Kenal pasti waktu, lokasi sesuai untuk meninjau burung




DARIPADA kawasan paya bakau yang berlumpur hinggalah kepada jajaran tanah tinggi, landskap hutan tropika yang terdapat di negara ini menjadi lokasi habitat ratusan spesies burung.

Malah, Malaysia yang terletak di kawasan jajaran Australasia turut menjadikan ia antara lokasi persinggahan lebih daripada 250 spesies burung hijrah.

Dengan jumlah melebihi 795 spesies burung, tidak hairanlah jika negara ini menjadi syurga kepada pemerhati burung yang sentiasa mencari spesies baharu untuk dirakam menerusi lensa kamera mereka.

Berdasarkan statistik, terdapat kira-kira 55 kawasan pemerhatian burung yang kerap menjadi tumpuan di seluruh negara.

Bagaimanapun, dalam melakukan aktiviti meninjau spesies burung itu, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian agak ia dapat memberi kepuasan walaupun terpaksa meluangkan masa berjam-jam di satu-satu lokasi.

Justeru, Kosmo! ingin berkongsi beberapa perkara penting yang boleh dilakukan sekiranya anda bercadang untuk meninjau burung pada waktu lapang.

Dapatkan maklumat berkaitan spesies burung

Sebelum melakukan aktiviti meninjau burung, pastikan anda mendapat maklumat asas berkaitan spesies burung yang mungkin terdapat di lokasi yang ingin dituju selain latar belakang mengenai spesies itu.

Periksa waktu yang sesuai

Ada sesetengah burung sangat aktif pada waktu pagi dan ada pula yang hanya akan keluar mencari makan pada lewat petang. Oleh itu, periksa waktu yang paling sesuai untuk meninjau spesies burung yang ingin anda cari sama ada menerusi buku panduan mahupun jurupandu yang terdapat di lokasi berkenaan.




Kenal pasti lokasi burung hinggap

Setiap spesies burung mungkin mempunyai corak mencari makan yang berbeza antara satu sama lain. Jadi, periksa lokasi burung itu kerap mencari makan berdasarkan tempat anda melakukan aktiviti tersebut.

Guna lensa jarak jauh

Untuk mendapatkan rakaman yang lebih jelas, anda disaran menggunakan lensa kamera jarak jauh agar aktiviti merakam gambar tidak akan mengganggu atau menakut-nakutkan burung itu. Elakkan juga penggunaan lampu denyar (flash) kerana ia mungkin akan mengejutkan haiwan itu, sekali gus menyebabkan anda terlepas peluang merakam gambar terbaik.

Membawa binokular

Alatan seperti binokular terutamanya yang berkuasa tinggi sangat penting bagi membolehkan anda mengesan kehadiran spesies-spesies tertentu walaupun ia berada jauh di atas pokok atau sedang terbang.