Buli jenayah memilukan


PROSES psikologi kumpulan merupakan elemen dalam menjadikan buli itu satu kenyataan.– Gambar hiasan


Berita seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Sungai Besi, Kuala Lumpur yang terbunuh kerana dibuli dengan teruk cukup mengejutkan.

Mangsa dipercayai ditekap dengan seterika wap oleh rakan-rakannya kerana dituduh mencuri komputer riba.

Sebenarnya, buli atau penderaan ialah proses psikologi kumpulan. Buli memerlukan pelbagai watak penting bagi membolehkan ia menjadi kenyataan.

Hasil kajian mendedahkan, buli melibatkan dua watak utama iaitu pembuli dan mangsa.

Begitupun, ia juga memerlukan watak lain iaitu pembantu, penyokong, pembela kepada mangsa dan mereka yang tidak memihak.

Dalam kebanyakan kes buli, ia berlaku dalam situasi yang membolehkan wujudnya kumpulan, misalnya di sekolah, universiti atau di institusi tertentu.

Buli tidak boleh berlaku tanpa wujudnya watak-watak utama tadi. Mengapakah watak penyokong ini wujud? Kajian menunjukkan bahawa proses membuli itu sendiri dikatakan mempunyai ciri-ciri berkuasa.

Pembela

Menjadikan orang lain lemah dan tidak terdaya bukanlah hal yang normal, tetapi dalam keadaan tertentu ia adalah sebahagian daripada tabi’e manusia yang sukar difahami.

Apabila kita berada secara berkumpulan, manusia seolah-olah berasa gembira melihat orang lain menderita. Perasaan ini mungkin tidak muncul apabila kita bersendirian.

Kumpulan yang menyokong inilah yang menjadikan pembuli merasakan perkara yang mereka lakukan itu betul. Walaupun pada akhirnya ia menjangkau perlakuan manusia normal.

Bagaimanapun, ada seorang dua yang mungkin menjadi pembela kepada mangsa buli tadi. Mereka ini mungkin dapat membantu mangsa daripada terus dibuli.

Dalam kebanyakan kes, pembela hanya mampu memainkan peranannya dengan lebih berkesan sekiranya mereka adalah seseorang yang berpengaruh atau dihormati oleh kumpulan pembuli. Mereka yang tidak memihak secara umumnya ialah individu bersimpati kepada mangsa. Bagaimanapun, disebabkan tidak terdaya untuk memberikan sebarang pertolongan, maka mereka memilih tidak menyokong pembuli dan mangsa.

Mengapa terdapat ramai orang yang melihat kejadian buli lebih terpesona menyokong pembuli atau sekurang-kurangnya cuba mendiamkan diri? Jarang ada yang membantu mangsa yang sedang merana tadi.

Ahli psikologi cuba menerangkan fenomena ini dengan menggunakan social cognitive theory.

Teori ini menghuraikan manusia sebenarnya mempunyai kepercayaan untuk mentafsir satu-satu tindakan itu sama ada dianggap munasabah atau tidak.

Secara psikologinya, manusia sudah menanam kepercayaan bahawa bukanlah satu kesalahan untuk memukul orang lain.

Memukul atau menyakiti orang lain dianggap sebagai hal biasa dalam kehidupan kita sebagai manusia.

Sebab itulah, apabila kita melihat ada seseorang yang sedang bergaduh kita tidak merasakan ia hal yang janggal.

Ini berdasarkan kepercayaan yang sedia wujud dalam diri kita sebagai manusia. Ada pula individu yang berpandukan kepada peristiwa spesifik.


KEJADIAN buli berlaku dengan sokongan daripada pihak lain seperti pembantu dan penyokong watak pembuli.– Gambar hiasan


Rasional

Misalnya, jika seseorang itu penjenayah, ia boleh diperlakukan apa sahaja atau jika seseorang itu terlebih dahulu memukul kita, memukul balas adalah dibolehkan.

Sama ada kepercayaan ini berpandukan kepada norma masyarakat atau batas undang-undang, adakalanya manusia tidak berfikir secara rasional.

Sebab itulah, dalam kebanyakan kes kekerasan, seorang individu boleh dipukul oleh orang ramai dengan menggunakan logik ini.

Sebulan lalu, seorang lelaki telah dipukul oleh jemaah sebuah masjid kerana membunyikan hon panjang sehingga mengganggu jemaah.

Bunyi hon itu telah dianggap sebagai sesuatu yang membolehkan untuk lelaki tadi dipukul. Pada akhirnya, jika ditegur sahaja ia mungkin sudah memadai.

Dalam kes pegawai kadet yang kononnya didakwa mencuri, ia telah menjadi alasan untuk beliau diperlakukan tanpa belas kasihan.

Adalah tidak munasabah hanya sekadar sebuah komputer riba, mangsa didera tanpa belas kasihan. Juga adalah sesuatu yang janggal, dalam keadaan berada di tempat yang mempunyai ramai bilangan pelajar, tidak ada orang lain yang membantunya.

Bagaimanapun, itulah antara fenomena psikologi manusia yang sangat sukar difahami. Adakalanya kita berasa selamat jika berada dalam kumpulan. Tetapi ia tidak selalu betul dalam semua keadaan.

Ada ketikanya proses kumpulan itu sendiri telah mewujudkan watak-watak utama yang mampu melengkapkan satu kejadian jenayah yang memilukan.

Pada akhirnya itulah hakikat psikologi manusia. Kita cenderung memilih watak tertentu secara tidak sengaja. Adakalanya ia menguntungkan. Adakalanya membinasakan.