Sentuh, beri makan dan bermesra dengan haiwan



SAAT melangkah masuk ke pintu utama Farm In The City (FITC) di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor, perasaan Ahmad Adam Shah Ahmad Effendi, 4, begitu teruja.

Dia seolah-olah tidak sabar untuk bermain dengan pelbagai spesies haiwan yang terdapat di situ terutamanya yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

“Memang seronok dapat masuk di sini sebab macam-macam haiwan ada dan semuanya jinak.

“Mula-mula masuk, memang takut bila tengok kura-kura yang besar macam gergasi tetapi lama kelamaan, saya mula seronok bila dapat pegang dan naik di atasnya.

“Paling saya suka ialah alpaca kerana ia sangat comel,” kata Ahmad Adam Shah yang ditemani ibu bapanya.

Ibunya, Siti Noryuhanis Mohd. Haidir, 28, berkata, ia merupakan kunjungan pertama mereka ke zoo haiwan peliharaan seperti FITC dan ia sangat berlainan dengan zoo biasa yang pernah dilawati sebelum ini.

Katanya, antara perkara yang menarik di FITC ialah pengunjung dibenarkan untuk menyentuh, memberi makan dan bermain bersama haiwan yang terdapat di situ.

“Perkara seperti ini sangat baik bagi kanak-kanak terutamanya yang tinggal dan membesar di bandar kerana ini merupakan peluang mereka untuk bermain serta mendekati haiwan-haiwan peliharaan yang jarang dilihat termasuklah yang biasa terdapat di kampung-kampung,” katanya yang tinggal di Seremban, Negeri Sembilan.

Kegembiraan itu turut dikongsi seorang lagi pengunjung yang datang dari Johor Bahru, Johor, M. Kumar, 35.

Dia memberitahu, konsep interaktif yang dilaksanakan di FITC itu telah menarik minatnya untuk berkunjung ke situ.


FITC turut menempatkan beberapa spesies kura-kura seperti Aldabra iaitu yang kedua terbesar di dunia.


Taman tema

Katanya, selain kanak-kanak, pengunjung dewasa sepertinya juga sangat teruja kerana berpeluang bermain dengan pelbagai jenis haiwan.

“Saya sudah banyak kali berkunjung ke beberapa buah zoo di negara ini dan kebanyakannya hanya mempamerkan haiwan untuk ditonton dari jauh.

“Namun di sini, saya boleh menyentuh haiwan yang ada dan merasai sendiri bentuk fizikal badan haiwan itu,” katanya yang turut mengakui alpaca merupakan antara haiwan yang disukainya di FITC.

Mengulas mengenai FITC, Pengurus Pembangunan Perniagaannya, Y. Rajagopal berkata, zoo haiwan peliharaan yang dibuka kepada orang ramai sejak 2 Jun 2012 itu berkonsepkan taman tema yang menggabungkan ciri-ciri kehidupan haiwan di habitat dengan keindahan alam semula jadi yang diwujudkan di situ.

Malah katanya, berbanding dengan zoo lain, hampir kesemua haiwan yang dipelihara di FITC dibiarkan berkeliaran dengan bebas tanpa ada sebarang sangkar atau kandang yang memisahkannya dengan pengunjung.

“Di FITC, kami mengamalkan konsep habitat mesra pengunjung. Pelawat boleh berinteraksi dengan hampir kesemua haiwan yang terdapat di sini walaupun di dalam sangkar kecuali haiwan yang hidup di dalam air dan sensitif terhadap sentuhan manusia.

“Mereka boleh menyentuh, memberi makan, memeluk dan bermain dengan haiwan. Kami mahu memberikan satu pengalaman yang berbeza kepada pengunjung kerana melalui cara ini, mereka akan lebih menyayangi haiwan,” katanya.

Menurut Rajagopal lagi, pada peringkat awal, zoo itu hanya mempunyai kira-kira 80 spesies haiwan peliharaan.

Namun selepas lima tahun beroperasi, terdapat lebih 120 spesies dipelihara yang terdiri daripada haiwan peliharaan biasa, spesies yang jarang ditemui dan haiwan eksotik dengan kira-kira 70 peratus daripadanya dibawa masuk dari luar negara.

Kesemua haiwan itu pula ditempatkan di 19 stesen mengikut habitat yang berbeza bagi memudahkan pengunjung untuk bermain dan berinteraksi.

“Di FITC, pengunjung dapat melihat pelbagai jenis haiwan daripada spesies yang terkecil dan terbesar di dunia, sehinggalah kepada kura-kura dinosaur serta bersaiz gergasi selain alpaca yang merupakan haiwan seperti unta yang sangat comel.

“Malah, banyak lagi haiwan peliharaan di FITC merupakan spesies yang sangat jarang dilihat kerana ia bukan berasal dari negara ini,” katanya.

Rajagopal memberitahu, FITC turut menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records sebagai zoo haiwan peliharaan yang memiliki spesies paling banyak di negara ini.

Ketika ditanya mengenai alpaca, beliau memberitahu, haiwan itu merupakan antara tarikan baharu yang terdapat di FITC dan ia dibawa ke zoo berkenaan dua tahun lalu dari negara asalnya, Amerika Selatan.

Malah katanya, kebanyakan pengunjung tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar dengan haiwan itu termasuk ada yang memeluk disebabkan karektornya yang comel selain memiliki bulu yang lembut dan gebu.

“Terdapat empat ekor alpaca di sini dengan dua daripadanya jantan. Dua lagi betina yang berusia antara setahun setengah hingga tiga tahun.

“Di Malaysia, hanya dua buah zoo yang mempunyai alpaca iaitu FITC dan satu lagi ialah A’Famosa Animal World Safari di Melaka,” katanya.

Tambahnya, selain alpaca, terdapat beberapa spesies haiwan lain yang turut dibawa masuk ke FITC dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini seperti burung hantu punggur (Brown wood owl dan Barred Eagle owl) selain slow lorris yang merupakan keluarga beruk, rakun dan 24 jenis ayam yang diambil dari serata dunia.


SEKUMPULAN pengunjung tidak melepaskan peluang untuk memberi makan beberapa ekor rakun.


Pertunjukan

Tentang aktiviti yang disediakan kepada pengunjung pula, Rajagopal memberitahu, FITC mengamalkan konsep lawatan sambil belajar.

Setiap pengunjung akan diberi penerangan mengenai spesies haiwan yang ada di setiap stesen oleh jurupandu yang bertugas.

Selain itu, mereka turut berpeluang untuk melihat pertunjukan haiwan.

Dalam pada itu, penyelia FITC, K. Ramani memberitahu, bagi memastikan kesemua haiwan tidak berasa takut dengan kehadiran pengunjung, ia akan dilatih terlebih dahulu oleh kira-kira 20 petugas dan penjaga haiwan.

“Setiap hari, petugas perlu bermain dengan haiwan yang dijaganya sama ada memberi makan atau berinteraksi bagi menghilangkan rasa takut terhadap manusia.

“Kebiasaannya, kami akan mengambil masa antara tiga hingga enam bulan untuk menjinakkan haiwan dan tempoh itu bergantung kepada spesies,” katanya.

Ramani memberitahu, kura-kura dan ular merupakan antara haiwan yang mengambil masa agak lama untuk dijinakkan.

Dia yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun sebagai penjinak binatang di zoo menjelaskan, perkara penting yang perlu dilakukan dalam proses itu ialah hubungan mata antara penjaga dengan haiwan yang ingin dijinakkan.