Kebun Raya Bogor rai ulang tahun ke-200

Kebun Raya Bogor menjadi tumpuan pada hujung minggu.


KEBUN Raya Bogor yang merupakan sebuah taman botani tertua dan terbesar di Indonesia menyambut ulang tahun ke-200 pada 18 Mei lalu.

Pelbagai aktiviti serta program diadakan bagi meraikan sambutan ulang tahun taman botani yang terletak di pusat bandar Bogor, Jawa Barat, Indonesia itu.

Antaranya, pelancaran edisi setem khas orkid pada hari pertama sambutan, pameran perladangan, festival kebudayaan dan kesenian serta seminar antarabangsa.

Di samping itu, acara Larian 200K, peraduan fotografi botani dan pertandingan sukan turut diadakan selain aktiviti berbasikal pada 20 Ogos depan.

Sambutan itu turut dihadiri oleh bekas Presiden Indonesia kelima yang juga Pengerusi Yayasan Kebun Raya Indonesia, Megawati Soekarnoputri; Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia, Rudiantara dan Pengerusi Institut Sains Indonesia (LIPI), Prof. Iskandar Zulkarnain.

Menurut jurucakap Kebun Raya Bogor, Roniati A. Risna, taman botani yang terletak 60 kilometer dari Jakarta itu merupakan pusat pemuliharaan dan penyelidikan terbesar spesies tumbuhan di Indonesia.

“Keluasan taman ini kira-kira 87 hektar dengan jumlah keseluruhan sebanyak 12,531 spesies tumbuhan,” ujarnya.

Taman botani itu juga mempunyai lebih 400 spesies pokok kelapa sawit, 5,000 pokok tropika dari seluruh dunia dan sebuah rumah orkid yang menempatkan sebanyak 3,000 jenis orkid.

Taman botani itu merupakan kebanggaan rakyat Indonesia kerana usianya yang tertua di Asia Tenggara dan ketiga tertua di dunia selepas Taman Botani Pandova di Itali (berusia 300 tahun) dan Taman Botani Diraja Sydney di Australia (berusia 201 tahun).


Orang ramai beriadah bersama keluarga di Kebun Raya Bogor.


Sejarah

Menurut Roniati, taman botani itu pada awalnya hanya sebuah laman di belakang pejabat kolonial Gabenor Belanda, namun kini ia telah berubah menjadi salah sebuah pusat kajian kepelbagaian biologi terbesar di Indonesia.

Transformasi itu terhasil atas inisiatif seorang ahli botani dari Jerman, Prof. C.G.C. Reinwardt yang memberikan cadangan untuk membuat perubahan tersebut kepada Kolonial Gabenor Belanda di Batavia, Baron Van De Capellen pada 15 April 1817.

Selepas Capellen menerima cadangan itu, beliau memberikan sebidang tanah di laman belakang pejabatnya untuk pembangunan taman botani berkenaan.

Pada 18 Mei 1817, pembangunan Kebun Raya Bogor telah dirasmikan oleh pengarah pertama taman botani itu, Reinwardt dan Dr. Carl Ludwig Blume.

Blume turut mengarahkan agar inventori tumbuh-tumbuhan disediakan di taman itu dan menjumpai sebanyak 912 spesies.

Pada tahun 1956, buat pertama kalinya, seorang lelaki warga Indonesia bernama Sudjana Kassan dilantik sebagai pengarah di taman yang dikenali sebagai Hortus Botanicus Bogoriensis itu.

Hortus Botanicus Bogoriensis diuruskan oleh LIPI bersama empat pihak pengurusan taman lain termasuk taman botani Cibodas, taman botani Purwodadi, taman botani Balis Eka Karya dan Pusat Sains Cibinong.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi berkata, taman botani memainkan peranan penting sebagai pusat pemuliharaan selain memperkenal dan mempromosikan sumber semula jadi yang terdapat di Indonesia kepada generasi muda.

Beliau turut menggesa agar setiap daerah di Indonesia untuk mempunyai sebuah kebun atau taman botani.


Megawati (tengah) mendengar penerangan daripada Ketua Kebun Raya Bogor, Didik Widyatmoko (kiri) ketika melihat pameran sempena ulang tahun ke-200 taman botani itu.


Fungsi

“Taman botani bukan hanya berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan pemuliharaan, malah bertindak sebagai tempat rekreasi untuk ibu bapa memperkenalkan sumber alam semula jadi kepada anak-anak mereka.

“Saya berharap setiap daerah di Indonesia boleh mencontohi Kebun Raya Bogor,” katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh Ketua Staf Presiden, Teten Masduki.

Setakat ini, Indonesia mempunyai 32 buah taman botani yang berada di bawah pengurusan LIPI, 26 buah (pemerintah daerah) dan sebuah lagi di bawah pengawasan universiti. Sekurang-kurangnya Indonesia mempunyai sebanyak 47 buah taman botani.

Dalam pada itu, Iskandar menjelaskan, Kebun Raya Bogor mempunyai lima fungsi iaitu pusat penyelidikan, pusat pemuliharaan tumbuhan, pusat pendidikan alam sekitar, ekopelancongan dan perkhidmatan alam sekitar.

Menurutnya, taman itu menjadi rujukan untuk pembangunan taman-taman botani di peringkat daerah, sekali gus meningkatkan kualiti alam sekitar Indonesia.

Sementara itu, Kebun Raya Bogor turut bekerjasama dengan Setiausaha Agung Taman Botani Antarabangsa (IABG) bagi rantau Asia.

Jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan IABG rantau Asia disandang oleh Ketua Pusat Pemuliharaan Tumbuhan Taman Botani, Didik Widiyatmoko.

Selain itu, taman botani itu juga merupakan antara ahli Taman Pemuliharaan Botani Antarabangsa bersama 3,000 taman botani lain di dunia.

Bagaimanapun, sekiranya berlaku hujan lebat dan angin kencang, Kebun Raya Bogor akan ditutup bagi memastikan keselamatan pengunjung kerana keadaannya yang berisiko bahaya ekoran terdapat beberapa pokok besar dan tua.

Setakat ini, kira-kira 10,000 pengunjung telah melawat Kebun Raya Bogor pada hujung minggu.