Buku panduan berpuasa bagi penghidap diabetes

Dari kiri, Emilyn, Mary dan Pengurus Pemasaran Perubatan Nestle Health Science, Andy Yap bergambar pada majlis pelancaran buku Panduan Berpuasa Dengan Aman Untuk Diabetik di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan penghidap diabetes, Nestle Health Science dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) melancarkan buku panduan berpuasa sempena bulan Ramadan edisi terhad di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Buku yang berjudul Panduan Berpuasa Dengan Aman Untuk Diabetik itu memaparkan tip pemakanan sihat dan tiga resipi yang dipilih khas oleh Jabatan Dietetik serta Perkhidmatan Makanan Institut Jantung Negara.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestle Health Science, Emilyn Loo berkata, kerjasama dengan IJN itu adalah bagi menyediakan penyelesaian inovatif yang merangkumi amalan berpuasa secara sihat semasa bulan Ramadan ini.

“Buku panduan ini mengandungi tip dan penyelesaian bagi membantu penghidap diabetes membuat pilihan pemakanan yang bijak dalam menunaikan ibadah puasa mereka.

“Ia adalah seiring dengan objektif Nestle untuk memperbaiki kualiti kehidupan dan menyumbang ke arah masa hadapan masyarakat lebih sihat,” ujarnya dalam kenyataan akhbar baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Kanan Dietetik dan Perkhidmatan Makanan IJN, Mary Easaw berkata, penghidap diabetes seharusnya mendapatkan sokongan dan nasihat daripada pasukan perubatan profesional pelbagai disiplin sebelum menunaikan ibadah puasa.

Ia sebagai persediaan dalam menangani diabetes dengan penuh yakin.

“Bagi penghidap diabetes, puasa boleh menyebabkan tahap gula dalam darah tidak menentu dan risiko hipoglisemia (kandungan glukosa dalam darah yang rendah) yang lebih tinggi dan dehidrasi.


MAKANAN tinggi kandungan kanji kompleks seperti oat baik untuk dijadikan hidangan ketika sahur.


Makanan sahur

“Oleh yang demikian, mereka tidak boleh memandang ringan akan kepentingan rancangan pemakanan sepanjang bulan Ramadan ini.

“Elakkan minuman yang bergula, karbohidrat dan kurangkan pengambilan garam serta makanan berminyak,” kongsinya.

Tambah beliau, makanan sahur yang baik adalah makanan yang tinggi kandungan kanji kompleks seperti oat dan beras perang serta susu soya.

Buku panduan itu turut menyediakan alternatif bersahur seperti resipi sup ayam dan jagung.

Resipi itu bagi memudahkan mereka yang tidak berselera atau sukar bangun sahur berasa kenyang lebih lama.

Buku Panduan Berpuasa Dengan Aman Untuk Diabetik itu memaparkan tiga hidangan yang cepat dan mudah disediakan iaitu susu kocak Nutren Untuk Diabetik Nestum, sup jagung dan ayam serta skon buah-buahan.

Buku panduan itu boleh didapati di farmasi terpilih di seluruh negara dengan setiap pembelian tin 800g Nutren Untuk Diabetik.