Ismail Izzani menghadam populariti

ANAK BEKAS PENYANYI - Bergelar anak kepada penyanyi lama, Suliza Salam bukan satu sandaran buat Ismail Izzani memasuki dunia glamor.


“Panggil saya Mail.” ujar anak muda yang murah senyuman itu sambi membetulkan duduknya. Ditanya alasan agar dibahasakan dengan panggilan yang langsung ketara berbeza dengan gaya budak bandar, katanya panggilan tersebut kedengaran santai dan lebih mesra telinga.

“Di rumah, keluarga memang memanggil saya Zani, tetapi dengan peminat rasa lain macam pula mahu bahasakan diri sebagai Zani. Jadi panggil Mail sahaja, rasanya lebih senang disebut oleh orang ramai. Lagi pun, darah Melayu sudah terbiasa dengan nama Mail, rasa lebih dekat,” begitulah penyanyi bernama Ismail Izzani Zainal itu beramah-tamah sewaktu kali pertama bertemunya.

Tanpa perlu diperkenalkan secara terperinci, rata-rata peminat khususnya remaja dan orang muda yang gemar melayari YouTube sudah kenal siapa Ismail Izzani.

Dalam masa empat bulan, sejak video muzik single pertamanya berjudul Sabar hasil ciptaan sendiri bersama Omar K, Adib Hamdi dan Zyn dimuat naik ke YouTube pada Februari lalu, namanya semakin kuat menerjah ke pengetahuan ramai pendengar.

Sehingga kini muzik video lagu berkenaan sudah ditonton lebih lapan juta kali. Satu jumlah yang sangat membanggakan. Tanyakan juga kepada mana-mana orang industri, bagi yang tidak mengenali Ismail Izzani maknanya individu berkenan tidak celik pasaran muzik zaman sekarang.

“Sebenarnya tidak sangka lagu Sabar ini boleh ubah hidup saya. Syukur sangat. Selain memasukkan lagu dalam YouTube, mulanya saya cuba menyanyi dalam majlis-majlis tertutup dan kenduri kahwin untuk biasakan diri dengan penonton,” katanya saat ditanya tentang perkembangan karier kini.

Tidak hanya di Malaysia, lagu Sabar juga popular dalam kalangan peminat di Indonesia sehingga dimainkan di pusat hiburan di sana.

“Semasa mula-mula mahu lancarkan lagu berkenaan, saya ada berbincang dengan abang Omar K serta beberapa senior dalam industri. Saya baharu, orang tidak pernah kenal nama saya, jadi memang takut tetapi kami tawakal sahaja.

“Tidak berapa lama selepas dilancarkan, kami mula dapat respons yang cukup baik termasuk dari Indonesia sehingga ada yang menganggap lagu Sabar merupakan lagu dari Seberang. Mula-mula, orang ingat saya penyanyi Indonesia,” ceritanya dengan nada ceria.

Pada waktu sama, Ismail bersama syarikat naungannya World Peace Entertainment turut merancang untuk turun ke Indonesia bagi memperhebatkan sayap Sabar ke negara berkenaan.

Serius

Bercerita tentang corak muzik dan trend persaingan artis YouTube yang sekali gus menyertakan nama Ismail seiring dengan penyanyi-penyanyi baharu seperti Aiman Tino, Sufian Suhaimi dan Khai Baha ketika ini, Ismail percaya nuansa muzik yang dibawa meletakkan dirinya pada ruang tersendiri di tengah-tengah kemaraan karier nama-nama tersebut.

“Saya percaya setiap penyanyi ada peminat dan muzik yang berbeza. Saya selesa dengan pop dan R&B. Macam Khai Bahar dan semua lain, saya anggap mereka sebagai penyanyi yang lebih senior. Masing-masing ada kelebihan dan identiti tersendiri.

“Saya juga sudah hadam apabila ada yang mendakwa saya tiru Justin Bieber, mungkin ada persamaan tetapi yang penting, dia pun lahir dari YouTube,” jelas Ismail.

Umum tahu, Ismail merupakan anak kepada penyanyi popular era 1980-an, Datin Suliza Salam. Berdasarkan latar belakang keluarga, ada yang dengan mudah mengatakan Ismail memperoleh jalan mudah memasuki dunia popular disebabkan pengaruh ibunya.

