Geng penyamun Indonesia Ball Bearing tumpas

14/06/2017 6:41pm


Geng penyamun berkenaan terkenal dengan kegiatan merogol dan mencabul mangsa ketika memecah masuk rumah tersebut. - Gambar fail. (Gambar kecil Mohd. Yusoff )


KLANG - Kegiatan jenayah samun dan rogol lima geng Indonesia Ball Bearing sejak awal tahun ini berakhir setelah kesemua ditahan di tiga lokasi berasingan baru-baru ini.

Kesemua suspek lelaki berusia 20 hingga 30-an itu ditahan pada 7 dan 13 Jun lalu di sekitar Gombak, Taman Sri Medan dan Plaza Tol Lebuhraya Grand Sepadu menghala ke Shah Alam.

Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Mamat berkata, gelaran ball bearing diberikan berikutan salah seorang suspek itu mempunyai alatan tersebut di kemaluannya dan dikehendaki kerana terlibat dalam rogol dan cabul ketika samun.

Katanya, polis menerima dua laporan samun, rogol dan cabul yang berlaku di dua kawasan di sini pada 27 Mei dan 7 Jun lalu.

"Menerusi kesemua tangkapan, salah seorang suspek berusia 27 tahun telah mengaku melakukan perbuatan rogol dan cabul tersebut semasa memecah masuk rumah orang.

"Ketika ditahan, suspek hanya mempunyai dua ball bearing sahaja dengan salah satunya dipercayai telah dikeluarkannya sendiri," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati semua suspek merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang telah berada di negara ini sejak tujuh tahun lalu dan terlibat dalam lima kes termasuk satu di Taman Melawati.

Ujarnya,modus operandi adalah samun dan rogol atau cabul dengan kegiatan jenayah dilakukan antara pukul 3 hingga 5 pagi.

"Suspek yang mempunyai bearing itu mengakui mula memasukkan tiga ball bearing itu secara sendirian semasa dihukum penjara dua bulan di sebuah penjara di Perak akibat khalwat.

"Mereka kini ditahan reman sehingga esok, Sabtu dan Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 dan 376 Kanun Keseksaan," jelasnya. - K! ONLINE