Harapan wajah baharu penghias televisyen



BERNAUNG di bawah satu bumbung pengurusan yang sama, The 8 Unit, tiga pelakon sedang meningkat naik iaitu Syazuwan Hassan, Jaja Iliyes dan Amirul Faqeem teruja apabila berpeluang berkongsi lensa kamera yang sama.

Biarpun berada di bawah satu pengurusan, namun ketiga-tiga mereka masih tidak berpeluang bekerjasama dalam sebuah naskhah kecuali Syazuwan dan Jaja apabila mereka bakal bergandingan menerusi drama rantaian Mr. Hot Guy.

Hadir pada majlis Monkey Bone & The 8 Unit Rai Ramadan bersama gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, mereka rancak berkongsi cerita Ramadan dan saling mengusik antara satu sama lain.

Bertukar cerita mengenai pengalaman berkelana dalam lapangan seni tempatan, bekas peserta Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL2016), Syazuwan memberitahu, tempoh setahun bergelar artis memberinya persepsi berbeza mengenai dunia selebriti.

Jika sebelum ini dia bergelar sebagai pengurus artis, namun sekarang posisi itu telah bertukar. Pelakon berusia 27 tahun tersebut kini selesa meneroka dunia hiburan di hadapan kamera berbanding menjadi orang belakang tabir.


PERSAINGAN. Lambakan pelakon baharu menjadikan Syazuwan perlu saling bersaing bagi merebut tempat dalam industri hiburan.


Pengalaman

“Setelah bergelar artis, saya kini baru mengetahui dan memahami akan kepayahan untuk menjadi seorang pelakon. Berbeza dahulu kerana saya lebih kepada menguruskan jadual kerja artis, ” kata jejaka kelahiran Hulu Langat, Selangor itu.

Dalam pada itu, kemunculannya menerusi drama rantaian Mr. Donat Karamel sebagai Redwan dan naskhah Cik Serba Tahu dengan membawakan watak lelaki psiko bernama Ridzuan telah melonjakkan namanya.

Tidak lekang dengan senyuman di bibir, Syazuwan turut berkongsi pengalaman sewaktu pertama kali berada ‘di bawah telunjuk’ pengarah dan penerbit tersohor, Sheila Rusly.

Meskipun Sheila dilabelkan sebagai seorang penerbit yang garang, namun Syazuwan pantas menepis pandangan tersebut.

Bagi pelakon baharu itu, tanggungjawab yang dipikul oleh Sheila sepadan dengan ketegasannya ketika berada di lokasi penggambaran.

“Saya banyak menimba pengalaman dan mempelajari ilmu sebagai pelakon ketika bekerjasama dengannya sewaktu menjayakan penggambaran naskhah Mr. Donat Karamel.

“Setiap teguran yang diberi secara tidak langsung menjadi pembakar semangat buat saya untuk lakukan yang terbaik dan sentiasa memperbaiki mutu lakonan,” tutur Syazuwan tersenyum.

Anak ketiga daripada empat beradik itu turut berkongsi agendanya sepanjang Ramadan. Meskipun jadual kerjanya agak padat, dia tetap berusaha membantu keluarga dalam melakukan persiapan bagi menyambut lebaran.

“Biarpun sambutan Hari Raya Aidilfitri dilakukan secara sederhana tetapi saya tetap akan membantu dan meluangkan masa bersama keluarga seperti kebiasaan.

“Hanya yang sedikit berbeza pada tahun ini adalah saya pertama kali beraya sebagai artis dan mungkin ada peminat ingin beraya ke rumah,” seloroh Syazuwan yang bakal meraikan Aidilfitri di Kajang, Selangor.

Berbeza dengan Syazuwan yang beraya di ibu kota, situasi tersebut tidak berlaku kepada Siti Hajar Iliyes atau lebih dikenali sebagai Jaja. Pelakon kelahiran Segamat, Johor itu mengakui teruja untuk menyambut lebaran di kampung.


PENDIDIKAN. Jaja mempunyai perancangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, namun masih menilai semula keputusan tersebut kerana kepadatan jadual kerja.


Rezeki

Tidak hanya merindui suasana klasik dan penuh nostalgia, Jaja juga tidak sabar menanti kehadiran Syawal kerana memberinya peluang untuk beraya bersama ahli keluarga baharu.

