapi pemandangan yang terdampar sungguh menakjubkan.

Sebaik sampai di MBC, kami sekali lagi terpesona melihat gunung-ganang yang berdiri megah dan diselaputi tompokan salji di sepanjang laluan ke ABC.

Tanpa disedari, kami telah sampai ke papan tanda ABC yang menjadi lokasi wajib pendaki dari seluruh dunia untuk merakamkan gambar kenangan.

Bergambar di papan tanda itu merupakan satu kebanggaan yang besar.

Sejarah

Selepas puas bergambar, kami bergerak ke rumah rehat di ABC untuk menjamu selera dan bermalam.

Suhu pada malam itu sangat sejuk dan mencecah -5 darjah Celsius pada keesokan harinya kerana hujan salji mencurah sejak petang.

Tepat pukul 8 pagi, kami bergerak turun ke papan tanda untuk merakamkan gambar kumpulan, sekali gus melakar sejarah dalam Malaysia Book of Records bagi kategori peserta paling ramai dari Malaysia yang menawan ABC dan mengibarkan Jalur Gemilang gergasi sumbangan ANIH Berhad.

Perjalanan turun lebih menakutkan kerana kami terpaksa berjalan dalam keadaan hujan salji, trek yang tertimbus dan licin selepas litupan salji menjadi ais sepanjang perjalanan dari ABC ke MBC dan Deurali.

Selepas makan tengah hari di Himalaya, kami meneruskan perjalanan ke Dovan dan Bamboo untuk bermalam di Sinuwa.

Keesokan harinya, kami menempuh Chomrong, Jhinudanda dan New Bridge untuk ke Siwai sebelum menaiki bas ke Pohkara.

Ternyata, perjalanan turun dari ABC lebih sukar kerana kami perlu sampai ke Sinuwa dalam tempoh dua hari berbanding empat hari semasa mendaki.