Afiq Muiz jadi hero Hindustan


PERNAH mengelak untuk berlakon filem kerana tiada keyakinan, peluang berlakon dalam filem India, Iím Not Terrorist membuatkan Afiq Muiz mengubah pendiriannya dengan semangat baharu untuk terus mencuba nasib dalam bidang perfileman.


TEMPOH enam tahun bergelumang dalam kancah industri seni, perjalanan karier pelakon Afiq Muiz ada pasang surutnya. Memasuki fasa kematangan dalam hidup, Afiq meletakkan tahun 2017 sebagai waktu untuknya mengukuhkan nama.

Afiq atau nama penuhnya Muhammad Afiq Muiz Azman Shah, 25, bakal muncul dalam filem terbitan India berjudul Iím Not Terrorist. Ia sekali gus menjadi naskhah layar perak pertama yang dibintangi oleh Afiq sepanjang bergelar pelakon.

Lebih menarik, naskhah arahan Arjin Uppal itu merupakan sebuah karya Bollywood yang menggunakan kepakaran tenaga produksi dari Malaysia.

Ikuti penjelasan lanjut mengenai penglibatan Afiq dalam filem tersebut selain berkongsi tentang perkembangan terkini kariernya.

KOSMO!: Boleh kongsikan dengan lebih lanjut mengenai penglibatan anda dalam filem Iím Not Terrorist?

AFIQ MUIZ: Alhamdulillah, ini merupakan filem pertama lakonan saya. Ia telah menjalani penggambaran selama 44 hari di Kashmir, India pada Mei tahun lalu. Sebanyak 95 peratus penggambaran memang dilakukan di sana, manakala lima peratus lagi di Kuala Lumpur. Dalam filem itu, saya turut bergandingan dengan Chacha Maembong selain dibintangi barisan pelakon dari India seperti Farida Jalal dan Rahul Dev. Insya-Allah, ia akan ditayangkan pada tahun ini.

Apa pengalaman menarik atau cabaran yang anda lalui sepanjang berlakon dalam filem tersebut?

Perkara pertama sudah tentu penguasaan bahasa kerana secara keseluruhannya ia menggunakan bahasa Hindi dan Inggeris. Sebelum berangkat ke India, saya ada mengambil kursus penguasaan bahasa Hindi selama sebulan di negara ini. Mula-mula memang rasa susah.

Saya sukar menerima arahan daripada tenaga produksi, namun lama-kelamaan saya semakin selesa bekerja kerana mereka banyak membantu dan tidak pernah menganggap saya sebagai orang luar.

Cuma cabaran paling besar adalah cuaca yang sangat sejuk sewaktu penggambaran. Saya juga perlu mempelajari seni mempertahankan diri dengan bantuan daripada koreografer di sana.

Tahun ini, anda dilihat kembali aktif dengan banyak drama di kaca televisyen. Bagaimana anda melihat perkembangan karier sendiri pada waktu ini?

Alhamdulillah, perjalanan karier berjalan dengan lancar. Lebih-lebih lagi selepas muncul dalam drama Menanti Februari, respons yang diterima daripada peminat sangat positif.

Selain berlakon, sebenarnya saya juga ada membuat bisnes rak kasut kayu secara online di Instagram. Bisnes ini dilakukan bersama teman-teman sebagai rakan kongsi.

Sebab memilih perniagaan ini adalah kerana ia lain daripada yang lain. Tidak ramai orang membuat bisnes sebegitu, jadi kami cuba melakukannya. Setakat ini ia mendapat sambutan menggalakkan.

Turut terlibat dalam dunia perniagaan pada saat anda kembali aktif dengan dunia lakonan, bagaimana ada menyeimbangkan antara kedua-duanya?

Berlakon dan berniaga memang dua perkara berbeza. Saya melakukan perniagaan sebagai persediaan untuk berdepan dengan risiko pada masa hadapan. Lagipun, sebelum terjun ke bidang lakonan lagi saya sudah berniaga.

Jadi, pengalaman itu mematangkan saya dalam menguruskan perniagaan. Bagi saya, kedua-dua bidang ini memberi keselesaan sebab itu saya suka melakukannya. Walaupun dunia perniagaan sangat mencabar dan susah, tetapi saya sudah biasa dengannya.

Boleh berkongsi sedikit perkembangan terkini anda sepanjang bulan Ramadan ini?

Sekarang saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri sebanyak 40 episod bertajuk Sedingin Cinta Antasia di samping pelakon Tasha Shilla dan Syazwan Zulkifli untuk siaran HyppTV.

Penggambaran dijadualkan selesai menjelang Julai depan. Selepas itu, saya akan sambung pula dengan penggambaran drama untuk siaran RTM bertajuk Cinta Maya. Selain sibuk dengan kerjaya lakonan, saya juga ada melakukan perniagaan menjual sambal Jawa di bazar Ramadan.