Pupuk minat pelajar sayangi haiwan



TEPAT pukul 10 pagi, Ainnur Mahfuzah Nazrul Shafry, 11, bersama rakan-rakannya sudah berkumpul di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Seafield 3, Subang Jaya, Selangor bagi menyertai program pendidikan Jom Sayangi Haiwan Kita.

Lebih 300 orang peserta terdiri daripada murid-murid darjah empat dan lima terlibat dalam program anjuran Whiskas Malaysia itu baru-baru ini.

Penganjuran program yang memasuki edisi keempat itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga haiwan peliharaan terutamanya kucing dalam kalangan pelajar sekolah berumur antara 10 hingga 12 tahun.

Ainnur Mahfuzah memberitahu, haiwan peliharaan menjadi peneman tatkala berada di rumah.

Haiwan kesayangannya ialah kucing kerana ia sangat setia, suka bermain dan comel.

“Mungkin ada sesetengah orang berasa rimas untuk memelihara haiwan ini kerana ia memerlukan penjagaan yang rapi dan khusus.

“Namun, saya tidak mempunyai masalah untuk menjaganya selagi haiwan itu masih hidup.

“Tambahan pula, hari ini pihak Whiskas Malaysia mengadakan program pendidikan Jom Sayangi Haiwan Kita untuk kami semua bagi mengenali fizikal dan karakter kucing secara lebih mendalam,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya lagi, setelah mendengar penjelasan daripada program yang diikutinya, dia berasakan haiwan peliharaan merupakan suatu tanggungjawab dan amanah kepada setiap individu yang menjaganya. Mereka juga perlu dimandi dan dibersih selalu.


Sesi interaktif yang dikendalikan jurulatih daripada Mars Petcare memberi peluang kepada pelajar mengenali kucing secara lebih dekat.


Berbuat baik

“Sebagaimana kita dituntut berbuat baik kepada sesama insan, begitu juga kepada makhluk lain seperti haiwan dan tumbuhan.

“Meskipun kita berhak memeliharanya tetapi ia bukan bererti haiwan-haiwan itu boleh disakiti sesuka hati,” katanya.

Salah seorang rakannya, M. Roshan, 11, pula mengakui, dia tidak pernah mempunyai haiwan peliharaan tetapi selepas mengikuti program itu, dia begitu teruja untuk memeliharanya di rumah.

“Ini adalah peluang terbaik bagi semua orang untuk memahami dan menghargai haiwan peliharaan. Semua haiwan ini patut dibelai dan diberikan tempat tinggal yang selesa, saya harap semua orang dapat menjaga dan memelihara haiwan mereka dengan baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Mars Petcare Malaysia, Singapura dan Filipina, Ong Chiek Ming berkata, para pelajar perlu dipupuk dengan nilai-nilai bertanggungjawab dan menyayangi haiwan peliharaan sejak kecil.

Ia bagi mengelakkan berlakunya kes pengabaian haiwan peliharaan.

Sesi interaktif

Katanya, adalah penting untuk menyemai sikap tanggungjawab dan pemikiran yang betul kepada pelajar dalam menjaga haiwan ketika mereka masih kecil.

“Sangat mengecewakan setiap kali melihat haiwan ditinggalkan begitu sahaja kerana pelajar atau pemilik haiwan kesayangan tidak faham mengenai kaedah dan komitmen menjaga haiwan peliharaan.

“Namun, apa yang penting ialah memastikan pendidikan itu bermula di peringkat awal lagi,” katanya.

Jelas Chiek Ming, program yang diadakan dengan kerjasama SK Seafield 3 itu bertujuan untuk memupuk pemahaman mengenai pentingnya sikap tanggungjawab terhadap haiwan.

“Program ini telah bermula di 15 buah sekolah di sekitar Lembah Klang dan turut diperluaskan ke Pulau Pinang, Perak serta Johor.

“Program ini turut melibatkan lebih 66,000 orang pelajar pada akhir bulan Mei lalu,” jelasnya.

Dikendalikan oleh jurulatih, Chiek Ming berkata, sesi interaktif selama satu jam itu memberi peluang kepada pelajar untuk mengetahui lebih lanjut tentang ciri-ciri kucing serta fakta menarik tentangnya.


PELAJAR SK Seafield 3 turut diberikan risalah mengenai penjagaan dan tanggungjawab terhadap haiwan peliharaan.


“Ia juga menyediakan maklumat tentang pemberian makanan yang sesuai kepada kucing dan bagaimana untuk memastikan kucing peliharaan mereka sentiasa berada dalam keadaan sihat.

“Antara fakta menarik yang dikongsi bersama pelajar ialah misai kucing boleh mengesan haba serta halangan dalam gelap,” ujarnya.

Tambah Chiek Ming, haiwan peliharaan bukan sahaja mampu mengukuhkan ikatan kekeluargaan, malah ia turut menggalakkan si kecil untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan mempunyai sifat belas kasihan terhadap orang lain apabila mereka dewasa kelak.

“Dengan mendidik pelajar tentang kepentingan sifat tanggungjawab terhadap pemilikan haiwan peliharaan, ia akan mewujudkan dunia yang lebih penyayang kepada haiwan-haiwan,” kongsinya.

Sementara itu, Guru Besar SK Seafield 3, Nik Suhaida Razak, berkata, penerapan nilai dan ikatan antara pelajar serta haiwan juga berfungsi sebagai terapi mengatasi tekanan selepas mengharungi kesibukan di sekolah terutamanya menjelang peperiksaan.

“Bukan itu sahaja, ia juga terbukti dapat merapatkan hubungan kekeluargaan, saya telah menyaksikan perubahan besar dalam diri ahli keluarga saya,” tutur Nik Suhaida yang turut memelihara seekor kucing Parsi.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, kehadiran haiwan tersebut membawa kegembiraan kepada ahli keluarga selepas suaminya meninggal dunia beberapa tahun lalu.