Sabun antibakteria sama seperti sabun biasa


KANDUNGAN triclosan dalam sabun antibakteria tidak berupaya membunuh lebih banyak kuman berbanding sabun biasa. GAMBAR HIASAN


BAGI menghilangkan kuman pada badan, kebanyakan orang memilih untuk menggunakan sabun antibakteria kerana ia dianggap lebih berkesan.

Bagaimanapun, satu kajian terbaharu yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik daripada Universiti Korea, Seoul, Korea Selatan mendapati, sabun antibakteria sebenarnya sama sahaja dengan sabun biasa.

Ketua penyelidik, Dr. Min-Suk Rhee berkata, kandungan utama yang ada pada sabun ialah sejenis bahan kimia iaitu triclosan.

"Kandungan triclosan pada sabun antibakteria hanyalah 0.03 peratus lebih tinggi berbanding sabun biasa.

"Jumlah itu masih rendah dan ia tidak menghilangkan kuman lebih banyak berbanding sabun lain," katanya.

Kajian tersebut diterbitkan dalam Journal of Antimicrobial Chemotherapy.