Pegawai TUDM terkorban sempat buat isyarat pertolongan sebelum terjatuh

15/06/2017 9:22pm


Pesawat TUDM berlegar-legar di ruang udara mencari bangkai pesawat Hawk yang masih belum dijumpai.


KEMAMAN - Salah seorang daripada dua pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam tragedi pesawat pejuang jenis Hawk 108 dilihat sempat membuat isyarat meminta pertolongan kepada penduduk kampung sebelum terjatuh di kawasan berpaya di Kampung Pondok Pasir, Ibol dekat sini hari ini.

Seorang penduduk, Siti Zamilah Mohd. Hussin, 27, berkata, kelibat dua pegawai TUDM itu dalam keadaan berpayung terjun tersebut dilihat sewaktu dia sedang menyapu sampah di halaman rumahnya pada pukul 12.30 tengah hari.

"Sewaktu sedang menyapu di halaman rumah tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat sebelum kelihatan kelibat dua lelaki berpakaian hitam yang memakai payung terjun.

"Salah seorang daripada mereka dilihat membuat isyarat tangan pangkah kepada saya sambil menarik-narik tali payung terjun," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Siti Zamilah berkata, dia yang tidak mengetahui perbuatan membuat tangan pangkah terbabit merupakan isyarat meminta pertolongan.

Menurutnya, dia sekadar membalas dengan melambai-lambaikan tangannya kerana menyangka kedua-dua pegawai TUDM sedang menjalani latihan payung terjun. - K! ONLINE