“Bagi yang kenal, mereka tahu saya anak Suliza Salam tetapi mama pun sudah lama berhenti menyanyi. Muzik saya secara total lahir dari YouTube, tetapi mama merupakan orang pertama yang menyarankan saya agar merakam lagu sendiri jika benar-benar mahu jadi penyanyi,” katanya.

Nasyid sekolah

Minat menyanyi sejak dari darjah lima, Ismail mengasah bakat dengan menyertai kumpulan nasyid dan menyertai pertandingan peringkat sekolah. Apabila memasuki sekolah menengah, kecenderungan Ismail beralih ke arah nyanyian solo tanpa pengetahuan ibunya.

“Saya mula ada Instagram semasa tingkatan tiga dan mula bina hashtag sendiri. Apabila mama dapat tahu saya minat menyanyi, dia beri nasihat dan cadangkan kenapa tidak buat lagu sendiri. Lagu pertama yang saya cipta berjudul Mamaku, saya hadiahkan untuk mama sempena Hari Ibu, tetapi lagu itu tidak pula dilancarkan atau dirakamkan secara betul-betul. Lagu itu akan dimuat naik sebagai projek istimewa untuk peminat menerusi YouTube saya tidak lama lagi,” cerita Ismail panjang lebar.

Gembira namun pada masa sama sedar cabaran tidak terduga sedang menunggu untuk menguji kekuatan mentalnya, Ismail dengan pantas mengakui, misinya sekarang mahu meluaskan pengaruh muzik selain tidak mahu boros menggunakan pendapatan yang diraih sebagai penyanyi.

“Zaman sekarang, setiap orang kena bijak menguruskan kewangan. Saya pun mula fikir untuk simpan duit. Mana tahu, suatu hari nanti saya boleh mulakan perniagaan hasil duit nyanyian,” kata Ismail yang sedang cuba mengimbangi aktiviti nyanyian agar pelajarannya tidak terganggu.

Ismail berkata, dia perlu bijak membahagikan masa agar tidak ketinggalan dalam bidang akademik apatah lagi bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November depan.

“Mujur saya belajar secara home school (bersekolah di rumah), jadi jadual nyanyian dan kelas boleh diatur agar tidak bertembung. Keputusan untuk bersekolah di rumah dibuat semasa pertengahan tingkatan empat lagi memandangkan ketika saya mudah mula mahu serius dalam bidang muzik,” katanya yang sebelum ini menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Setia Budi, Gombak, Selangor.

Mendepani arus populariti ketika usia masih mentah, Ismail berasa bertuah kerana pergaulannya tidak hanya bersama rakan-rakan sebaya. Jadi, pemikirannya sedikit ke hadapan berbanding remaja seusia.

Biarpun tidak bersekolah biasa seperti remaja berusia 17 tahun yang lain, itu tidak bermakna dia tiada kawan. Kehidupan juga sebuah pilihan. Menyedari hal tersebut, Ismail cukup sedar bahawa memasuki dunia hiburan bermakna dia harus bersedia dengan perubahan.

“Dahulu, saya banyak masa jika mahu keluar lepak dengan kawan-kawan. Sekarang, masa yang ada sangat singkat. Kalau lepak di kedai mamak kena pukul 10 malam ke atas. Satu hal yang lain juga, apabila tengah lepak ada peminat datang tegur ajak bergambar.

Populariti

“Pernah juga sewaktu saya keluar tengok wayang, saya perasan ada mata yang memandang. Saya buat biasa sahaja sebab berhajat mahu ke tandas. Sewaktu di dalam tandas, tiba-tiba terdengar pintu diketuk.

“Saya keluar dan ada beberapa orang peminat, lelaki dan perempuan mahu bergambar. Saya okey sahaja, kemudian sikap salah seorang daripada peminat tadi (lelaki) agak mengejutkan apabila cuba pegang bahagian bawah pinggang saya. Saya rasa lain macam dan segera minta agar tangannya dialihkan ke bahu jika mahu bergambar. Itulah antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan,” katanya sambil tersenyum mengingat peristiwa berkenaan.

Ditemui semasa menjayakan persembahan sempena pelancaran portal beli-belah online, Roopawan di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur baru-baru ini, Ismail turut berkongsi perkembangan terkininya.

Selain single kedua yang dikeluarkan selepas Aidilfitri nanti, Ismail juga akan melancarkan sebuah lagu raya, duet bersama Siti Nordiana dan dua penyanyi Indonesia, Rizky Febian serta Fatin Shidqia bertajuk Raya Nusantara.