Kenangan Hari Bapa hos Hero Oven, 999


FIKREE dan Sarah bercerita pengalaman dan harapan mereka selepas diberi kepercayaan menjadi hos beberapa program televisyen.


Cef Fikree dan Sarah Adiba membina portfolio sebagai hos berpaksikan rancangan televisyen yang dikemudi mereka. Cuma, bezanya Fikree dan Sarah adalah seorang mengacarakan program masakan, manakala seorang lagi mengendalikan program jenayah.

Minat Fikree dalam bidang masakan menyebabkan anak muda berusia 26 tahun itu mengikuti pengajian dalam bidang tersebut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Pulau Pinang. Rezekinya dalam bidang pengacaraan bermula apabila ditawarkan sebagai hos bagi program Hello Bro… Tolong Masak! bersama cef Zamir dan Nik Michael. Selepas itu, dia disunting pula oleh TV3 untuk program Dapur Panas dan Hero Oven.

Untuk Sarah pula, wajahnya mula mencuri perhatian selepas menyertai program Clever Girl musim pertama. Kredibiliti yang ada padanya menyebabkan dia ditawarkan pula untuk mengacarakan program popular, 999, menggantikan hos Hazlin Hussain sebelum ini.

Fikree dan Sarah diajak bercerita tentang aktiviti sepanjang Ramadan dan persediaan raya mereka. Pada masa sama ada kenangan bersama bapa masing-masing yang menggamit Fikree dan Sarah berkongsi rasa dengan pembaca sempena Hari Bapa yang jatuh pada hari ini.

Sensasi Bintang: Boleh kongsikan aktiviti seni sepanjang Ramadan kalian?

FIKREE: Aktiviti seni untuk bulan Ramadan tidak banyak sangat. Cuma, selain menjadi hos program masakan, saya kini bergelar pelakon. Saya bergandingan dengan Izreen Azminda dalam drama Tukar-Tukar Menu yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, 12.30 tengah hari di TV3. Untuk raya pula, saya hoskan program Dapur Panas vs 5 Rencah 5 Rasa bagi siaran raya kedua. Pada bulan Oktober depan pula, program Hero Oven 2 pula akan ditayangkan.

SARAH: Program 999 masih bersiaran seperti biasa sepanjang Ramadan. Untuk raya, 999 akan berehat selama seminggu dan bersiaran seperti biasa pada minggu kedua raya.


PADA tahun ini, buat pertama kali Sarah beraya tanpa ayah selepas orang kesayangannya itu meninggal dunia pada Disember tahun lalu.


Soalan untuk Sarah, bagaimanakah pengalaman mengacarakan program popular 999? Untuk Fikree pula bagaimanakah pengalaman berlakon?

FIKREE: Nasib baik dalam watak itu saya boleh jadi diri sendiri. Kalau watak dalam drama Tukar-Tukar Menu itu serius mungkin susah sikit. Sebabnya, saya ini seorang yang suka berjenaka. Pada saya, memasak lagi senang daripada berlakon. Ini kerana, berlakon memerlukan masa yang panjang di lokasi penggambaran dan menuntut saya menjiwai watak itu dengan mendalam.

SARAH: Alhamdulillah, saya ditawarkan mengacarakan program itu selepas menyertai rancangan realiti, Clever Girl. Saya masih baru mengacarakan program tersebut dan masih menyesuaikan diri. Memang ada yang membandingkan diri saya dengan pengacara lama. Mereka cakap saya terikut-ikut cara pengacaraan pengacara terdahulu. Hakikatnya, saya cuba jadi diri sendiri.

Bagaimanakah persiapan raya kalian?

FIKREE: Setiap kali raya, apa yang saya buat memang nampak gila. Ini kerana, saya sangat suka dengan sampin dan akan membelinya tanpa mengira berapa harganya. Kalau nak tahu, saya pernah beli sampin berharga RM3,000. Persiapan raya untuk tahun ini, saya sediakan lima pasang baju Melayu dan juga lima pasang sampin. Isteri dan anak saya juga akan memakai warna sedondon dengan saya dan turut mempunyai lima pasang baju raya.

SARAH: Saya pula bukan seorang yang cerewet. Sudah beberapa tahun, saya tidak beli baju baharu. Bukan apa, baju raya ketika sekolah menengah masih muat dipakai. Bagaimanapun untuk tahun ini saya sediakan dua pasang baju raya.


BAGI Fikree, memasak lebih mudah dibandingkan dengan berlakon.


Kalian sambut raya di mana?

FIKREE: Insya-Allah, buat pertama kalinya saya akan beraya di rumah sendiri pada tahun ini bersama isteri dan anak. Ini juga kali pertama saya beraya dengan anak, Megat Jayden Malik yang kini berusia lapan bulan. Buat pertama kalinya juga, saya akan memasak untuk mereka. Antara menunya ialah rendang ayam dan juga ayam percik dengan sos istimewa. Selepas itu baru kami akan pulang beraya di kampung sebelah saya di Kedah dan kampung di sebelah isteri di Pulau Pinang.

SARAH: Saya orang Sabah dan biasanya akan beraya di sana. Dua tahun lalu, saya berkahwin dengan orang Negeri Sembilan. Jadi, tahun ini saya beraya di kampung sebelah suami pula.

Sempena Hari Bapa boleh kongsikan kenangan bersama bapa masing-masing?

FIKREE: Kenangan paling saya tidak boleh lupakan ialah ketika beraya dengan emak dan ayah. Bagi saya, beraya dengan mereka adalah kenangan paling indah sementara mereka masih hidup. Pada tahun ini, saya raikan Hari Bapa dengan anak pula.

SARAH: Ayah saya baru meninggal pada Disember tahun lalu. Maka, tahun ini adalah kali pertama saya berpuasa dan beraya tanpa ayah. Jadi saya agak emosional. Tambahan pula, saya selalu melakukan ibadah bersama ayah dan kerap pulang ke Kota Kinabalu untuk bertemu dengannya. Namun, kini dia sudah tiada.