“Memandangkan orang tua saya menetap di Johor jadi saya akan pulang beraya bersama mereka. Sambutan Aidilfitri pada kali ini sedikit berbeza kerana bilangan ahli keluarga bertambah.

“Jika dahulu anak saudara saya hanya seorang tetapi kini telah menjadi dua dan ini menjadikan saya tidak sabar untuk pulang ke kampung berhari raya,” jelas pelakon berusia 22 tahun itu.

Biarpun dia berasa tidak sabar untuk menyambut lebaran, Jaja juga perlu akur dengan kepadatan jadual kerja. Kesibukan di lokasi penggambaran secara tidak langsung telah membataskan peluangnya untuk pulang ke pangkuan keluarga lebih awal.

Selepas namanya rancak menjadi sebutan selepas membintangi drama rantaian popular, Tujuh Hari Mencintaiku dengan membawakan watak Nadia, Jaja kini mula dihujani dengan tawaran lakonan.

Selain itu, keberkesanan lakonannya dengan karakter antagonis bernama Doktor Aleesya dalam drama rantaian Meh Sandar Pada Aku di samping Mira Filzah dan Alif Aziz turut mendapat sambutan positif peminat.

Menjadi tahun kedua baginya bergelar artis, Jaja bersyukur kerana penglibatannya dalam industri hiburan tempatan berjaya membuahkan hasil.

Kali pertama muncul menerusi telefilem Seutas Gelang Emas pada tahun lalu, graduan Diploma Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mengharapkan kerjayanya sebagai pelakon semakin mendapat perhatian.

“Setiap tawaran yang diberikan cuba dipenuhi kerana masih baharu dalam industri. Pada saya ini adalah peluang terbaik untuk mencipta nama dan mengetengahkan bakat,” terang Jaja bersungguh-sungguh.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu turut memberitahu rutin harian Ramadannya diisi dengan kesibukan kerja di lokasi penggambaran drama rantaian Mr. Hot Guy dan Papa Nak Menantu.


IMPIAN. Amirul menanam impian untuk bekerja di bawah arahan Ghaz Abu Bakar kerana berasa kagum dengan karya yang dihasilkan oleh pengarah berusia 42 tahun itu.


Belajar

Selain Syazuwan yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pengurus artis, jawatan sama turut digalas oleh Amirul Faqeem.

Jejaka berusia 26 tahun terbabit tidak menyangka perancangan untuk menemani rakan baiknya, Syazuwan menghadiri uji bakat DFKL2016 telah membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

Syukur dengan rezeki yang diterima, Amirul tidak menyangka watak sebagai Fariz dalam Love You Mr. Arang telah membuka peluang buatnya mencipta nama sebagai pelakon.

“Tidak mengatakan diri ini popular tetapi, umum mula menyedari kehadiran saya menerusi drama tersebut dan berterima kasih kepada peminat yang menyokong naskhah tersebut,” ujar Amirul tersenyum.

Menjadikan lokasi penggambaran sebagai tempat dia menimba ilmu, Amirul mengakui dirinya tidak mempunyai asas dalam bidang lakonan sebelum membuat kemunculan pertama dalam telefilem Baju Berkancing Peniti pada tahun lalu.

“Lokasi penggambaran adalah tempat buat saya belajar dan menimba pengalaman sebagai pelakon memandangkan tidak pernah menerima sebarang pendedahan awal tentang dunia lakonan.

“Dimarahi, kena tengking mahupun diherdik itu lumrah buat saya kerana sebagai orang baharu perkara itu perlu diharungi sekiranya ingin berjaya kelak.

“Biarpun kadang-kala ia agak menyedihkan tetapi perkara itu tidak mematahkan semangat untuk saya lebih mendalami ilmu lakonan dan memajukan diri,” terang jejaka kelahiran Klang, Selangor itu panjang lebar.

Sibuk menjalani penggambaran drama rantaian, Vila Gazara sepanjang Ramadan, Amirul memberitahu persiapan lebaran buatnya sekeluarga hanya dilakukan secara sederhana.

“Setiap kali hari raya perkara utama ialah saling bermaafan dan tidak perlu menjadi terlalu materialistik sehingga menyebabkan boros berbelanja. Lebih baik diraikan secara sederhana kerana nilai kekeluargaan itu penting,” tutur anak sulung daripada tiga beradik itu.