Menangisi pemergian Ramadan


RAMADAN merupakan masa terbaik untuk umat Islam menggandakan amal ibadat seperti memperbanyakkan solat sunat, membaca al-Quran dan bersedekah. – Gambar hiasan


KITA telah memasuki fasa akhir Ramadan. Hanya diri sendiri yang boleh menilai tahap kemanisan amal yang kita lakukan sehingga ke saat ini. Bukannya orang lain.

Allah SWT memberikan tawaran yang sangat hebat kepada kita pada bulan ini tetapi sejauh mana hati kita benar-benar terkesan dengan janji sang Pencipta (Khaliq) berbanding janji makhluk (manusia)?

Allah tidak akan pernah memungkiri janji-Nya. Andai keyakinan (keimanan) seperti ini tersemat dalam hati kita, maka tiada yang boleh menghalang kita untuk terus menghampirkan diri dengan Allah melalui amalan fardu dan sunat.

Begitu banyak kurniaan yang Allah janjikan dalam bulan ini. Jika kita gagal mendapatkannya, maka kitalah orang yang paling malang.

Sebuah hadis riwayat Hakim, Ibnu Hibban, Tabarani dan lain-lain menyebut satu kisah ketika Rasulullah SAW memanggil sahabat-sahabat: “Hadirlah ke mimbar!”

Maka, Ka’ab bin Ujrah berkata, kami telah pun hadir.

Apabila Nabi naik satu anak tangga mimbar, Baginda berkata, ‘Amin’ dan apabila Baginda naik anak tangga yang kedua, Baginda berkata ‘Amin’ dan apabila naik anak tangga yang ketiga, Baginda juga berkata ‘Amin’.

Maka, sahabat R. Anhum bertanya setelah Baginda turun: “Ya Rasulullah, pada hari ini kami telah mendengar daripada Tuan sesuatu yang belum pernah kami dengar.”

Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya, Jibrail telah muncul kepadaku dan berkata, binasalah seseorang yang didatangi Ramadan tetapi belum juga diampunkan, maka aku berkata ‘Amin’.

Lailatulqadar

Apabila aku naik tangga yang kedua dia berkata, binasalah seseorang yang apabila nama engkau disebutkan kepadanya, tidak pula dia berselawat ke atas kamu. Aku juga berkata ‘Amin’.

Apabila aku naik anak tangga yang ketiga, dia berkata, binasalah seseorang yang kedua-dua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka telah tua tetapi mereka tidak menjadi sebab untuk dia dapat memasuki syurga. Aku pun berkata, ‘Amin’.

Justeru, kita masih belum terlewat untuk mencari kurniaan Allah pada fasa akhir Ramadan ini.

Aisyah R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Carilah lailatulqadar pada bilangan hari yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir daripada bulan Ramadan.” (Misykat)

Hal ini kerana Rasulullah diberitakan ada bersabda: “Sesiapa yang berdiri beribadat pada malam lailatulqadar dengan iman dan ihtisab (mengharapkan ganjaran) akan diampunkan dosanya yang terdahulu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadis yang panjang riwayat Ibnu Hibban dan Baihaqi ada diberitakan bahawa apabila tiba lailatulqadar, Allah akan memerintahkan Jibrail supaya turun bersama satu kumpulan besar para malaikat.

Kemudian pada malam itu, Jibrail akan mendorong para malaikat supaya mereka pergi memberi salam kepada setiap orang yang sedang berdiri atau duduk (beribadah), menunaikan solat dan berzikir. Para malaikat ini akan berjabat tangan dengan mereka dan mengaminkan doa-doa mereka sehingga terbit fajar.

Ulama mengatakan antara tanda orang yang disalam oleh malaikat pada malam al-Qadar adalah hatinya menjadi sayu dan air matanya akan mengalir.

Oleh itu, ayuh kita semua berazam dan bertekad untuk menghidupkan malam-malam akhir Ramadan dengan amalan-amalan sunat yang dianjurkan.

Ramadan yang bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi sememangnya akan ditangisi pemergiannya oleh mereka yang begitu mengharapkan pertemuan dengan sang Pencipta di akhirat kelak. Ya Allah, jadikanlah kami dalam kalangan mereka.